Peribahasa yang serupa….?

Beberapa contoh persamaan erti atau makna antara peribahasa…!

  • Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua = Biduk berlalu, kiambang bertaut.
  • Gunting dalam lipatan = Api dalam sekam = Musuh dalam selimut.
  • Bagai aur dengan tebing = Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat = muafakat membawa berkat.
  • Bapa borek, anak rintik = Ke mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi = Begitu kuih, begitulah acuannya.
  • Lain lubuk, lain ikan = lain padang, lain belalang.

Dua kerja dalam satu masa…?

Berikut ialah peribahasa yang membawa maksud melakukan dua pekerjaan dalam sesatu masa. 

  • Sambil berdiang nasi masak.
  • Belayar sambil memapan.
  • Berkayuh sambil bertimba.
  • Sambil menyelam minum air.


Peribahasa kera…?

Perkataan kera banyak digunakan sebagai bahan perbandingan dalam peribahasa. Hal ini mungkin haiwan ini begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu lampau. Antara contoh peribahasa yang merujuk kepada ‘kera’ ialah:-

  • Kera sumbang  > Orang yang memencilkan diri daripada masyarakat, tidak bergaul dan sentiasa mengasingkan diri.
  • Bagai kera kena belacan  > Orang yang tak boleh duduk diam.
  • Seperti kera mendapat bunga  > Orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang.
  • Kera di hutan disusukan, anak dikendong mati kelaparan  > Terlalu mementingkan diri orang lain sehingga mengabaikan diri dan keluarga sendiri.

Peribahasa: Kiasan…?

  • Frasa yang digunakan untuk membandingkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain.
  • Susunan katanya ringkas.
  • Digunakan untuk menerangkan sesuatu keadaan, melindungi sesuatu perkara yang tidak sepatutnya disebut kerana tidak manis diucapkan.
  • Tujuan lain adalah untuk menjelaskan sesuatu perkara supaya lebih senang difahami.

CONTOH KIASAN:-

  1. Adil seperti hakim  > orang yang sangat adil dalam tindakannya.
  2. Bebas seperti burung  > keadaan hidup yang sangat bebas tanpa mengikut peraturan biasa.
  3. Cerdik seperti kancil  > kepandaian yang berasaskan tipu helah.
  4. Degil seperti keldai  > keras hati dan sukar dinasihati.
  5. Elok umpama bulan purnama  > rupa paras yang sangat cantik.
  6. Jinak seperti merpati  > nampak saja jinak tetapi sukar untuk didekati.
  7. Lurus seperti bendul  > seseorang berfikiran pendek atau sehala saja. (jujur tetapi bodoh)
  8. Manis seperti madu  > sangat manis.

Peribahasa: Kerja yang sia-sia…?

Banyak sekali ungkapan peribahasa yang membawa maksud melakukan sesuatu pekerjaan yang sia-sia atau tidak membawa faedah apa-apa. Antaranya:-

  • Bagai kambing menanduk bukit > kerja yang sia-sia yang merugikan diri.
  • Bagai mencencang air > melakukan kerja yang tidak berfaedah.
  • Laksana layang-layang melawan angin > perbuatan yang sia-sia.
  • Laksana mencari sungai yang tiada berhulu > berpenat lelah yang sia-sia
  • Laksana wau melawan angin > perbuatan yang sia-sia.
  • Seperti anjing menyalak bukit > perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai menghitung bulu kambing > perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai hujan jatuh ke pasir > perbuatan yang sia-sia.
  • Jangan lemparkan pancing tiada berumpan > kerja yang sia-sia.
  • Arang habis, besi binasa > pekerjaan yang sia-sia.

Peribahasa…?

PERIBAHASA:-

  • Ungkapan atau kata yang tersusun yang mengandungi unsur-unsur nilai murni tentang cara anggota masyarakat berfikir dan bertindak.
  • Amat popular pada zaman dahulu dan digunakan orang untuk tujuan mendidik dan menyampaikan teladan secara halus dan simbolik.
  • Terdapat 4 jenis peribahasa:-
  1. Simpulan bahasa {terdiri daripada 2 patah perkataan tersusun yang membawa maksud tertentu}
  2. Perumpamaan {rangkaian kata yang dimulai dengan kata umpama, seperti, bagai, laksana, dan bak}
  3. Bidalan {susunan kata menarik yang jelas maksudnya dan tidak ada maksud terselindung atau tersirat}
  4. Pepatah {kalimat yang bersifat ringkas, disusun berangkap dan terdapat pengulangan kata}

SIMPULAN BAHASA:-

  • ambil angin > bersiar-siar.
  • ayam tambatan > orang harapan.
  • batu loncatan > sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan yang lain.
  • bergolok bergadai > berhabis-habisan (berbelanja).
  • bunga dedap > perempuan cantik tetapi tidak berbudi bahasa.
  • cagak hidup > wang riba.
  • cepat tangan > suka mencuri.
  • duit teh > wang sogokan (rasuah).
  • kambing hitam > orang yang dipersalahkan.
  • kucing bertanduk > perkara yang tidak akan berlaku
  • tumbuk rusuk > menerima rasuah.
  • patah kandar > hilang tempat bergantung.
  • ringan mulut > peramah.

PERUMPAMAAN:-

  • bagai pucuk dilancarkan > amat cepat.
  • bagai layang-layang putus tali > tiada pedoman / sudah putus harapan.
  • bak birah dengan keladi > hampir serupa sahaja.
  • ibarat dakwat dengan kertas > tidak dapat dipisahkan.
  • ibarat mencangkul angin > angan-angan yang tidak disertai dengan usaha.
  • laksana pohon kayu tidak berbuah > orang yang berilmu tetapi tidak digunakan.
  • laksana ikan dituba > tidak bermaya / hampir mati.
  • laksana taji dibentuk > kening yang amat cantik.
  • macam papan > sangat kurus.
  • macam tunggul pisang > hidup sebatang kara / keseorangan.
  • seperti api dalam sekam > kejahatan yang dilakukan secara senyap atau tanpa disedari.
  • seperti hujan jatuh ke pasir > nasihat yang tidak dihargai / pekerjaan yang sia-sia.
  • seperti gagak pulang ke benua > jauh berjalan tapi ilmu tidak bertambah.
  • umpama air digenggam tak tiris > sangat kedekut.

BIDALAN:-

  • ada gula ada semut > orang akan tertumpu di tempat yang mudah mendapat rezeki.
  • ada sampan hendak berenang > sengaja menyusahkan diri.
  • belum duduk sudah berlunjur > melakukan sesuatu pekerjaan tidak mengikut peraturan, akhirnya diri yang susah.
  • burung terbang dipipiskan lada > sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.
  • darah setampuk pinang > tiada pengalaman.
  • diam penggali berkarat > ilmu yang disimpan saja, lama-lama akan hilang juga.
  • gajah mati kerana gadingnya > mendapat kecelakaan daripada kelebihannya.
  • menarik rambut di dalam tepung > bersikap bijaksana dalam menyelesaikan masalah.
  • patah kemudi perahu hanyut > sesuatu kaum apabila hilang pemimpin akan menjadi kucar-kacir.

PEPATAH:-

  • ada kerak adalah nasi > sesuatu kejadian itu tentulah ada kesannya.
  • ada ubi ada batas, ada masa dapat balas > perbuatan jahat akan pasti mendapat balasan juga.
  • ayam terlepas, tangan bau tahi > mencari keuntungan tapi menanggung kerugian atau malu.
  • ditelan mati emak, diluahkan mati bapa > serba salah hendak membuat keputusan.
  • enggan seribu kata, mau sepatah kata > jika tidak bersetuju banyaklah alasannya.
  • jauh bau bunga, dekat bau tahi > apabila jauh selalu terkenang tapi apabila dekat selalu bertengkar.
  • rosak bawang ditimpa jambak > malang kerana perbuatan sendiri.
  • ujung lurus, pangkal berkait > nampak baik tetapi sebenarnya jahat.

Seperti…?

Seperti sirih pulang ke gagang > kena pada tempatnya / sesuai / tepat / seperti pinang pulang ke tampuknya.

  • Langkah kerajaan menaikkan cukai rokok sangatlah tepat bagi mengurangkan ketagihan rokok dalam kalangan masyarakat seperti sirih pulang ke gagang.

Seperti si buta kehilangan tongkat > orang yang malang bertambah derita apabila ditimpa kesusahan / sudah jatuh ditimpa tangga.

  • Apabila kematian ayah, tempat mendapat kasih sayang hanyalah daripada ibu. Kini ibunya pula telah meninggal dunia. Hidupnya semakin merana seperti si buta kehilangan tongkat.

Seperti aur ditarik songsang > satu pekerjaan yang amat sukar dilakukan kerana salah cara melakukannya.

  • “Jika kamu menelaah pelajaran apabila sudah hampir peperiksaan, kamu akan berhadapan dengan banyak masalah seperti aur ditarik songsang,” pesan cikgu kepada pelajarnya.

Seperti air dalam kolam > orang yang sentiasa kelihatan tenang.

  • Saya begitu kagum akan sikap Ali, walaupun sering dilanda masalah tetapi dia kelihatan biasa sahaja seperti air dalam kolam.

Seperti anai-anai makan kayu > melakukan sesuatu kerja dengan rajin dan teliti.

  • Peperiksaan semakin hampir dan seharusnya kamu tekun belajar seperti anai-anai makan kayu.

Soalan Peribahasa SPM…?

Terdapat 5 bentuk soalan peribahasa yang biasa dikemukakan di peringkat SPM iaitu:-

  1. Menyatakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi.
  2. Menyatakan peribahasa yang sesuai berdasarkan ayat.
  3. Mengisikan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
  4. Mengemukakan makna peribahasa.
  5. Membina ayat menggunakan peribahasa.

Soalan peribahasa ditanyakan melalui soalan 3(e) dan jumlah markahnya ialah 6 ( 6 soalan ).

  • Menyatakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi.
  1. Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian kemukakan 3 peribahasa yang menggambarkan situasi tersebut.

Amin dijaga dan dididik oleh ibu bapanya dengan kasih sayang yang melimpah ruah. Namun Amin langsung tidak berterima kasih kepada ibu bapanya sebaliknya dia sanggup membuang mereka setelah dia dewasa. Kini ibu bapanya hidup kesepian tanpa kasih sayang seorang anak.

  1. Bagai menatang minyak yang penuh.
  2. Seperti kacang lupakan kulit.
  3. Sebatang kara

Peribahasa: Malas bergarit perut perit…?

  • Peribahasa malas bergarit perut perit bermaksud orang yang pemalas akan sentiasa kurang mendapat rezeki. Peribahasa ini juga boleh dimaksudkan sebagai orang yang malas, perutnya sentiasa menanggung lapar.
  • Maksud peribahasa ini berlawanan sekali dengan maksud peribahasa ringan tulang berat perut iaitu orang yang rajin akan sentiasa murah rezeki dan perut pun sentiasa kenyang.

Contoh ayat:-

  1. “Jika malas bekerja, tentulah kamu akan menghadapi masalah untuk meneruskan kehidupan kerana malas bergarit perut perit,”  kata emak kepada Azim.
  2. Seseorang yang bersikap pemalas akan sentiasa mendapat kerugian dalam segala hal seperti malas bergarit perut perit.

JADI kita mestilah rajin seperti maksud peribahasa di bawah:-

  • seperti anai-anai makan kayu.
  • bagai lebah menghimpun madu.
  • ringan tulang berat perut.
  • ringan tulang.

Soalan PMR 2009: Peribahasa…?

3 Soalan peribahasa:-

Pilih peribahasa atau maksud peribahasa yang paling sesuai.

1. Ali berbelanja dengan mengikut kemampuan dirinya. Dia tidak sedikit pun terpengaruh oleh gaya hidup kawan-kawannya yang kaya.

  • A  ikut hati mati, ikut rasa binasa.
  • B  ukur baju di badan sendiri.  √
  • C  pipit sama pipit, enggang sama enggang.
  • D  ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

2. Kopral Ali dan rakan-rakannya telah berjuang hingga titisan darah yang terakhir kerana mempertahankan tanah air tercinta.

  • A  harimau mati meninggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama
  • B  daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
  • C  alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
  • D  biar berputih tulang, jangan berputih mata.  √

3. Peribahasa pucuk dicita ulam mendatang bermaksud …?

  • A  mencapai sesuatu yang dihajati dengan mudah.
  • B  mendapat sesuatu dengan tidak disangka-sangka.
  • C  memperoleh sesuatu lebih daripada yang diharapkan.  √
  • D  memiliki sesuatu tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.