Suci / cuci…?

Perkataan suci dan cuci sering digunakan orang secara hentam kromo sahaja. Mereka menganggap dua patah perkataan tersebut sama atau hampir sama dari segi makna. Betulkah begitu? Cuba kita rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, adakah pendapat kita selama ini betul?

Cuci bermaksud bersih, basuh dan habis. Mencuci bermaksud membersih > membersih/mencuci  pakaian; membasuh pakaian, mencuci mata > melihat benda yang menyeronokkan. 

Perkataan cuci apabila menerima imbuhan awalan me-N > mencuci bukannya menyuci…

Manakala perkataan suci membawa maksud bersih dari segi agama / tidak berdosa / tiada noda / kudus dan nirmala.

Apabila menerima awalan me-N, kata suci > menyuci bukannya mencuci…

Contoh ayat:-

  • cuci / mencuci
  1. Emak sedang mencuci pakaian di tepi telaga.
  2. Untuk mencuci segala kekotoran yang degil itu, kamu terpaksa menggunakan peluntur yang kuat.
  3. Tolong cuci seluar kamu itu.
  4. Semua harta habis cuci dirampasnya.
  • suci / menyuci
  1. Kitab suci al-Quran perlu dibaca pada setiap masa.
  2. Sebelum solat kamu perlu suci daripada sebarang najis dan kekotoran.
  3. Orang beriman sentiasa menyucikan hatinya dengan memberikan sedekah.
  4. Menyucikan bermaksud membersihkan diri dari segi hati, perasaan, fikiran dan fahaman.

Berwuduk menyucikan diri…!

Kata hampir sama…?

Kosa kata bahasa Melayu banyak mempunyai kata yang hampir sama bunyi sebutannya tetapi amat berbeza dari segi maknanya. Lihat beberapa contoh kata di bawah:-

  • tatap bermaksud melihat atau menengok.
  • ratap bermaksud menangis.
  • bergabung bermaksud bersatu atau berkumpul.
  • berkabung bermaksud berdukacita atau bersedih.
  • menonton bermaksud melihat.
  • menuntun bermaksud memimpin.
  • golong bermaksud kumpulan atau kelompok.
  • gulung bermaksud melipat benda lebar seperti tikar.
  • mengaji bermaksud membaca kitab atau al-Quran.
  • mengkaji bermaksud menyelidik atau meneliti secara mendalam.
  • rasmi bermaksud formal atau mengesahkan.
  • resmi bermaksud biasa atau semula jadi.
  • dukung bermaksud mengangkat, memikul.
  • dokong bermaksud sejenis buah seakan-akan buah langsat.
  • tonggak bermaksud tulang belakang atau bahagian penting.
  • tunggak bermaksud tertunda, tertangguh atau belum dijelaskan.
  • semesta bermaksud seluruh alam.
  • semester bermaksud tempoh atau penggal.
  • taksir bermaksud kira atau hitung.
  • tafsir bermaksud terjemahan maksud sesuatu.
  • tempoh bermaksud jangka masa.
  • tempuh bermaksud redah, hadapi atau melanggar.


kerinting / keriting…?

  • Rambut budak itu kerinting. 
  • Kulitnya hitam dan rambutnya kerinting.

Betulkah penggunaan kata ‘kerinting’ dalam ayat-ayat di atas? Ramai pelajar beranggapan bahawa kata ‘kerinting’ membawa maksud rambut yang bergulung-gulung ataupun tersangat ikal. Betulkan tanggapan mereka itu?

Mari kita merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4.  Pada muka surat 760, terdapat dua maksud perkataan ‘kerinting’ iaitu:-

  1. kerinting – siput atau kerang yang diasinkan
  2. kerinting – sejenis tumbuhan (palma) .. singaporensis

JADI… jelas dua baris ayat di atas adalah salah dan sepatutnya digantikan dengan kata keriting (bukannya kerinting)

Merujuk kata ‘keriting’ pada muka surat 761, keriting bermaksud bergulung-gulung (berkenaan rambut), ikal kecil-kecil

Pelibatan, penglibatan…?

Libat membawa maksud membebat, melipat atau membelit.

Melibati bermaksud memasuki sesuatu kegiatan, menyertai. Contoh ayat, dia melibati diri dalam kerja amal.

Melibatkan pula bermaksud menyebabkan terlibat (terbabit) atau membabitkan. contoh ayat, Pergaduhan itu melibatkan dua orang pelajar senior.

Pelibatan/penglibatan juga hampir sama maksudnya dengan kata melibati. Pelibatan/penglibatan bermaksud perihal melibatkan diri sama ada persatuan atau dalam sesuatu perkara. Contoh ayat:-

  • Pelibatan beliau dalam NGO mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga.
  • Penglibatan Amerika dalam kancah politik Pakistan dianggap sia-sia.

Istilah ayat…?

Terdapat beberapa istilah tentang ayat yang sering mengelirukan orang ramai, termasuklah golongan guru sendiri. Istilah-istilah itu ialah jenis ayat, ragam ayat dan binaan ayat. Untuk membantu kita semua, di sini cikgu perturunkan makna istilah tersebut yang sebenarnya:-

  • JENIS AYAT (Berdasarkan tujuan ayat )
  1. Ayat penyata
  2. Ayat tanya
  3. Ayat seru
  4. Ayat perintah
  • RAGAM AYAT (Berdasarkan komponen yang dijudulkan untuk tujuan tekanan)
  1. Ayat aktif
  2. Ayat pasif
  • BINAAN AYAT (Berdasarkan susunan unsur dan konstituen yang dibentuk)
  1. Ayat tunggal
  2. Ayat majmuk campuran
  3. Ayat majmuk gabungan
  4. Ayat majmuk pancangan

BEBERAPA ISTILAH TENTANG BAHASA…?

BAHASA BAKU

  • Variasi bahasa yang dipilih dan diterima oleh masyarakat untuk digunakan dalam suasana rasmi.

BAHASA BASAHAN

  • Bentuk bahasa yang digunakan sebagai bahasa seharian dalam situasi yang tidak formal.

BAHASA KEBANGSAAN

  • Bahasa yang menjadi bahasa utama bagi sesebuah negara yang berdaulat.

BAHASA RASMI

  • Bahasa yang digunakan untuk urusan pentadbiran dan urusan rasmi sesebuah negara. Bahasa rasmi tidak semestinya bahasa kebangsaan dan bahasa kebangsaannya pula tidak semestinya bahasa rasmi.

BAHASA STANDARD

  • Bentuk bahasa yang diterima untuk digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam perundangan, pentadbiran, pendidikan dan alat sebaran am. Bahasa standard sama dengan bahasa baku.

BAHASA DIALEK /DAERAH

  • Bentuk bahasa yang dipengaruhi oleh faktor geografi dan sosial. Contoh dialek yang dipengaruhi faktor geografi ialah dialek Kelantan, dialek Johor, dialek Sarawak. Bahasa pasar, bahasa istana pula ditentukan oleh faktor sosial.

BAHASA ASING

  • Bahasa selain bahasa ibunda.

BAHASA IBUNDA

  • Bahasa sendiri yang digunakan sejak kecil.

BAHASA ISYARAT

  • Bahasa yang tidak menggunakan ucapan dan tulisan tetapi menggunakan gerak isyarat anggota badan.

BAHASA KASAR / KESAT

  • Bentuk bahasa yang tidak sopan dan tidak manis digunakan.

BAHASA ROJAK

  • Bentuk bahasa yang bercampur aduk ( sekejap bahasa Melayu, sekejap bahasa Inggeris ).

BAHASA PERSURATAN

  • Bahasa yang digunakan dalam penulisan dan karya kesusasteraan.

BAHASA LISAN

  • Bahasa seperti yang digunakan sewaktu bercakap.

Istilah yang dilupakan…?

Disebabkan kita sering berbahasa pada setiap masa, maka perkara-perkara biasa dan lumrah acap kali kita abaikan. Sikap kita ini kadang-kadang boleh merugikan diri sendiri. Cuba kita teliti istilah-istilah biasa di bawah, cuba komen sedikit…!

  • PENGGANDAAN
  1. Proses membentuk kata baru dengan mengulang kata dasar.
  2. Pengulangan ini kadang-kadang melibatkan penambahan imbuhan dan perubahan bunyi.
  • PEMAJMUKAN
  1. Proses merangkaikan dua kata dasar untuk membentuk kata majmuk.
  2. Contoh kereta + api menjadi kereta api.
  • PENANDA WACANA
  1. Perkataan atau frasa yang digunakan untuk menghubungkan atau mengaitkan dua ayat.
  2. Contoh penanda wacana ialah justeru, hal ini demikian, selain itu, seterusnya…  .
  • PERIBAHASA
  1. Susunan kata yang indah yang mempunyai makna yang tertentu.
  2. Peribahasa terbahagi kepada pepatah, simpulan bahasa, bidalan, dan perumpaan.
  • PENJODOH BILANGAN
  1. Kata yang digunakan bersama-sama kata bilangan untuk benda-benda konkrit.
  • KATA BANYAK MAKNA
  1. Perkataan yang mempunyai makna lebih daripada satu.
  2. Contohnya kata alamat mempunyai lebih daripada satu makna, iaitu:-

alamat > tempat tinggal

alamat > tanda / petunjuk

  • ANTONIM
  1. Perkataan berlawanan makna.
  • SINONIM
  1. Perkataan yang sama makna

Metafora / hiperbola…?

Metafora dan hiperbola merupakan gaya bahasa perbandingan dalam karya puisi mahupun prosa. Banyak pelajar keliru tentang maksud dan penggunaan dua gaya bahasa ini. Sebenarnya:-

Metafora ialah:-

  1. Gaya bahasa perbandingan yang tiada kaitan antara kata pertama dengan kata keduanya.
  2. Biasanya terdiri daripada dua patah kata/perkataan.
  3. Contoh:-
  • Laut darah (laut dan darah tiada kaitan)
  • Kota derita (kota dan derita tiada kaitan; biasanya kota maju, kota moden ..)
  • Perigi neraka (perigi dan neraka tiada kaitan; biasanya perigi tua, perigi buta…)
  • Ombak kehidupan (ombak dan kehidupan tiada kaitan; biasanya ombak besar, ombak pantai ….)

Hiperbola ialah:-

  1. Gaya bahasa perbandingan yang keterlaluan atau melampau.
  2. Digunakan untuk menunjukkan maksud berlebih-lebihan.
  3. Contohnya:-
  • Tuah dan Jebat bertikam tujuh hari tujuh malam.
  • Semut menari bergoncang bumi.
  • Hatiku dilambung gembira.
  • Tengking ayah bagaikan halilintar.

Ejaan: Pelik tapi benar…?

Jika diteliti dan dibandingkan bahasa Melayu yang digunakan semasa berkomunikasi dengan bahasa Melayu yang dipelajari di bilik darjah, banyak sekali perbezaannya sama ada dari segi tatabahasa, ejaan mahupun dari segi makna. Percaya atau tidak?

Di bawah ini akan cikgu cuba berbicara tentang perbezaan ejaan perkataan yang sehingga kini masih mengelirukan semua pihak, terutama pelajar.

  1. mertua @ mentua > yang digunakan di bilik darjah ialah mentua.
  2. guris @ gores > gores yang betul.
  3. mustika @ mestika > mestika yang betul.
  4. istirehat @ istirahat > istirahat yang betul.
  5. merbahaya @ berbahaya > berbahaya yang betul.
  6. kerinting @ keriting > keriting yang betul.
  7. serunding @ serondeng > serondeng yang betul.
  8. pensil @ pensel > pensel yang betul.
  9. mendokong @ mendukung > mendukung yang betul.
  10. kekanda @ kakanda > kakanda yang betul.
  11. tips @ tip > tip yang betul.
  12. sireh @ sirih > sirih yang betul.
  13. selsema @ selesema > selesema yang betul.
  14. agen @ ejen > ejen yang betul.
  15. cincang @ cencang > cencang yang betul.

Lalu…?

Kata lalu sering kita temukan di mana-mana sahaja. Untuk makluman pelajar, kata lalu mempunyai makna yang banyak dan penggunaannya agak meluas…? Sila lihat beberapa makna lalu di bawah:-

  • Lalu > berjalan / melintas.
  1. Dia baru lalu di depan saya.
  • Lalu > lepas
  1. Pada minggu lalu sekolah saya telah menganjurkan Hari Kokurikulum.
  • Lalu > berselera
  1. Kerana demam dia tidak lalu makan. Keadaan badannya bertambah kurus.
  • Lalu > terus
  1. Ayah mengambil sebatang rotan lalu memukul abang.