Maksud bersipongan…?

Isikan tempat kosong dengan perkataan yang paling sesuai.

  1. Pohon-pohon kayu mati itu kelihatan ………………………… apabila kawasan itu ditenggelami air.
  • A bersipongang
  • B berkemuncup
  • C berceranggah
  • D berserampang

Analisis jawapan:

  • Jawapan A (bersipongan) membawa erti bergema – bunyi, B (berkemuncup) bermaksud sejenis rumput, C (berceranggah) bermaksud bercabang-cabang – tiang, dan D (berserampang) pula bermaksud sejenis tombak yang matanya bercabang.
  • Jawapan yang paling tepat untuk dimasukkan di tempat kosong di atas ialah C – berceranggah.

bina ayat ‘bahasa klasik’…?

1. Hatta (lalu/maka/kemudian dari)

  • Hatta beberapa lama Tuah menghilangkan diri, Jebat pun mula membuat angkara.

2. Kalakian (ketika itu)

  • Kalakian, Tuah dan empat bersaudara lain sedang berunding untuk belayar mencari ilmu.

3. Sebermula (pertama-tama/permulaan sesuatu kisah)

  • Sebermula, maka sampailah umurnya delapan belas tahun.

4. Arakian (arkian/sesudah itu/selepas itu)

  • Arakian, maka tersebutlah kisah sebuah negara yang rajanya baik pemerintahannya.

5. Syahadan (selanjutnya/lalu)

  • Syahadan datanglah kepada suatu hari, maka gajah itu pun sampailah.

Bina ayat…?

  • jarang:
  1. Rambut pesakit barah itu semakin jarang.
  2. Gigi kanak-kanak yang kekurangan kalsium itu agak jarang.
  • jarang-jarang:
  1. Dia jarang-jarang menghadiri kelas malam.
  2. Amin jarang-jarang pulang ke kampung setelah kematian ibunya.
  • berapa:
  1. Berapa jumlah wang yang kamu ada?
  2. Pukul berapa dia tiba di rumah?
  • beberapa:
  1. Beberapa buah kereta terlibat dalam kemalangan itu.
  2. Tidak beberapa lama selepas itu, Hang Tuah muncul sambil menghunus sebilas keris.
  • menjemput:
  1. Kami sekeluarga pergi menjemput datuk di lapangan terbang Sultan Ismail.
  2. Saya terpaksa menjemput Ali di stesen bas kerana dia belum pernah datang ke Kota Bharu.
  • mengundang:
  1. Pihak sekolah mengundang penceramah ternama untuk slot kursus pada petang ini.
  2. Tindakan memandu secara melulu boleh mengundang bahaya.
  • baru:
  1. Dia baru tiba dari Pasir Mas.
  2. Baru-baru ini, satu kemalangan ngeri telah berlaku di selekoh berbahaya itu.
  3. Kereta baru ayah telah kemalangan.
  • baharu:
  1. Baju baharu saya berharga RM79.90.
  2. Saya baru saja mendaftarkan diri di sekolah baharu saya.

Wacana, wahana…?

Dua patah kata di atas sering kita jumpa dalam penulisan. Maknanya pun sudah kita kuasai. Namun kadang-kadang, berlaku juga berlaku kesilapan kerana faktor kecuaian. Cuba lihat maksud kata tersebut dan penggunaannya dalam ayat:-

  • Wacana (discourse) bermaksud keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur ataupun penulis dan merupakan unit bahasa melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, bab, buku dan sebagainya yang melihat kesatuan berkaitan sesuatu pemikiran. Wacana juga merupakan perbincangan atau pertukaran idea secara lisan.
Contoh ayat:-
(1) Setiap pelajar seharusnya menguasai bidang ilmu yang diperturunkan serta menyelami wacana pemikiran gurunya.
(2) Mereka mengadakan wacana ilmu sebagai persiapan untuk menyertai Bengkel Keilmuan Siswa Muda.
  • Wahana pula bermaksud saluran atau perantaraan dan alat yang memungkinkan sesuatu dapat dilakukan, disampaikan atau dicapai.
Contoh ayat:-
(1) Kini internet menjadi wahana paling dominan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan perkembangan teknologi terkini.
(2) Lukisan kartun kadang-kadang dijadikan sebagai wahana propaganda.

infak, infantri, infeksi, inferens…?

Semua kata di atas ini bukannya kata daripada bahasa Melayu asli sebaliknya merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Maksud kata tersebut adalah seperti berikut:-

  • infak (Arab) membawa maksud pemberian atau sumbangan seperti wang dan sebagainya untuk kebajikan ( derma, sedekah ), contoh ayat:-
  1. Sekolah agama itu memerlukan infak daripada orang ramai untuk membolehkannya terus bernyawa.
  2. Dia selalu menginfakkan hartanya kepada yang memerlukan semata-mata kerana Allah.
  • infantri (Inggeris) bermaksud pasukan tentera berjalan kaki. Contoh ayat:-
  1. Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD) merupakan pasukan tentera infantri Malaysia.
  • infeksi (Inggeris) bermaksud dijangkiti kuman,  penyakit, jangkitan atau dijangkiti oleh penyakit. Contoh ayat:-
  1. Petugas keselamatan itu mungkin terkena infeksi H1N1.
  • inferens (Inggeris) pula membawa maksud kesimpulan yang dibuat berdasarkan fakta atau rujukan tertentu. Contoh ayat:-
  1. Pelajar diminta mengemukakan inferens daripada uji kaji tersebut.

Genre…?

Di muka surat 459 Kamus Dewan Edisi ke-4, terdapat satu patah kata iaitu ‘genre’ (génré) yang sering kita temukan tetapi agak keliru tentang makna dan kegunaannya. Perkataan ‘genre’ membawa makna kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungannya.

Contoh penggunaan dalam ayat:-

  • Genre sastera yang paling digemari ialah puisi.
  • Karya sastera terbahagi kepada beberapa genre yang mempunyai ciri-ciri yang tertentu.

Robot…?

Merujuk kepada etimologi, perkataan ‘robot’ berasal daripada bahasa Czech, iaitu ‘robotovat’ yang bermaksud ‘menghambakan diri’. Mengikut istilah santifiknya pula, robot merupakan peranti elektro mekanikal (mesin yang berfungsi dengan kuasa elektrik) atau biomekanikal (berfungsi dengan kuasa biologi) yang dapat bertindak mengikut program asal manusia yang menciptanya.

Kebanyakan robot yang dicipta kini digunakan secara meluas terutamanya dalam sektor industri.


Bahasa dan pengertiannya…?

Merujuk Kamus Dewan Edisi keempat, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

  • Bahasa baku > bahasa yang teratur dan mantap dari pelbagai aspek seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan lain-lain yang diterima sebagai norma penggunaan yang betul dan sahih.
  • Bahasa daerah > bahasa yang yang menggunakan loghat daerah.
  • Bahasa halus > bahasa atau perkataan lain yang lebih lembut dan sopan agar tidak menyentuh perasaan orang lain.
  • Bahasa ilmu > bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi proses penyampaian ilmu pengetahuan ke peringkat tinggi.
  • Bahasa isyarat > cara berkomunikasi yang tidak menggunakan ucapan tetapi menggunakan gerak isyarat anggota tertentu.
  • Bahasa pasar > bahasa seperti yang dituturkan oleh orang bukan Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu yang betul / bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa ibunda penutur.
  • Bahasa ibunda > bahasa sendiri yang dipakai sejak kecil.
  • Bahasa rasmi > bahasa pentadbiran kerajaan.
  • Bahasa kebangsaan > bahasa yang diterima dan diguna ramai oleh penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain.
  • Bahasa kesat > bahasa kasar dan tidak sopan.
  • Bahasa pengantar > bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan atau komunikasi dalam pengajaran di sekolah.
  • Bahasa rojak > bahasa yang bercampur aduk iaitu dari segi kata; sekejap Melayu sekejap Inggeris.
  • Bahasa komputer > bahasa pengaturcaraan untuk operasi komputer.
  • Bahasa lisan > bahasa seperti yang digunakan sewaktu bercakap.
  • Bahasa dalam > bahasa kehormatan / bahasa istana.

wacana, wahana, wadah, waima,…?

Perkataan-perkataan di atas sering kita dengar dan kita gunakan semasa bercakap mahupun menulis, tetapi adakah kita tahu maknanya yang sebenar?

  • Wacana bermaksud keseluruhan tutur atau penulisan ayat. Wacana juga membawa maksud perbincangan atau diskusi secara lisan. Contoh ayat: Mereka menjadi panel dalam wacana sastera itu.
  • Wahana membawa maksud saluran atau perantaraan (alat) yang memungkin sesuatu berjaya dilakukan. Contoh ayat: Institusi pendidikan sewajarnya menjadi wahana melahirkan insan cemerlang.
  • Wadah merupakan perkataan Jawa yang juga membawa maksud yang sama dengan wahana iaitu alat, bekas, medan ataupun saluran. Contoh ayat: Ada orang menganggap pendidikan sebagai wadah pihak kerajaan untuk mendapatkan sokongan.
  • Waima pula merupakan perkataan Arab yang bermaksud walaupun dan sama ada. Contoh ayat: Apa saja yang dilakukan manusia, waima dengan membunuh semua manusia, kebenaran akhirnya akan terserlah.

menemui / menemukan …?

Kata di atas berasal daripada kata ‘temu’ dan apabila diberikan imbuhan tertentu akan mengubahkan makna atau maksudnya. Lihat contoh di bawah:-

  • bertemu (1) bermaksud berjumpa dengan, bersua dengan, tersua dengan; dia berjumpa dengan anak muda itu ketika pergi kenduri.
  • bertemu (2) bermaksud berhadapan muka dengan, bersemuka; Lebih baik aku bersemuka dengan Pengetua daripada bersemuka dengan Cikgu Ali.
  • menemui membawa maksud bertemu dengan, berjumpa dengan (orang); Saya pergi menemui Cikgu Ali untuk bertanyakan soalan. Menemui juga membawa maksud menziarahi, melawati, mengunjungi, pergi bertemu dengan.
  • menemukan pula membawa maksud berjumpa dengan barang yang dicari, mendapati; Ali telah menemukan dompetnya yang hilang, Mereka telah berjaya menemukan kanak-kanak yang hilang itu.

JADI berdasarkan maksud atau makna kamus yang diutarakan di atas, maka penggunaan kata menemui / menemukan dalam ayat-ayat di bawah adalah SALAH sama sekali:-

  1. Emak telah menemui barang kemasnya yang hilang pagi tadi.
  2. Saya telah berjaya menemui jawapan soalan tatabahasa itu.
  3. Mereka tidak menemui petunjuk baru dalam siasatan itu.
  • Dalam ayat-ayat di atas, sepatutnya kata menemui itu SEPATUTNYA digantikan dengan MENEMUKAN. (Lihat maksud kata menemui)
  1. Saya ke bilik guru untuk menemui Cikgu Azemi.  √
  2. Pasukan polis telah berjaya menemukan bangkai helikopter yang terhempas itu.  √
  3. Saya sempat menemui tetamu penting itu sebelum majlis tamat.  √