Esei: Membanteras penderaan ke atas kanak-kanak…?

Masih ada manusia pada era ini yang memiliki sifat kebinatangan yang langsung tidak berperikemanusiaan. Mereka ini tergamak melakukan kezaliman dan keganasan terhadap mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang tidak berdaya yang sepatutnya dilindungi dan diberikan kasih sayang.

Lihat saja kes terbaru yang melibatkan adik Syafiah Humairah, 3 tahun didera secara sadis sehingga menyebabkannya mati secara kejam. (Berdasarkan laporan akhbar Mingguan Malaysia, 28 Februari 2010)

Bermula dari hari ini, banyak orang akan bercakap tentang adik Syafiah, banyak orang yang bersimpati dan banyak orang yang akan tampil dengan pelbagai teori, tetapi … itu hanyalah sekejap sahaja. Hangat-hangat tahi ayam. Lepas itu, masyarakat akan kembali seperti sediakala, seperti pahat dengan penukul!

Banyak usaha yang boleh dilaksanakan demi membanteraskan kejadian penderaan ke atas kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini agar kejadian yang berlaku ke atas adik Syafiah tidak akan berulang lagi. Antaranya:-

  • Kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang tanggungjawab terhadap kanak-kanak wajib ditingkatkan.
  • Peranan masyarakat sekeliling sebagai mata dan telinga pihak berkuasa perlu digerakkan.
  • Tingkatkan pendidikan agama dalam kalangan masyarakat agar masyarakat lebih terdidik dengan ajaran agama yang secara langsung dapat menyekat kejadian yang tidak bertamadun ini.
  • Kursus keibubapaan oleh pihak-pihak tertentu wajar diperbanyak agar para ibu bapa lebih sedar akan peranan mereka dalam institusi kekeluargaan.
  • Menggubalkan undang-undang bukan sahaja menghukum pesalah malah menggubal undang-undang pencegahan awal agar segala kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.
  • Peranan ahli keluarga terdekat dalam memberikan nasihat, mengambil berat dan bertindak tegas terhadap ahli keluarga sendiri yang terlibat hendaklah ditingkatkan.
  • Kerajaan melalui kementerian tertentu perlu mengambil langkah-langkah proaktif dan relevan dalam menangani kes penderaan terhadap kanak-kanak ini.
  • Membasmikan masalah kemiskinan dan keciciran dalam pelajaran juga boleh membantu mengurangkan kes penderaan.
  • Anggota polis perlu diberikan latihan yang cukup untuk membanteraskan kejadian ini manakala anggota masyarakat pula perlu prihatin dan bukan sekadar bertindak sesudah terlewat.
  • Pemimpin masyarakat mestilah memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan dalam mengesan dan seterusnya membanteraskan kes penderaan ini.
  • Pihak berwajib hendaklah mewujudkan pusat-pusat jagaan yang sempurna untuk menempatkan kanak-kanak yang malang agar mereka mendapat perhatian dan kebajikan.
  • Manusia-manusia yang didapati menjadi pendera ini hendaklah diberikan pengajaran yang secukup-cukupnya setimpal dengan apa yang telah dilakukannya.

AL-FATIHAH BUAT ADIK SYAFIAH…


Esei: Usaha-usaha menangani masalah keciciran dalam kalangan pelajar…?

FAKTA:-

  • 40% atau 200,000 orang kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan tidak mendapat pendidikan prasekolah.
  • 92% sahaja pelajar yang berjaya menamatkan persekolahan rendah dari tahun 1 – tahun 6.
  • Kemiskinan dan petempatan yang jauh terpencil serta sikap ibu bapa menjadi punca utama masalah ini.
  • Dana Lembaga Amanah Kementerian Pelajaran sebanyak RM200 juta diluluskan Kabinet untuk membantu murid miskin di sekolah rendah.

Antara usaha menangani masalah keciciran dalam kalangan pelajar ialah:-

  • Kerajaan perlu mewajibkan pendidikan sekolah rendah kepada semua kanak-kanak.
  • Pihak kerajaan dan NGO mesti menyalurkan bantuan kewangan dan prasarana kepada golongan miskin.
  • Kerajaan perlu memastikan setiap orang diberi hak yang sama untuk mendapatkan pendidikan (pendemokrasian pendidikan)
  • Kerajaan perlu menambahkan peruntukan dalam sektor pendidikan.
  • Kempen kesedaran peripentingnya ilmu hendaklah dipergiat dan mesti berterusan terutama golongan masyarakat di luar bandar.
  • Anggota masyarakat perlu menyalurkan maklumat tentang golongan yang memerlukan bantuan dan golongan ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak mereka.
  • Mewujudkan asrama dan kemudahan lain kepada golongan yang memerlukan.
  • Menaik taraf kemudahan di sekolah.
  • Mengenakan denda yang berat terhadap ibu bapa yang tidak menyekolahkan anak mereka.
  • Mengadakan skim bantuan seperti pemberian biasiswa kepada bukan sahaja pelajar yang pintar tetapi juga kepada pelajar yang miskin.
  • Kerajaan mestilah membantu pelajar yang tercicir ini dengan memberikan latihan kemahiran yang bersesuaian dengan menubuhkan sekolah vokasional.

Esei: Bagaimana membanteras gejala ragut…?

Gejala ragut semakin menular dan amat buruk kesannya kepada semua. Antara langkah membanteras gejala ragut ini adalah:-

  • Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan yang tegas dan berkesan dalam menangani gejala ini, seperti;-
  1. menambahkan anggota polis di kawasan-kawasan panas
  2. meningkatkan rondaan dan risikan
  3. mewujudkan pusat pemeriksaan bergerak, balai polis bergerak dll
  4. menjalinkan kerjasama antara jabatan
  • Semua pihak mestilah memainkan peranan yang berkesan dalam membanteras gejala ini.
  • Anggota masyarakat mestilah lebih berhati-hati supaya tidak memberikan ruang kepada peragut bertindak.
  • Kempen kesedaran tentang bahaya gejala ragut perlu dilaksanakan secara agresif dan sepanjang masa.
  • Langkah pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang perlu ditingkatkan.
  • Menggubal undang-undang yang lebih berat terhadap peragut agar menjadi teladan dan amaran kepada peragut lain.
  • Anggota masyarakat perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi  tindakan peragut dengan cara mempelajari ilmu pertahanan diri.
  • Masyarakat diberikan ingatan agar tidak membawa wang tunai yang banyak sebaliknya penggunaan kad debit dan kad kredit digalakkan.
  • Orang ramai perlu diberikan pendidikan agama yang sempurna kerana pendidikan agamalah yang boleh menjadi benteng awal berlakunya kes ragut.
  • Pihak kerajaan dan NGO wajar meningkatkan usaha membanteras kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia kerana perkara ini ada kaitan rapat dengan peningkatan kes ragut.
  • Pihak kerajaan juga perlu memikirkan langkah bagi mengatasi masalah pengangguran terutamanya di bandar-bandar.
  • Institusi rumah tangga juga perlu diperkukuh supaya dapat melahirkan generasi baru yang sempurna akhlaknya.
  • Peranan media dan ketua-ketua agama dalam menyebarkan dakwah dan kempen pencegahan perlu dilipatgandakan.


Esei: Punca-punca kegiatan kokurikulum tidak begitu disukai pelajar…?

Antara punca kegiatan kokurikulum tidak begitu disukai oleh pelajar :-

  • Pihak sekolah melaksanakan kegiatan kokurikulum seperti melepaskan batuk di tangga.
  • Pihak sekolah mengecualikan pelajar kelas peperiksaan daripada sebarang aktiviti kokurikulum.
  • Sikap ibu bapa yang meletakkan keutamaan tentang pencapaian akademik.
  • Perbelanjaan yang agak besar bagi menyediakan keperluan untuk bergiat dalam kegiatan ini.
  • Kekurangan peruntukan untuk menjalankan aktiviti menyebabkan kegiatan ini hambar dan tidak berjaya menarik minat pelajar.
  • Kesuntukan masa menyebabkan pelajar menjadikan hari cuti untuk menyiapkan kerja sekolah dan berehat.
  • Kekurangan pakar dan pemimpin yang berkebolehan di pihak guru menyebabkan kegiatan ko menjadi kosong dan membuang masa.
  • Sikap sesetengah pihak pengurusan sekolah yang memandang serong terhadap pelajar yang terlibat dan aktiviti ko itu sendiri.
  • Kurang kesedaran tentang kepentingan ko menyebabkan pelajar tidak berminat.
  • Kekurangan kemudahan prasarana seperti kawasan yang sesuai, peralatan, pengangkutan dan kewangan menyebabkan kegiatan ini menjadi seperti hidup segan mati tak mahu.
  • Pihak sekolah juga kementerian lebih mengutamakan prestasi akademik daripada prestasi bidang lain.
  • Kurang mendapat sokongan daripada anggota masyarakat dan pihak swasta juga pihak  kerajaan.


    Esei: Langkah menangani skim cepat kaya…?

    Skim cepat kaya ialah satu penipuan yang terang-terangan. Walau bagaimanapun, bukan sedikit rakyat negara ini yang terlibat dengan skim ini. Mereka mudah lupa diri apabila disogokkan dengan keuntungan yang berlipat ganda, dalam masa yang singkat pula, walhal itu semua adalah gimik semata-mata.

    Antara langkah menangani skim cepat kaya ialah:-

    • Pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia dan polis mestilah bertindak pantas membanteras skim cepat kaya yang muncul.
    • Tindakan tegas seperti mengenakan hukuman yang berat terhadap penganjur dan juga orang ramai yang terlibat.
    • Masyarakat mesti diberikan penjelasan tentang bahaya skim ini serta helah penipuan orang yang tidak bertanggungjawab.
    • Menggubal undang-undang yang lebih relevan dengan kesalahan yang dilakukan.
    • Mekanisme sistem kewangan negara perlu dimantapkan seperti memudahkan prosedur pemberian pinjaman kewangan kepada golongan yang memerlukan.
    • Perancangan dan pelaksanaan undang-undang penguatkuasaan wajiblah bersifat tegas dan tanpa mengira masa.
    • Penguat kuasa wajar diberikan latihan dan pendedahan terkini untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan membanteraskan segala bentuk skim cepat kaya.
    • Pihak swasta seperti bank mestilah memainkan peranan penting dan tidak menjadi ejen skim cepat kaya.
    • Kempen penerangan bagi menggalakkan rakyat menyertai skim pelaburan konvensional yang sah perlu digerakkan.
    • Mana-mana laman web yang mengendalikan skim cepat kaya mestilah dihalang daripada beroperasi.
    • Kakitangan kerajaan yang terlibat perlu dikenakan tindakan tegas seperti buang kerja dan lain-lain.

    Esei: Usaha-usaha menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan…?

    Tarikh 5 Disember setiap tahun ialah Hari Sukarelawan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Budaya kesukarelaan di negara kita semakin pudar dan perlu digilap segera.

    Hakikatnya budaya sebegini sebenarnya menjadi amalan utama masyarakat kita sedikit masa dulu tetapi disebabkan pelbagai faktor, budaya ini semakin dilupakan.

    Antara usaha dan langkah strategik yang komprehensif untuk menggalakkan rakyat Malaysia melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan ialah:-

    • Membudayakan kegiatan kesukarelaan dalam kalangan masyarakat.
    • Meraikan sambutan  Hari Sukarelawan Antarabangsa di peringkat negara setiap tahun.
    • Media massa menjadi ejen aktif dalam mempromosikan aktiviti kesukarelaan.
    • Kerajaan perlu menggalakkan pihak swasta melaksanakan program kesukarelaan menerusi ‘tanggungjawab sosial korporat’ (CSR) seperti melibatkan kakitangannya dengan kerja kemasyarakatan.
    • Majikan sama ada kerajaan atau swata mestilah memberikan pengiktirafan terhadap pekerjanya yang aktif dalam kegiatan sukarela dalam bentuk hadiah, sijil anugerah, bonus dan sebagainya.
    • Pemberian cuti tanpa rekod yang dipohon oleh sukarelawan haruslah dipermudah.
    • Sumbangan bakti oleh sukarelawan perlu diambil kira dalam proses kenaikan pangkat, peluang melanjutkan pelajaran dan lain-lain.
    • Agensi kerajaan perlu menjana pertumbuhan organisasi sukarela dengan bantuan kewangan dan kemudahan prasarana.
    • Melaksanakan kempen kesedaran bermula seawal di peringkat sekolah rendah lagi.
    • Mewujudkan pertubuhan bercorak kesukarelawan di sekolah dengan lebih banyak.
    • Memupuk semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat tidak mengira perbezaan yang wujud.
    • Kepimpinan melalui teladan; para pemimpin juga mestilah menonjolkan teladan yang baik, seperti terlibat secara aktif.

    Mercy Malaysia berbakti di mana saja...?

    Esei: Usaha-usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat…?

    Isu perpaduan sering diperkatakan berulang-ulang kali dan akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Namun banyak pihak yang akur dan mengakui bahawa perpaduan kaum di negara kita adalah lebih baik berbanding dengan sesetengah negara lain di dunia.

    Antara usaha yang telah dan boleh dilaksanakan ialah:-

    • Kerajaan perlu sentiasa mengingatkan rakyat agar mengutamakan aspek perpaduan.
    • Rakyat pula tidak seharusnya berasa jemu dengan peringatan itu malah sentiasa proaktif.
    • Pemimpin politik yang mewakili sesuatu kaum atau etnik tidak memainkan isu-isu perkauman yang sempit demi meraih populariti.
    • Semua pihak wajib mengelakkan pergeseran walaupun hanya pergeseran kecil.
    • Kerajaan telah berusaha secara berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mengamalkan persefahaman kaum, toleransi beragama dan konsep perpaduan nasional.
    • Peranan anggota masyarakat serta ibu bapa mendidik generasi muda agar menerima dan mengamalkan konsep perpaduan.
    • Mengurangkan atau mengecilkan jurang perbezaan yang masih terdapat antara kaum seperti jurang ekonomi, polarisasi petempatan, kerjaya dan seumpamanya.
    • Mengeratkan perhubungan dengan cara menyertai sambutan perayaan bersama-sama seperti program rumah terbuka, kunjung-mengunjungi, usaha sama dalam perniagaan dan lain-lain.
    • Menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan polis dan angkatan tentera, menjadi kakitangan kerajaan.
    • Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang kerap seperti kejohanan sukan, pameran dan kesenian.
    • Menggalakkan perkahwinan campur.
    • Peranan pihak swasta dan NGO perlu dimaksimumkan.
    • Meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan keselamatan bagi menjaga ketenteraman negara daripada ancaman musuh dari luar dan dalam.
    • Kerajaan mestilah mengutamakan keadilan dalam setiap aspek.
    • Kenali segera punca dan sebab tercetusnya sesuatu pergeseran dan tindakan segera juga perlu diambil bagi menanganinya.
    • Semua golongan mestilah sentiasa memohon doa kepada Tuhan agar negara kita sentiasa kekal aman sentosa.

    Esei: Kepentingan seni pertahanan diri…?

    Seni pertahanan diri ialah kemahiran dan kepandaian yang dimiliki oleh seseorang dalam selok-belok ilmu mempertahankan diri daripada sebarang ancaman serta gangguan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa. Di negara kita, terdapat pelbagai jenis seni pertahanan diri seperti silat, karate, tae kwan do, kendo, kung fu, tomoi dan sebagainya.

    Antara kepentingan seni pertahanan diri ialah:-

    • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam seni pertahanan diri yang diceburi
    • mengelakkan diri remaja daripada terlibat dengan aktiviti yang negatif
    • memastikan tahap kesihatan tubuh badan yang sempurna
    • mampu menjana stamina yang lebih mantap dan daya pemikiran yang lebih cerdas
    • membolehkan kita menjalani kehidupan yang lebih sihat
    • menjadikan kita lebih berdisiplin
    • dapat membina dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri
    • dapat melindungi diri dan keluarga daripada ancaman bahaya atau disakiti oleh orang lain
    • mengurangkan kejadian yang berunsurkan jenayah dalam masyarakat
    • mewujudkan keadaan aman dan makmur di sesebuah kawasan kejiranan
    • memupuk semangat kerjasama dan semangat perpaduan
    • menyumbangkan pendapatan sampingan kepada sesetengah orang

    Esei: Kelebihan komik dalam pembelajaran…?

    Komik, kartun dan kanak-kanak sememangnya tidak dapat dipisahkan. Senario ini kadang-kadang tidak boleh diterima oleh para ibu bapa. Mereka beranggapan bahawa bahan-bahan bacaan seperti ini akan menjejaskan daya perkembangan minda anak-anak mereka.

    Sebenarnya  jika komik, kartun dan seumpamanya diaplikasikan dengan baik, maka kesan positifnya amatlah ketara. Komik dan kartun memainkan peranan yang besar dalam menggalakkan budaya minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seterusnya menjadi pemangkin ke arah pembentukan budaya ilmu.

    Antara kelebihan komik dan kartun dalam pembelajaran ialah:-

    • Mempunyai daya tarikan yang kuat dan efektif kepada kanak-kanak kerana kandungannya memenuhi cita rasa mereka.
    • Grafik dan seni lukis yang cantik, dialog yang dimuatkan dalam setiap karakter menyeronokkan kanak-kanak untuk belajar.
    • Mampu mengajak kanak-kanak untuk bersantai dengan buku-buku pelajaran.
    • Lukisan sesuatu karakter kartun mempercepat proses penerimaan mesej atau ilmu yang mahu disampaikan.
    • Kanak-kanak lebih mudah menerima pelajaran melalui ilustrasi berbanding abjad-abjad tulisan.
    • Dapat menyampaikan mesej tersurat dan tersirat dengan lebih jelas dan mudah.
    • Dapat memupuk daya kreativiti kanak-kanak.
    • Dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar.
    • Memberikan hiburan dan humor kepada masyarakat pendidik dan anak-anak didik mereka.
    • Memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
    • Guru dapat mempelbagaikan kaedah mengajar dan menggunakan komik sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan.

    Esei: Peranan media dalam pembangunan negara…?

    Media memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan negara. Antara peranannya ialah:-

    • Sebagai elemen penggerak bagi mencapai matlamat dan wawasan negara.
    • Melaporkan peristiwa di dalam dan di luar negara sebagai sumber rujukan ilmu dan teladan kepada rakyat.
    • Menjadi cerminan masyarakat.
    • Menjadi ejen mendekatkan diri rakyat dengan pemimpin dan sebaliknya.
    • Menyedarkan rakyat tentang kepentingan proses pembangunan negara.
    • Menjadi ejen penyampai dasar kerajaan ke seluruh pelosok tanah air.
    • Memberikan sumbangan dan membantu menghapuskan masalah kemiskinan.
    • Memenuhi tanggungjawab sosial melalui pendedahan masalah yang dihadapi masyarakat.
    • Berperanan sebagai pendidik kepada golongan berada dan berkeupayaan membantu golongan yang tidak bernasib baik.