Esei: Kepentingan industri pelancongan kepada negara…?

Terlalu banyak kepentingan/kebaikan/manfaat/kemaslahatan/kelebihan industri pelancongan kepada negara, antaranya:-

  1. Meningkatkan pendapatan negara melalui kemasukan wang asing.
  2. Mengurangkan masalah pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak.
  3. Meningkatkan taraf hidup rakyat.
  4. Mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan yang berpendapatan rendah.
  5. Meningkatkan kemudahan prasarana negara seperti sistem pengangkutan, perhotelan, perkhidmatan dan kesihatan.
  6. Mempromosikan negara kita ke peringkat global.
  7. Meningkatkan perkembangan industri sampingan seperti industri kraf tangan, restoran dan pusat peranginan.
  8. Menjalinkan hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain.
  9. Merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor perhotelan, perkhidmatan, pengangkutan, kesihatan dan pertanian.
  10. Meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk negara.
  11. Meningkatkan pengetahuan rakyat tentang budaya dan ketamadunan bangsa asing.
  12. Menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat.
  13. Mengurangkan kadar kemiskinan rakyat.
  14. Mengurangkan kadar kes jenayah.
  15. Membantu negara mencapai wawasan 2020.

Esei: Bincangkan implikasi ditanggung masyarakat ekoran daripada sistem pelupusan sampah yang tidak cekap…

Pendahuluan:-

Kepesatan pembangunan menuntut sebuah negara membangun seperti Malaysia menguruskan sistem pelupusan sisa pepejal domestik iaitu sampah dengan efektif. Kerajaan amat komited dalam aspek berkenaan dan ini terbukti dengan kewujudan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta agensi seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Terdapat juga penggubalan Dasar Teknologi Hijau Negara. Di peringkat antarabangsa, Malaysia menandatangani Protokol Kyoto 1997 bagi menangani kesan perubahan iklim dan pemanasan global ekoran daripada kesan rumah hijau. Namun di sebalik komitmen itu, beberapa perkara memerlukan perhatian dan penambahbaikan segera terutama dari segi pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal (sampah) di negara ini.

Isi Pokok: (Implikasi yang ditanggung masyarakat)

  • Kualiti hidup masyarakat terjejas;
  1. Bau busuk daripada longgokan sampah menyebabkan rasa tidak selesa dan boleh menjejaskan kesihatan anggota masyarakat.
  2. Pandangan negatif masyarakat luar.
  • Mempengaruhi pendapatan masyarakat;
  1. Menjejaskan peluang perniagaan masyarakat setempat terutamanya kepada pengusaha-pengusaha restoran, kedai makan dan lain-lain.
  2. Membantutkan kegiatan ekonomi seperti nelayan, petani dan pengusaha pelancongan.
  3. Menyebabkan berlakunya kejatuhan nilai harta seperti tanah dan rumah kediaman.
  • Menjadi sarang vektor-vektor pembawa bakteria dan virus;
  1. Boleh menyebabkan peningkatan kes keracunan makanan dalam kalangan masyarakat.
  2. Menularnya pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
  • Meningkatnya kos hidup anggota masyarakat setempat;
  1. Mendapatkan rawatan dan pemulihan ahli keluarga.
  2. Terpaksa berbelanja untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan.
  3. Membeli peralatan mencuci dan bau-bauan.
  • Melumpuhkan industri pelancongan;
  1. Menjejaskan sumber pendapatan daripada industri pelancongan seperti hotel, chalet dan rumah tumpangan.
  2. Menjejaskan jumlah kedatangan palancong.
  • Menjejaskan ekonomi negara;
  1. Menjejaskan pendapatan anggota masyarakat.
  2. Menjejaskan peluang pekerjaan.
  3. Meningkatkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat.

SOALAN BM 1 (B(1))KLON SPM 2010…?

Bahagian B:-

  1. Bincangkan peranan sebagai seorang pengawas sekolah untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

Cadangan isi:-

  • Pengawas menjadi contoh atau suri teladan kepada pelajar lain dengan penampilan diri dan  disiplin yang baik.
  • Pengawas boleh menjadi ejen perhubungan yang baik dengan semua pihak ( ibu bapa, guru, pelajar lain )
  • Pengawas boleh menjadi pemimpin kepada pelajar-pelajar lain.
  • Pengawas perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan adil serta boleh berdikari.
  • Pengawas perlu melaporkan salah laku pelajar kepada pihak guru agar tindakan segera dapat dilaksanakan.
  • Pengawas perlu patuh akan peraturan sekolah.
  • Pengawas membantu guru melaksanakan peraturan sekolah.
  • Pengawas sentiasa bertindak menjadi mata dan telinga pihak sekolah dalam menguatkuasakan peraturan.
  • Pengawas menjadi ejen yang memberikan penerangan tentang sesuatu peraturan yang akan dilaksanakan.

Esei: Faktor menularnya kes pembuangan bayi…?

Pendahuluan:

  • Mutakhir ini kejadian pembuangan bayi di negara kita begitu menular dan amat membimbangkan.
  • Hal ini menunjukkan betapa negara kita semakin dilanda oleh gejala kebejatan sosial yang sukar dibendung.
  • Pelbagai faktor yang menyebabkan kes ini semakin menular, antaranya:-

Isi-isi (Faktor):-

  1. Pegangan agama yang semakin rapuh dalam kalangan remaja. Mereka mudah tercebur kepada perbuatan mungkar kerana cetek ilmu agama.
  2. Pengaruh negatif yang tersebar luas dalam kalangan remaja. Perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang lebih membawa keburukan jika tidak dipantau.
  3. Kurangnya kawalan oleh ibu bapa kerana terlalu sibuk dengan urusan mencari nafkah dan kekayaan dunia. Anak dibiarkan bebas tanpa sedikit pun kawalan.
  4. Langkah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak bertanggungjawab membuka peluang yang lebih kepada remaja yang hidup tanpa pegangan dan hala tuju yang jelas.
  5. Pengaruh rakan sebaya dan masyarakat sekeliling amat dominan dalam mempengaruhi tingkah laku para remaja.
  6. Kurang kesedaran dalam diri remaja menyebabkan mereka mudah bertindak mengikut nafsu dan perasaan.
  7. Pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tanpa had dan batasan mudah menarik mereka melakukan seks haram.
  8. Anggota masyarakat dan jiran yang mengambil sikap ‘seperti enau di dalam belukar’ menyebabkan kes pembuangan bayi sukar dibanteras.
  9. Sistem pendidikan yang terlalu mengutamakan akademik juga menjadi pemangkin meningkatnya kes pembuangan bayi.

Penutup:

  • Pelbagai faktor yang sama-sama membantu meningkatkan kes pembuangan bayi.
  • Semua pihak perlu berganding bahu secara bersungguh-sungguh membanteras gejala sesat ini.
  • Remaja mestilah sedar bahawa perbuatan membuang bayi ialah perlakuan keji yang amat dilarang oleh agama.

Esei: Ciri-ciri remaja cemerlang…?

Remaja merupakan bakal pemimpin masa depan yang memikul amanah dan tanggungjawab meneruskan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kita memerlukan golongan remaja yang cemerlang bagi membawa hala tuju negara menjadi sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

Antara ciri remaja cemerlang adalah seperti:-

  • memiliki ilmu pengetahuan dan ilmu agama serta mengamalkannya
  • mempunyai tahap disiplin yang kukuh
  • menjadikan budi bahasa sebagai amalan hidup
  • memiliki sahsiah dan ketrampilan diri yang mapan
  • merupakan remaja yang memiliki nilai tambah dan modal insan kelas pertama
  • sihat fizikal dan mental
  • mengamalkan toleransi

Esei: Langkah Memupuk Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat…?

Pendahuluan:

  • Isu perpaduan sering diperkatakan.
  • Banyak pihak akur bahawa perpaduan kaum di negara kita lebih baik berbanding dengan negara lain.
  • Perpaduan merupakan elemen penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Isi Esei: (Langkah-langkah)

  • Kempen kesedaran pentingnya perpaduan mestilah dilaksanakan sepanjang tahun oleh pihak kerajaan, swasta dan anggota masyarakat.
  • Pemimpin politik  yang mewakili kaum sewajarnya tidak memainkan isu-isu perkauman yang sempit semata-mata untuk popular.
  • Semua pihak mesti berusaha mengelakkan pergeseran walaupun sekecil mana.
  • Generasi muda patut dibentuk sahsiah dan jati dirinya ke arah pewujudan konsep 1Malaysia.
  • Menganjurkan program-program yang memberikan peluang kepada semua kaum terlibat sama seperti gotong-royong, sukan dan rekreasi, sambutan perayaan dan sebagainya.
  • Mengemaskinikan kurikulum sekolah yang lebih menjurus ke arah perpaduan kaum.
  • Kerajaan mestilah berusaha gigih untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum seperti taraf ekonomi, pendidikan dalam kalangan masyarakat.
  • Pihak berkenaan mestilah bertindak cepat dan tegas dalam membanteras kes-kes yang berunsurkan perkauman dan persengketaan antara kaum.

Penutup:

  • Bersatu teguh, bercerai roboh.
  • Semua pihak mesti berganding bahu dalam usaha meningkatkan dan mengekalkan semangat perpaduan kaum di negra kita agar kita dapat hidup dalam suasana aman dan damai.
  • Kerjasama ini bagai aur dengan tebing.

Esei: Kesan penggunaan telefon bimbit kepada golongan remaja…?

Telefon bimbit merupakan alat komunikasi yang sangat popular dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini tidak terkecuali golongan remaja. Penggunaannya semakin meluas disebabkan harganya semakin mampu dibeli serta memiliki teknologi yang amat canggih.

Antara kesan baik penggunaan telefon bimbit:-

  • menjadi penghubung yang efektif
  1. boleh menghubungi keluarga jika perlu
  2. menjadi media untuk berkomunikasi dengan rakan pelajar
  3. mengeratkan hubungan silaturahim
  • menjadi media penyalur maklumat dan hiburan
  1. boleh berkongsi ilmu dan maklumat dengan berkesan
  2. menghilangkan kebosanan dengan mendengar muzik dan menonton video

Manakala kesan buruknya pula:-

  • membazirkan wang kerana terpaksa menjelaskan bil
  1. wang sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang lebih perlu
  2. remaja leka sehinggakan bil telefon bimbit berganda
  • membuang masa kerana leka oleh hiburan yang tersedia
  1. mengabaikan pelajaran sehingga tercicir
  2. mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan diri sendiri

Kesimpulan:-

Telefon bimbit seharusnya digunakan secara bijak oleh golongan remaja. Ibu bapa mestilah memantau penggunaan telefon bimbit oleh anak-anak mereka agar tidak disalahgunakan.

Esei: Faedah menyertai aktiviti perkhemahan…?

TEMA:

  • Aktiviti luar bilik darjah / aktiviti kokurikulum

TUGASAN:

  • Faedah-faedah yang diperoleh melalui aktiviti perkhemahan

CONTOH PENDAHULUAN:

(AR) Aktiviti kokurikulum yang pelbagai kini semakin diminati oleh golongan pelajar terutamanya aktiviti yang mampu mencabar kemampuan dan kreativiti mereka. (AH) Hal ini agak selari dengan sifat semula jadi seseorang remaja yang memang dahagakan cabaran dan pengalaman baru yang lebih unik. Aktiviti perkhemahan misalnya, jika dirancangkan dengan betul dan rapi, sudah pasti akan mampu menjana pelbagai faedah kepada mereka yang terlibat. (UBI) Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. (AA) Pelbagai faedah yang akan diperoleh melalui penganjuran aktiviti perkhemahan.

Catatan:

  • AR = Ayat rangsangan ( ayat berkaitan tema )
  • AH = Ayat huraian
  • AA = Ayat arahan ( ayat berkaitan tugasan / kehendak soalan )
  • UBI = Ungkapan bahasa indah

Vandalisme dalam kalangan pelajar…?

Penulisan : Vandalisme dalam Kalangan Remaja

Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme

i. Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya  lebih mudah meniru dan terpengaruh oleh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

ii. Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak  menghiraukan papan tanda  had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak  dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

iii. Pengaruh Media Massa

Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari Barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme juga boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.

iv. Sikap Apati ( tidak peduli), Individualistik dan Materialistik

Remaja ialah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah anggota masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar  sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Langkah-langkah

i. Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan  kepada rakan-rakan.

ii. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

iii. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah.

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan  memberikan perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya  beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.

iv. Peranan Media Massa

Selain berfungsi  sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang  terdapat dalam media massa.

Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan  dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.

Ubah suai daripada http://www.tutor.com.my

Esei: Cara seseorang anak membalas jasa kedua-dua orang ibu bapa…?

PENDAHULUAN:-

  • AR: Insan-insan yang bergelar ibu dan bapa merupakan permulaan hidup kita di dunia yang fana ini.
  • AH: Dengan jasa dan pengorbanan merekalah maka kita anak-anak berpeluang menghirup nikmat kehidupan yang tiada tolok bandingnya.
  • AH: Tanpa mereka, tiadalah kita. Tanpa jasa dan pengorbanan mereka, semestinya kita tidak akan berada di tempat seperti yang kita ada sekarang.
  • UBI: Kasihnya ibu membawa ke syurga, begitulah kalimat suci dan keramat yang sewajarnya menjadi pegangan setiap insan yang bergelar anak.
  • AH: Namun, apa yang menggoreskan perasaan dan hati kecil kita, kedapatan insan yang berhati mulia ini disisih serta dibuang oleh anak-anak umpama kain buruk,  setelah mereka di penghujung usia.
  • AA: Sebenarnya, pelbagai cara yang dapat kita laksanakan demi membalas jasa dan pengorbanan kedua-dua orang ibu bapa kita sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Antara cara seseorang anak membalas jasa kedua-dua orang ibu bapa ialah:-

  • Seseorang anak mestilah sentiasa meletakkan keutamaan terhadap ibu bapa lebih daripada yang lain.
  • Seseorang anak mestilah sentiasa hormat, taat akan suruhan, menunjukkan kemesraan, ringan tulang dan mestilah menjaga maruah dan nama baik keluarga.
  • Sebagai seorang anak yang masih di bangku persekolahan, kita mestilah berusaha, tekun dalam menuntut ilmu agar menjadi anak yang cemerlang dalam pelajaran. (Hadiahkan mereka dengan segulung ijazah… )
  • Sebagai seorang anak, kita mestilah berusaha untuk menjadi insan yang sempurna dari segi sahsiah, minda, emosi dan fizikal.
  • Setelah dewasa dan berjaya dalam kehidupan, seseorang anak mestilah berusaha membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa seperti membantu dari segi kewangan, perubatan, tempat tinggal, kenderaan dan lain-lain mengikut kemampuan diri.
  • Apabila berada berjauhan daripada ibu bapa, seseorang anak mestilah kerap melawat, menghubungi serta bertanya khabar walaupun sesibuk mana kita.
  • Apabila wujud pertelingkahan atau pertentangan pendapat, seseorang anak mestilah bijak menuturkan kata agar mereka tidak berkecil hati. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Jauhi sifat suka meninggi diri dengan mereka.
  • Jika ibu bapa kita dulunya merupakan ‘orang miskin’ dan terpaksa mencurah keringat demi sesuap nasi untuk membesarkan kita, maka sepatutnya kita membalas jasa mereka dengan memberikan kesenangan hidup, menghantarkan mereka ke Mekah, membawa mereka melancong dan sebagainya.
  • Paling utama dan penting, cara membalas jasa kedua-dua orang ibu bapa kita adalah dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Jadilah anak yang soleh dan solehah yang boleh dibanggakan oleh mereka, agama dan juga bangsa.