Archive for Mei, 2009


Penulis pernah mendengar ada beberapa orang peserta bengkel BM PMR memberitahu bahawa gurunya mengatakan:-

  • Ayat yang dimulai dengan KSN seperti yang dan kerana adalah salah! Contohnya;-
  1. Yang berbaju kurung itu kakak saya.
  2. Kerana lapar, budak itu menangis.

SEBENARNYA, dua baris ayat di atas tiada cacat celanya. Ayat itu betul. Untuk makluman pelajar, ayat tersebut ialah ayat songsang.

  • Ayat Biasa   = Subjek + Predikat
  • Ayat Songsang = Predikat + Subjek

Bab ayat biasa dan ayat songsang akan dibincangkan nanti.

-kah merupakan kata partikel yang sering digunakan dalam ayat tanya. Ayat tanya menjadi lebih sempurna jika dimasukkan kata partikel ini.

Tapi AWAS! -kah tidak boleh digunakan di belakang atau di hujung ayat tanya. Contohnya,:-

  • Umur kamu berapakah? X
  • Itu sekolah kamukah?  X

SEPATUTNYA, begini:-

  • Umur kamu berapa?
  • Berapakah umur kamu?
  • Itukah sekolah kamu?
  • Itu sekolah kamu?

RINGKASNYA, partikel -kah tidak boleh digunakan di hujung setiap ayat tanya. -kah sebenarnya tidak semestinya digunakan dalam setiap ayat tanya. Kadang-kadang -kah boleh digugurkan sahaja.

Anisss, kenapa tak tanya ..... takut ke?

Anisss, kenapa tak tanya ..... takut ke?

  • Boleh membawa maksud > keizinan, kebenaran
  • Dapat membawa maksud > keupayaan,kemampuan, kebolehan

Jadi adalah SALAH jika:-

  1. Adik saya sudah boleh berjalan.  X  .. (siapa yang benarkan?)
  2. Saya boleh menyelesaikan masalah Matematik itu.  X

SEPATUTNYA begini:-

  1. Adik saya sudah dapat berjalan.  /
  2. Saya dapat menyelesaikan masalah Matematik itu.  /

Kata BOLEH, betul jika digunakan dalam ayat

Tanya apa? Azim

Tanya apa? Azim

-ayat di bawah:-

  1. Pelajar Tingkatan 3 Delta boleh balik awal hari ini. (beri kebenaran)
  2. Boleh saya bertanyakan cikgu satu soalan’, tanya Azim kepada gurunya.

Bukan dan tidak merupakan kata tugas yang tergolong dalam kata nafi. Fungsi kedua-dua patah kata tersebut adalah untuk menafikan sesuatu, cuma awas! Pengunaannya agak berbeza:-

  • Bukan > untuk menafikan kata nama (KN) dan kata sendi nama (KSN)

Contohnya:-

  1. Ali bukan seorang guru. (KN)
  2. Hadiah itu bukan untuk saya. (KSN)

  • Tidak > untuk menafikan kata adjektif (KA) dan kata kerja (KK)
  1. Orang itu tidak gemuk. (KA)
  2. Cikgu itu tidak merokok. (KK)

Jadi SALAH jika begini;-

  1. Ayah Ali tidak guru.(KN)  > bukan guru
  2. Budak itu bukan membaca buku. (KK) > tidak membaca

Ya Allah,

Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang,

Pada-Mu aku bersujud memohon ampun,

Permudahkan jalan hidupku,

Pimpinlah aku ke jalan keredaan-Mu,

Perkuatkan semangat juangku,

Mendidik anak bangsaku,

Menjadi manusia yang berjasa,

Memakmurkan dunia amanah-Mu,

Ya Allah Ya Tuhanku

Ya Allah Ya Tuhanku

Ya Allah, janganlah Engkau sisihkan aku daripada-Mu,

Ya Tuhan, semesta alam.

[Penulis, 31 Mei 2009]

Jemput / undang ?

Kata jemput membawa maksud:-

  • disambut, diambil
  • ambil dengan hujung jari

Contoh ayat:-

  • Saya pergi ke lapangan terbang untuk menjemput ayah.
  • Sejemput sahaja yang sempat saya makan kuih itu.

Kata undang pula bermaksud:-

  • panggilan, mempersilakan, mengajak, mempelawa
  • pembesar adat N9

Contoh ayat:-

  • Saya mengundang tokoh itu untuk membuat ucapan.

Jadi SALAH jika penggunaan jemput dalam ayat di bawah;-

  • Ramai peserta yang saya jemput ke majlis itu.
  • Saya telahpun menerima kad jemputan perkahwinan daripada awak.

SEPATUTNYA kata jemput dalam ayat di atas digantikan dengan undang dan kad undangan, barulah betul.

Faham….

Kemahiran bahasa

Ketika menandakan kertas esei pelajar, cikgu masih menemukan kesalahan yang sangat asas dan mudah iaitu tentang kata sendi nama (KSN). Cikgu rasa kecewa dan kadang-kadang lahir juga perasan marah.

  • KSN tugasnya adalah untuk menghubungkan dengan kata nama (KN).
  • KSN mestilah dijarakkan dengan KN, contohnya;-
  1. di pasar, di kedai, di sekolah, di majlis, di perpustakaan ….. //
  2. dipasar, dikedai, disekolah, dimajlis, diperpustakaan ….. XX

Yang ditulis rapat, dimakan, ditembak, ditolak …. “di” itu bukannya KSN sebaliknya sebagai imbuhan awalan.

Perkataan ini biasanya digunakan secara bertukar ganti. Hal ini menyebabkan keadaan tidak gramatis.

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4:-

  • pagut bermaksud cara ular “menggigit” mangsa
  1. Kaki Ali dipagut ular tedung.
  • patuk bermaksud “mencatuk” oleh binatang menggunakan paruh ( burung, ayam )
  1. Ayam itu sedang mematuk padi.
  • ragut bermaksud merampas “menyentak”, merabut, memakan rumput
  1. Lembu itu meragut rumput di padang.
  2. Kes meragut beg semakin menjadi-jadi.

Jadi,

Penggunaan patuk dalam ayat di bawah adalah salah sama sekali:-

  1. Petani itu meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung.   X

Antara dan di antara …..

Penggunaan kata antara dan di antara dilakukan sewenang-wenangnya, seolah-olah sama sahaja.

Sebenarnya kata antara dan di antara besar beza maknanya:-

  • antara menunjukkan perbandingan
  • di antara menunjukkan kedudukan / tempat

Contoh penggunaan dalam ayat:-

  1. Antara aku dengan dia, yang mana lebih baik.  /
  2. Di antara aku dengan dia, yang mana lebih baik.  X
  3. Aku berdiri di antara dua buah meja.  /
  4. Aku berdiri antara dua buah meja.  X

Antara juga membawa maksud jamak:-

  1. Antara pelajar-pelajar ….  X
  2. Antara pelajar ….  /