Archive for Jun 16, 2009


Menelaah / mentelaah…?

Menelaah ilmu berkumpulan

Menelaah ilmu berkumpulan

Kata dasar bagi dua perkataan di atas ialah ‘telaah’ yang bermaksud mengulang kaji, membaca atau …

Kata yang dieja bermula dengan huruf  ‘t’ apabila menerima imbuhan awalan meN-, bunyi ‘t’ akan dilenyapkan. Contohnya:-

  • tarik   > menarik bukannya mentarik
  • tolak   > menolak bukannya mentolak
  • tembak  > menembak bukannya mentembak
  • tadah   > menadah bukannya mentadah

JADI ejaan yang betul ialah ‘menelaah’

Pada 20 Jun 2009, Sabtu: 8.30 – 10.30 pagi, penulis diundang untuk menyampaikan ceramah Bahasa Melayu PMR di Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin.

Dijangkakan seramai 147 orang pelajar PMR sekolah tersebut akan terlibat. Semoga majlis yang dirancang akan berjalan dengan lancar.

Hukum D-M digunakan untuk memastikan frasa nama digunakan dengan betul. (D) bermaksud diterangkan ‘benda’ kemudian (M) bermaksud ‘menerangkan’ perihal benda tersebut.

RINGKASNYA untuk menyebut frasa nama, kita mestilah menyebut nama benda dahulu, barulah diikuti dengan menerangkan sifatnya;-

  • ikan besar   bukannya besar ikan
  • kipas putih bukannya putih kipas
  • pisang goreng bukannya goreng pisang
  • perkara-perkara lain bukannya lain-lain perkara
  • negeri lain bukannya lain negeri
  • Restoran Ali bukannya Ali Restoran
  • Klinik Gigi bukannya Gigi Klinik
  • Hal-hal lain bukannya lain-lain hal

Kata yang dihitamkan itu ialah benda (kata nama) yang kemudiannya diikuti dengan keterangan (menerangkan) sifatnya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga frasa nama yang terkecuali daripada hukum D-M. Hal ini demikian kerana frasa nama tersebut telah digunakan secara meluas, contohnya;-

  1. perdana menteri
  2. timbalan menteri
  3. naib presiden
  4. ibu pejabat
  5. pembantu penyelidik ….