Archive for Jun 23, 2009


Roti canai telor…?

Upp! Roti canai boleh bercakap? Pelik dan ajaib. Frasa yang penulis jadikan sebagai tajuk ini biasa ditemukan di gerai-gerai makan. Adakah ada roti canai yang memiliki keistimewaan seperti boleh bercakap, walaupun telor sedikit….

SEBENARNYA, ada sesetengah orang tidak cakna akan ejaan sesuatu kata, hatta yang paling mudah.

  • telor bermaksud pelat, tidak dapat menyebut kata dengan betul…
  • telur bermaksud benda yang mengandungi lembaga anak (ayam, burung ….)

SEPATUTNYA frasa di atas itu ditulis begini “Roti canai telur”, barulah betul!

Banjir besar itu telah menenggelamkan kawasan tanah rendah itu.  > Betul atau salah ayat ini?

Sila lihat maksud kata di bawah;-

  • menenggelamkan bermaksud membenamkan ke dalam air, menjadikan karam …
  • menenggelami pula bermaksud membanjiri, menggenangi …

Berdasarkan maksud yang diperoleh melalui Kamus Dewan Edisi ke-4, JELAS ayat di atas salah, kerana penggunaan kata ‘menenggelamkan’ di situ tidak sesuai. ¬†Kata yang lebih sesuai ialah ‘menenggelami’.

Contoh ayat ‘menenggelamkan’:

  1. Telah beberapa kali dia menenggelamkan botol itu ke dalam air longkang.
  2. Raksasa itu telah menenggelamkan beberapa buah kapal pasukan peronda laut.

Contoh ayat ‘menenggelami’:-

  1. Air sungai yang pasang besar itu telah menenggelami halaman rumahnya.
  2. Banjir kilat yang kerap berlaku itu biasanya mampu menenggelami kawasan-kawasan tanah rendah.

Ceramah BM untuk 40 orang pelajar terpilih SMK Tengku Bendahara akan diadakan di Pantai Malawi, Bachok pada 10 Julai 2009, jam 10.30 – 12.30 tengah hari.

Penulis berbesar hati atas undangan ini dan berjanji akan memberikan sesuatu yang terbaik buat pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Tengku Bendahara. Bagi penulis, inilah satu-satu cara yang mampu penulis lakukan untuk berbakti kepada anak bangsa tidak kira di mana mereka berada.

Terima kasih.