Keputusan pemansuhan PPSMI telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri selepas mengambil kira semua aspek. Semua pihak perlu menghormatinya dan usah lagi cuba menimbulkan polemik-polemik yang telah sekian lama bermaharajalela.

Sekarang ialah masa untuk bekerja, berusaha, bertindak, mengambil bahagian dan peranan dalam menjayakan dasar baru kerajaan ini. Usah menurut perasaan ego dan tidak mahu mengalah…

SEBENARNYA pemansuhan PPSMI bukannya bermakna kita menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, sebaliknya kita semakin sedar bahawa kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita sebenarnya wajar ditangani dengan betul.  Subjek Sains dan Matematik tidak harus menjadi kambing hitam dalam hal ini.

  • Analisis permasalahan:-
  1. Kegagalan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris walaupun berbelas-belas tahun mempelajarinya berpunca daripada kelemahan proses pengajaran & pembelajarannya di dalam kelas;
  2. Masalah kekurangan guru yang berkemahiran dan berpengalaman juga menjadi sebab utama;
  3. Sukatan pelajaran bahasa Inggeris di sekolah sepatutnya lebih mengutamakan kemahiran berkomunikasi bukannya tatabahasa semata-mata;
  4. JUmlah masa pembelajaran Bahasa Inggeris seminggu perlu ditambah;
  5. Sistem latihan guru Bahasa Inggeris di institut perguruan dan di universiti perlu digubal semula;
  6. Penghantaran guru-guru berkemahiran dan berpengalaman ke desa dan pedalaman hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh;
  7. Guru Bahasa Inggeris yang selama ini telah diberikan elaun khas perlu ditagih tenaga supaya lebih komited terhadap tugas membantu pelajar;
  8. Pihak berwajib perlu menambah prasarana seperti mengadakan makmal bahasa Inggeris di setiap sekolah;
  9. Komputer laptop PPSMI yang kosnya beratus-ratus ribu itu boleh dimanfaatkan dalam pengajaran & pembelajaran bahasa Inggeris;
  10. Adakan kursus-kursus bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bahasa Inggeris.

KESIMPULANNYA, lakukanlah apa-apa saja usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kerana semua orang tahu, bahasa Inggeris itu amat penting. CUMA jangan kerana bahasa Inggeris subjek lain seperti Bahasa Melayu, Sains dan Matematik pula yang menjadi mangsa.

‘Kalau demam, makanlah ubat demam, jangan pula makan ubat sakit telinga’.

Advertisements