Archive for Julai 13, 2009


Jika kita rajin mengamati sesuatu yang berlaku di sekeliling, nescaya banyak perkara yang boleh diperkatakan. Pada penulis, isu-isu yang ingin diperkatakan itu bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan pihak lain, sekadar cuma untuk menambahbaikan.

Cuma amati frasa nama yang hendak dikongsi bersama-sama:-

  • Pusat membeli-belah  SEPATUTNYA  Pusat beli belah
  • Kawasan meletak kereta  SEPATUTNYA  Kawasan letak kereta
  • Seni mempertahankan diri  SEPATUTNYA Seni pertahanan diri
  • Sudut membaca buku  SEPATUTNYA  Sudut bacaan
  • Lorong berjalan kaki  SEPATUTNYA  Lorong pejalan kaki

Penggunaan penanda wacana dalam setiap penulis amatlah penting. Tapi penggunaannya secara salah juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Lihat contoh di bawah:-

  • Hal ini kerana  SEPATUTNYA Hal ini demikian kerana
  • Sehubungan itu  SEPATUTNYA  Sehubungan dengan itu
  • Selain daripada itu  SEPATUTNYA  Selain itu
  • Ini kerana  SEPATUTNYA  Hal ini demikian kerana
  • Oleh itu  SEPATUTNYA  Oleh hal demikian
  • Justeru itu  SEPATUTNYA  Justeru

Dalam setiap program ceramah atau bengkel yang dikendalikan penulis, kerap benar penulis berhadapan dengan pelajar-pelajar yang masih tidak memahami penggunaan kata pemeri dengan jelas. Hal ini demikian menyebabkan mereka gagal mengemukakan jawapan yang betul apabila ditanya tentang penggunaan ‘ialah’ dan ‘adalah’.

Kebanyakan daripada pelajar dapat mengesan kesalahan penggunaan kata pemeri, namun cara mereka memberikan sebab kesalahan itu tidak tepat, dan kebanyakannya pula menjawab ‘menggunakan logik sendiri’. Lihat contoh penggunaan kata pemeri ‘adalah’ di bawah;-

  • Hoki adalah merupakan jenis sukan yang paling saya minati.
  1. Banyak pelajar yang mengatakan penggunaan ‘adalah’ dalam ayat di atas salah.
  2. Mereka memberikan alasan bahawa kata ‘adalah’ sama fungsinya dengan kata ‘merupakan’, jadi sepatutnya kata ‘adalah’ harus digugurkan.
  3. Pendapat sebegini ( memakai logik sendiri ) tidaklah tepat dan sesuai  serta tidak mengikut rumus tatabahasa sebenar.

SEPATUTNYA pelajar memahami kenapa penggunaan kata pemeri dalam ayat di atas itu salah dan kesalahannya adalah kerana:-

  • kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ tidak boleh digunakan di depan kata kerja;
  • ialah  +  KK (kata kerja)     Χ
  • adalah  +  KK (kata kerja)   Χ
  • Lihat rumus di bawah;-
  1. ialah  +  KN ( ialah hanya digunakan di depan kata nama)
  2. adalah  +  KA (adalah boleh digunakan di depan kata adjektif)
  3. adalah  +  KSN (adalah juga boleh digunakan di depan kata sendi)

Contoh ayat:-

  1. Saya ialah guru (KN).
  2. Sekolah saya ialah SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra (KN).
  3. Buku itu adalah mahal (KA) harganya.
  4. Hadiah itu adalah untuk (KSN) bapa saya.