Dalam setiap program ceramah atau bengkel yang dikendalikan penulis, kerap benar penulis berhadapan dengan pelajar-pelajar yang masih tidak memahami penggunaan kata pemeri dengan jelas. Hal ini demikian menyebabkan mereka gagal mengemukakan jawapan yang betul apabila ditanya tentang penggunaan ‘ialah’ dan ‘adalah’.

Kebanyakan daripada pelajar dapat mengesan kesalahan penggunaan kata pemeri, namun cara mereka memberikan sebab kesalahan itu tidak tepat, dan kebanyakannya pula menjawab ‘menggunakan logik sendiri’. Lihat contoh penggunaan kata pemeri ‘adalah’ di bawah;-

  • Hoki adalah merupakan jenis sukan yang paling saya minati.
  1. Banyak pelajar yang mengatakan penggunaan ‘adalah’ dalam ayat di atas salah.
  2. Mereka memberikan alasan bahawa kata ‘adalah’ sama fungsinya dengan kata ‘merupakan’, jadi sepatutnya kata ‘adalah’ harus digugurkan.
  3. Pendapat sebegini ( memakai logik sendiri ) tidaklah tepat dan sesuai  serta tidak mengikut rumus tatabahasa sebenar.

SEPATUTNYA pelajar memahami kenapa penggunaan kata pemeri dalam ayat di atas itu salah dan kesalahannya adalah kerana:-

  • kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ tidak boleh digunakan di depan kata kerja;
  • ialah  +  KK (kata kerja)     Χ
  • adalah  +  KK (kata kerja)   Χ
  • Lihat rumus di bawah;-
  1. ialah  +  KN ( ialah hanya digunakan di depan kata nama)
  2. adalah  +  KA (adalah boleh digunakan di depan kata adjektif)
  3. adalah  +  KSN (adalah juga boleh digunakan di depan kata sendi)

Contoh ayat:-

  1. Saya ialah guru (KN).
  2. Sekolah saya ialah SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra (KN).
  3. Buku itu adalah mahal (KA) harganya.
  4. Hadiah itu adalah untuk (KSN) bapa saya.
Advertisements