Secara sedar ataupun tidak, kita mungkin sudah termakan bahan pengawet mayat (asid borid) yang dimasukkan secara sengaja oleh pengusaha makanan yang tidak bertanggungjawab.
Asid borid tidak boleh hadir langsung di dalam makanan kerana boleh membahayakan kesihatan. Pengusaha makanan yang tidak berhati perut ini menggunakan asid borid untuk memastikan makanan yang dijual kepada pengguna lebih tahan lama dan segar.
Individu yang memakan makanan yang tercemar oleh asid borid yang tinggi akan mengalami loya, muntah, cirit-birit, dermatitis, kegagalan buah pinggang, kegagalan akut sistem peredaran darah dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.
Antara makanan yang sering dikesan mengandungi asid borid ialah makanan jenis pasta seperti mi kuning, kuih tiaw, laksa, mi wantan, mi hokkien, bihun, kulit popia dan lain-lain.
Sebenarnya asid borid (H3BO3) merupakan bahan antiseptik, pestisid dan fungisid yang lemah. Asid ini selalunya digunakan untuk kawalan serangga, sebagai bahan pengawet kayu dalam industri perabot, dan juga digunakan dalam bidang perubatan seperti mengawet mayat.
Berhati-hatilah ketika memilih makanan untuk menjamu selera.
Sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.