Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia berlangsung di Johor Bahru baru-baru ini mengeluarkan usul mendesak kerajaan memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Penulis rasa usul seperti ini sudah beberapa kali didendangkan, cuma lagunya sahaja tidak muncul-muncul. Setakat hari ini, belum ada apa-apa tindakan susulan daripada pihak kerajaan.

Selagi DBP belum ada kuasa tersebut, maka sepanjang masalah, kita akan dipersembahkan dengan pencabulan dan penodaan terhadap martabat bahasa Melayu oleh manusia-manusia yang lupa diri dan lupa akan asal usul.

Antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pencinta bahasa Melayu kini ialah:-

  • Gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutamanya pada papan-papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan;
  • Penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di kaca-kaca televisyen dan siaran radio;
  • Syarikat swasta malah syarikat milik kerajaan juga tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam setiap urusan;
  • Sebarang info walaupun berkaitan dengan kepentingan negara semakin kurang menggunakan bahasa Melayu;
  • Pemimpin-peminpin negara, korporat dan ketua-ketua jabatan kerajaan semakin petah dan angkuh menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap dan berkomunikasi;
  • Generasi muda semakin galak menggunakan bahasa rojak dengan istilah-istilah yang langsung tidak melambangkan jati diri bangsa Melayu;

Kepada siapakah yang hendak dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu?

Kepada siapakah hendak ditugaskan untuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin lain yang sewenang-wenangnya mencabul kedaulatan bahasa Melayu?

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu di tanah air sendiri, belum lagi dikira berapa banyak usaha dan pengorbanan yang terpaksa kita lakukan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa dunia.

Penulis pening kepala melihat bangsa kita. Cakap tak serupa bikin!

Advertisements