Kata ‘bantal’ biasa kita dengar. Mungkin jika bantal tiada, pastilah tidak nyenyak tidur kita dibuatnya. Maksud kata bantal sebenarnya ialah alat yang menjadi alas kepala atau alas tempat duduk. Biasanya diperbuat daripada kekabu yang diisikan di dalam karung kain yang dijahit.

Banyak variasi bantal seperti bantal golek, bantal peluk, bantal sandar, bantal seraga, bantal suari, bantal panjang dan lain-lain.

‘Lepas bantal berganti tikar’ pula merupakan peribahasa yang bermaksud seorang lelaki yang berkahwin dengan saudara isterinya atau keluarga isterinya yang meninggal dunia.

Berbantal bermaksud memakai atau menggunakan bantal, manakala berbantalkan membawa maksud menggunakan sesuatu sebagai bantal contohnya lengan. Dia tidur berbantalkan lengan.

Membantalkan pula bermaksud menjadikan  sesuatu seperti  bantal, seperti dia membantalkan buku tebal itu bagi melelapkan matanya sekejap.

Advertisements