Selepas final Piala Malaysia, banyak sekali tulisan yang mengutuk sikap penyokong bola sepak Kelantan, sehingga ada yang sanggup melabelkannya sebagai ‘tidak bertamadun’. Penulis tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, cuma sekadar ingin mengutarakan isu sebenar yang tidak begitu difahami oleh pengkritik yang kononnya lebih bertamadun?

Pada pendapat penulis, tragedi yang memalukan itu sebenarnya TIDAK akan berlaku jika pihak-pihak yang bertanggungjawab bersikap lebih prihatin dan profesional serta mempunyai kesedaran yang tinggi tentang masalah keselamatan. Lebih 85 ribu penyokong yang memenuhi Stadium Bukit Jalil, jika ada 5% sahaja kaki samseng menumpang sekaki, jumlahnya sudah mencecah 4,250 orang yang boleh membuat onar dan apakah persiapan dan langkah awal oleh pihak keselamatan, FAM dan lain-lain lagi? Kenapakah begitu banyak mercun dan bunga api yang berjaya diseludup masuk? Kenapakah tidak dilakukan pemeriksaan di pintu masuk stadium?

Pada saya bukan penyokong Kelantan yang patut dilabelkan sebagai tidak bertamadun, kerana sebagai peminat bola sepak yang sebenar, mereka tidak akan mengganggu perlawanan kerana apa yang dimahukan mereka adalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang hebat. Tapi, apa yang berlaku pada malam tersebut adalah di sebaliknya, pada minit-minit awal lagi sudah ada balingan botol, mercun dan apa-apa lagi. Hal ini jelas, mereka yang bertindak bodoh ini bukannya peminat bola sepak, tetapi segelintir samseng yang hanya ingin membuat kacau. Dan apabila tindakan pencegahan awal yang berkesan dilaksanakan secara bijak, sudah pasti gejala ini dapat dibendung.

Pihak-pihak tertentu hendaklah belajar daripada peristiwa itu. Usah menuding jari mencari siapa yang bersalah. Tanya diri sendiri, tepuk dada tanyalah akal.

Advertisements