Archive for November, 2009


UPSR: Tahniah kerana berjaya…?

Pada 19 November telah diumumkan keputusan peperiksaan UPSR dan tentulah ramai calon yang begitu seronok meraikan kejayaan mendapat 5A. Tahniah dan syabas cikgu ucapkan kepada mereka yang berjaya. Kepada anak-anak pelajar yang kurang berjaya, jangan berputus asa, kerana UPSR bukanlah segala-galanya.

Buat Nur Aliya dari Sekolah Kebangsaan Semut Api, sekalung tahniah abah ucapkan kerana Aliya berjaya mengekalkan rekod abang-abang dan kakak untuk kekal menggapai 5A dalam keluarga kita. Teruskan usaha Aliya untuk terus berjaya.

Insya-Allah.

Nur Aliya...?

 

 

Tugasan Cuti Tg. 3: 2010 (Farisian)…?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kepada semua pelajar Tingkatan 3 (2010) SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra, anda dikehendaki menyiapkan satu tugasan mudah bagi Panitia Bahasa Melayu. Tugasan tersebut ialah:-

  • Kajian Novel Tg. 3 (Kanang Cerita Seorang Pahlawan)
  1. Tuliskan sinopsis novel dengan memasukkan fakta-fakta penting.
  2. Nyatakan tema serta persoalan dengan menyertakan contoh peristiwa yang terdapat dalam novel itu.
  3. Senaraikan watak dan perwatakannya secara ringkas tetapi padat.

Tugasan ini hendaklah dijilid dan dihantar kepada guru-guru Bahasa Melayu pada minggu pertama persekolahan tahun 2010.

Sekian, terima kasih.

18 November 2009 merupakan hari pertama peperiksaan SPM 2009. Subjek yang akan dihadapi pada pagi ini ialah BM dan Sejarah. Penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menduduki SPM semoga berjaya menggapai target yang diimpi-impikan.

Kepada semua calon putera dan puteri SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra, cikgu sertakan iringan doa dan harapan agar SPM 2009 mencipta lakaran sejarah manis buat kita.

Katakan ‘boleh’, yakinlah anda boleh melakukan yang terbaik untuk diri anda, keluarga, agama, bangsa dan juga negara anda.

Insya-Allah.

Selepas final Piala Malaysia, banyak sekali tulisan yang mengutuk sikap penyokong bola sepak Kelantan, sehingga ada yang sanggup melabelkannya sebagai ‘tidak bertamadun’. Penulis tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, cuma sekadar ingin mengutarakan isu sebenar yang tidak begitu difahami oleh pengkritik yang kononnya lebih bertamadun?

Pada pendapat penulis, tragedi yang memalukan itu sebenarnya TIDAK akan berlaku jika pihak-pihak yang bertanggungjawab bersikap lebih prihatin dan profesional serta mempunyai kesedaran yang tinggi tentang masalah keselamatan. Lebih 85 ribu penyokong yang memenuhi Stadium Bukit Jalil, jika ada 5% sahaja kaki samseng menumpang sekaki, jumlahnya sudah mencecah 4,250 orang yang boleh membuat onar dan apakah persiapan dan langkah awal oleh pihak keselamatan, FAM dan lain-lain lagi? Kenapakah begitu banyak mercun dan bunga api yang berjaya diseludup masuk? Kenapakah tidak dilakukan pemeriksaan di pintu masuk stadium?

Pada saya bukan penyokong Kelantan yang patut dilabelkan sebagai tidak bertamadun, kerana sebagai peminat bola sepak yang sebenar, mereka tidak akan mengganggu perlawanan kerana apa yang dimahukan mereka adalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang hebat. Tapi, apa yang berlaku pada malam tersebut adalah di sebaliknya, pada minit-minit awal lagi sudah ada balingan botol, mercun dan apa-apa lagi. Hal ini jelas, mereka yang bertindak bodoh ini bukannya peminat bola sepak, tetapi segelintir samseng yang hanya ingin membuat kacau. Dan apabila tindakan pencegahan awal yang berkesan dilaksanakan secara bijak, sudah pasti gejala ini dapat dibendung.

Pihak-pihak tertentu hendaklah belajar daripada peristiwa itu. Usah menuding jari mencari siapa yang bersalah. Tanya diri sendiri, tepuk dada tanyalah akal.

SELOKA PANDAI PAK PANDIR

Tema Masalah yang dihadapi sebagai akibat kealpaan dan kebodohan seseorang.


 

Persoalan

  • Membuatkan sesuatu yang berlawanan dengan kelaziman akan mendatangkan masalah.
  • Sikap terlalu percaya akan orang lain akan memudaratkan diri.
  • Sikap tamak akan merugikan diri.
  • Lagak hebat seseorang hanyalah untuk menutup kelemahan diri.

 


Nilai

  • Rasional – bersikap rasional akan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
  • Bersimpati – orang yang malang nasibnya memerlukan simpati.
  • Berwaspada – berwaspada dalam tindakan akan menguntungkan kita.
  • Yakin – Jangan terlalu bergantung kepada orang lain.

 

Pengajaran

  • Kita mestilah sentiasa menggunakan akal sebelum bertindak.
  • Janganlah ambil kesempatan atas kelemahan orang lain.
  • Kita haruslah bersimpati terhadap orang yang menerima nasib malang.
  • Kita mestilah menjauhi daripada sifat tamak.

Peperiksaan SPM 2009 tinggal beberapa hari sahaja lagi. Subjek pertama yang akan ditempuhi calon ialah BM 1, kemudian Sejarah 2 dan seterusnya BM 2. Bagi subjek BM 2, penulis ada membuat risikan tentang soalan-soalan yang mungkin ditanya dalam peperiksaan nanti.

Bagaimana kalau bakal-bakal calon SPM sekalian mencuba untuk menelaah tajuk-tajuk berikut, iaitu:-

  • Drama Kerusi
  • Drama Jangan Bunuh Rama-rama
  • Anak Laut
  • Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya


Penyakit gout digelar sebagai penyakit orang kaya kerana mempunyai kaitan dengan pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.

Kata hubung…?

Kata hubung ialah sejenis kata tugas, juga disebut sebagai kata penyambung ayat. Terdiri daripada dua jenis, iaitu:-

  • kata hubung gabungan
  • kata hubung pancangan

Kata Hubung Gabungan (KHG)

  1. Berfungsi menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya.
  2. Ayat yang terbentuk daripada penggunaan KHG dinamakan ayat majmuk gabungan.
  3. Antara contoh KHG ialah dan, atau, tetapi, lalu, serta, sambil, malahan, dan kemudian.

Contoh penggunaan KHG dalam ayat:-

  1. Ali makan nasi dan adiknya minum kopi.
  2. Abu pergi mandi di sungai atau di kolam.
  3. Dolah lulus temu duga tetapi adiknya gagal.
  4. Dia menggelecek bola lalu menendang ke arah pintu gol.

Kata Hubung Pancangan (KHP)

  1. Digunakan untuk menyambung klausa-klausa yang tidak setara.
  2. KHP terbahagi kepada 3:-
  • Kata hubung pancangan relatif
  • Kata hubung pancangan komplemen
  • Kata hubung pancangan keterangan

® Kata hubung pancangan ini akan dibincangkan pada kesempatan yang lain.

 

 

Sinopsis:-

  • Anak bayan berkawan dengan anak cerpelai. Persahabatan ini dilarang ibu bapa bayan kerana takut ditimpa kesusahan.
  • Untuk menyedarkan anaknya, bapa bayan pun mengisahkan cerita anak kera berkawan dengan anak saudagar.
  • Cerita itu tidak juga menyedarkan anak bayan.
  • Suatu hari anak cerpelai diambil oleh seorang budak. Ibu bapa sangat marah dan menuduh keluarga bayan yang bertanggungjawab.
  • Bapa cerpelai mengadu hal kepada serigala.
  • Serigala mencadangkan agar cerpelai menarik perhatian budak itu ke arah lubang yakni sarang bayan.
  • Lubang sarang itu telah ditutup oleh budak itu, semua bayan berpura-pura mati itu dibuang ke tanah akhirnya terbang.
  • Budak itu sangat marah dan berazam untuk membunuh bayan.
  • Budak itu berjaya menangkap bayan tua tetapi tidak jadi membunuhnya kerana mengikut saranan bayan tua supaya dijual kepada raja bagi mengubati penyakit sopak.
  • Raja membeli bayan tua dengan harga 4 ribu dinar.
  • Penyakit sopak raja dapat disembuhkan.
  • Bayan memohon untuk kembali kepada anak bininya yang telah lama ditinggalkan.
  • Sambungan cerita utama; Bayan bercerita lagi hingga siang. Bibi Zainab tidak dapat pergi berjumpa kekasihnya.

Ketika penulis membelek-belek buku Majalah i  bil. 79 keluaran Mei 2009 terbitan Karangkraf, mata ini terpandang satu artikel yang bertajuk ‘Variasi Ilmu untuk Remaja’ di muka surat 76, serta-merta muncul rasa sebab di dada mengenangkan gelagat remaja Islam kita hari ini.

Manakan tidak, sebahagian besar anak remaja kita dilihat begitu teruja oleh kemajuan IT namun, sayang seribu kali sayang; apabila kita mendapati bahawa mereka mengaplikasikan segala kemajuan ini sekadar untuk tujuan hiburan semata-mata. Bahkan ada juga yang jauh terpesong dan seterusnya terperangkap oleh laman-laman web yang negatif.

Kesempatan ini penulis ingin mengajak golongan remaja untuk berjinak-jinak dengan laman web yang boleh mendidik kita menjadi manusia yang cinta akan agama dan kesejahteraan.

Penulis mencadangkan beberapa laman web yang sepatutnya dilawati seperti http://www.I LUV ISLAM.COM, http://www.quranflash.com, http://www.audioquran.com yang pasti akan meruntun iman kita semua.

Penulis ingin menasihati diri penulis dan remaja sekalian agar menggunakan segala kemajuan yang ada di sekeliling kita ini untuk meningkatkan martabat diri kita, keluarga, rakan-rakan di sisi Tuhan.