Archive for November, 2009


Soalan Ramalan: BM 1

Cikgu hanya membuat ramalan sahaja, betul atau tidak kita kena tunggulah hari peperiksaan nanti. Walau bagaimanapun, yang lebih penting ialah kita mestilah membuat persiapan yang rapi. Soalan ramalan hanyalah dijadikan sebagai aktiviti pengukuhan semata-mata.

Bahagian A:

Huraikan pendapat anda tentang kepentingan kokurikulum dalam kalangan remaja.

Bahagian B:

  1. Rumah terbuka telah menjadi suatu yang lumrah bagi masyarakat di negara ini. Sebagai individu yang prihatin akan isu perpaduan, bagaimanakah anda membantu untuk menjayakan program rumah terbuka.
  2. Kafe siber berkembang biak seperti cendawan tumbuh selepas hujan telah memberikan implikasi yang buruk kepada golongan remaja. Tulislah sebuah rencana tentang kafe siber dan implikasinya terhadap golongan remaja. Tulislah rencana itu selengkapnya.
  3. Isu pembantu rumah kerap kali menjadi bahan berita di akhbar-akhbar tempatan. Begitu juga dengan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah dari segi ekonomi, sosial dan politik. Bincangkan pernyataan ini.
  4. Kejadian bencana alam sejak akhir-akhir ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesetengah negara tetangga kita. Seperti kebiasaan rakyat negara kita begitu bermurah hati menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan yang ditanggung. Huraikan pendapat anda.
  5. Karya sastera tidak boleh lari daripada tanggungjawab utama mendidik masyarakat ke arah kesempurnaan peribadi. Bagaimanakah nilai-nilai murni yang terkandung dalam karya sastera dapat mendidik remaja menjadi manusia yang sempurna?

(a)  Seperti lembu ditarik hidung

  • Lelaki itu menurut saja perintah isteri mudanya seperti lembu ditarik hidung.

(b) Bumi mana yang tidak ditimpa hujan

  • Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan kerana bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Oleh hal itu, kita harus sedia memaafkan kesalahan orang lain.

(c) Seperti kera mendapat bunga

  • Segala prasarana yang dibangunkan itu rosak oleh tindakan para ahli sukan yang sedang menjalani latihan pusat. Sikap mereka ini seperti kera mendapat bunga iaitu tidak tahu menghargai pemberian orang.

Membetulkan kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan dalam ayat.

  1. Rakyat di segenap pelusuk negara terkejut apabila mendengar berita tentang penculikkan anak Menteri Besar itu.
  • Kesalahan ejaan: pelusuk > pelosok
  • Kesalahan imbuhan: penculikkan > penculikan

Membetulkan kesalahan kata dan kesalahan bahasa dalam ayat.

  1. Usaha untuk memperluas jalan ke kampung itu sedang mereka jalankan.
  • Kesalahan kata: memperluas > memperlebar
  • Kesalahan bahasa: sedang mereka jalankan > sedang dijalankan oleh mereka.

Saya berpesan kepada diri saya dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,

Amalan sunat sering ditinggalkan kerana ceteknya pengetahuan kita akan keistimewaan dan kelebihan ibadat ini. Walhal jika meninggalkan ibadat sunat ini, bererti kerugian besarlah buat kita, kerana tidak memperoleh pahala ketika peluang masih terbuka luas.

Ibadat sunat memiliki beberapa keistimewaan, antaranya..

  • membolehkan seseorang dekat dengan Rasulullah s.a.w. di syurga, malah pengamalnya akan dijanjikan syurga paling tinggi (maqaman mahmudan);
  • menyempurnakan ibadat wajib. Amalan sembahyang sunat dapat menampung kecacatan sembahyang wajib kita;
  • menyucikan jiwa pengamalnya;
  • menjadi wali dan kekasih Allah SWT yang selalu dicintai-Nya.

Jika Allah mencintai hamba-Nya, maka akan sempurnalah segala urusan hidup kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Kepada bakal-bakal calon SPM 2009, jadikanlah ibadat sunat sebagai amalan seharian, semoga kerja buat kita sentiasa mendapat restu daripada Allah SWT.

Insya-Allah, Amin…

Soalan esei bentuk syarahan dan ucapan agak popular juga dalam peperiksaan. Hal ini demikian, pelajar mestilah mengetahui bentuk dan teknik penulisan esei berkenaan dengan jelas.

Kebanyakan pelajar beranggapan bahawa dua bentuk esei syarahan dan ucapan ini lebih kurang sama walhal sebenarnya tidak.

  • Syarahan:
  1. Juga disebut pidato ini lebih kepada matlamat untuk meyakinkan pendengar atau pembaca terhadap sesuatu isu yang dikemukakan.
  2. Terdapat dua situasi yang berbeza bagi karangan syarahan sama ada dalam konteks pertandingan ataupun bukan pertandingan.
  3. Bentuk esei ini memperlihatkan usaha untuk menegaskan sesuatu pendirian terhadap isu yang dikemukakan.
  • Ucapan:
  1. Esei bentuk ini bukanlah untuk meyakinkan audiens tentang sesuatu isu.
  2. Esei bentuk ini lebih kepada situasi mengalu-alukan, meraikan, merasmikan majlis pembukaan atau penutupan dan sebagainya.
  3. Ucapan lebih kepada tujuan untuk menyampaikan sesuatu kenyataan sahaja. Lebih lembut nada dan gaya penulisan mahupun pengucapannya.

Bertujuan untuk memperincikan pencapaian gred A calon yang mencapai tahap yang sangat cemerlang.

MARKAH GRED SEDIA ADA GRED BARU
90 – 100 1A

 

A+
80 – 89 A
70 – 79 2A A-
65 – 69 3B B+
60 – 64 4B B
55 – 59 5C C+
50 – 54 6C C
45 – 49 7D D
40 – 44 8E E
00 – 39 9G G


Analisis BM 2 Percubaan Negeri Johor

  • Soalan 1: Rumusan ( berkenaan kepentingan kokurikulum dan kekangan dalam pelaksanaannya)
  • Soalan 2(a): Petikan Umum ( berdasarkan petikan rumusan)
  • Soalan 2(b): Petikan Drama: Kerusi, Antologi Kerusi
  • Soalan 2(c): Petikan Prosa Klasik: Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya, Antologi Anak Laut.
  • Soalan 2(d): Petikan Puisi: Sajak Jalan-jalan Raya Kotaku, Antologi Anak Laut.
  • Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
  1. Bina ayat
  2. Tukar ayat pasif kepada ayat aktif
  3. Mengesan 3 kesalahan ejaan dan 3 kesalahan imbuhan dalam petikan.
  4. Mengesan 3 kesalahan bahasa dan 3 penggunaan kata dalam 3 ayat.
  5. 3 peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza dalam petikan.
  • Soalan 4: Novel
  1. Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan kesan yang anda alami selepas membaca novel tersebut.
  2. Huraikan peristiwa yang membuktikan nilai kerjasama dalam dua buah novel yang telah anda kaji.

Kelantan sekali lagi menggigit jari kerana terlepas peluang melakar sejarah tersendiri sebagai juara Piala Malaysia selepas menunggu hampir 40 tahun. Kejayaan pada mulanya hampir dicapai apabila diukur pada prestasi semasa pasukan, tetapi tidak menjadi malam tadi. Pasukan ‘The Red Warrior’ dan para penyokongnya menerima malu besar apabila dikerjakan oleh Skuad Hoben jang Hoben. The Red Warrior “berlumuran darah merah” tumpas 1 -3 kepada pasukan ‘Nogori’.

Persembahan pasukan Kelantan sungguh berbeza dan amat mengecewakan penyokong-penyokong yang hampir 70 ribu orang memenuhi ruang Stadium Bukit Jalil. Mereka bermain seperti budak-budak yang baru mengenali bola sepak. Pada separuh masa pertama misalnya, tidak ada satu pun gerakan terancang yang berjaya menggugat gol lawan, selain sepakan bola tinggi dan hantaran yang tidak tepat. Kelemahan dan kealpaan pemain pertahanan sebenarnya tidak boleh dimaafkan.

Selain Inderaputra dan Halim Napi, pemain-pemain Kelantan yang lain hanya bermain di bawah kemampuan sebenar. Mereka masih baru dan belum pernah terlibat dengan perlawanan yang sebesar malam tadi, penyokong yang hampir mencecah 90 000 orang dan sambutan yang di luar dugaan menjadikan pemain-pemain Kelantan tenggelam punca dan takut pada bayang-bayang sendiri. Malam tadi, mereka bukan sahaja berjuang menentang pasukan lawan, tetapi juga terpaksa melawan diri mereka sendiri.

Kebiasaannya kehadiran penyokong yang ramai menjadi faktor pembantu tetapi tidak untuk pemain Kelantan yang rata-ratanya masih hingusan di persada sukan tanah air. Merah putih yang hampir-hampir menguasai seluruh pelosok stadium rupa-rupanya menjadikan pasukan kesayangan mereka tidak keruan dan hilang pedoman.

Tahniah untuk Negeri Sembilan yang bijak mengambil peluang ke atas pasukan yang cukup bersemangat tetapi kekurangan dari segi mental dan psikologi.

su_01.1

Bahasa Melayu Kertas 1 (1103/1)

Bahagian A: (Masa yang dicadangkan: 45 minit)

Lihat gambar di bawah (tidak dilampirkan) dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kesan negatif filem kepada remaja. Panjang huraian anda antara 200 – 250 patah kata.

Bahagian B:(Masa yang dicadangkan: 1 jam 30 minit)

Pilih satu daripada soalan-soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya melebihi 350 patah kata.

  1. Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis. Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.
  2. Teknologi internet kini telah maju. Ibu bapa berperanan penting dalam mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet tanpa berasa risau dan bimbang. Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak memanfaatkan internet dalam kehidupan seharian.
  3. “Barangan Tempatan Berkualiti Antarabangsa” ialah slogan kerajaan ke arah mencapai standard kualiti barangan antarabangsa. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh usahawan tempatan supaya hasrat ini menjadi realiti.
  4. Kemasukan warganegara asing ke beberapa buah negara lain meninggalkan pelbagai implikasi. Jelaskan pernyataan ini.
  5. Tulis sebuah cerpen atau skrip drama berdasarkan tema “Konflik Remaja”.

Kuala Lumpur 5 Nov.- Draf pindaan Akta DBP 1959 sedang disemak dan dijangka dibawa ke kabinet sebelum dibentangkan di parlimen pada tahun depan. Jika sebelum ini DBP langsung tidak diberikan sebarang kuasa dalam menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, pindaan ini diharapkan dapat mengubah senario  tersebut.

Pindaan Akta DBP ini diharapkan bukan sahaja untuk membanteraskan gejala ‘bahasa rojak’ bahkan juga dapat meletakkan bahasa Melayu di tempat yang teratas, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Komen penulis: Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah…?