Proses pengimbuhan merupakan proses yang akan melahirkan bentuk, sifat serta makna yang baru kepada sesuatu kata dasar. Lihat contoh di bawah:-

  • makan (KK) + -an > makanan (KN)
  • putih (KA) + me- kan > memutihkan (KK)
  • kepala (KN) + me- i > mengepalai (KK)

Kata dasar ‘makan’ ialah kata kerja yang diimbuhkan dengan imbuhan akhiran -an akan melahirkan kata baru iaitu ‘makanan’, yang tergolong sebagai kata nama.

Proses pengimbuhan ini merupakan salah satu proses pembentukan kata selain proses penggandaan dan pemajmukan.

Kesempatan ini, penulis ingin berkongsi pengetahuan tentang kekecualian yang berlaku apabila proses pengimbuhan berlaku ke atas kata pinjaman.

  • Setiap kata pinjaman tidak akan mengalami proses pengguguran huruf depan jika menerima apa-apa imbuhan (kekecualian berlaku juga bagi sesetengah kata pinjaman):-
  1. takrif   > mentakrifkan
  2. takdir   > mentakdirkan
  3. swasta   > menswastakan
  4. kategori   > mengkategorikan
  5. stabil   > menstabilkan
  6. syukur   > mensyukuri
  7. ziarah   > menziarahi
  8. pamer   > mempamerkan
  9. brek   > membrek
  10. proses   > memproses
  11. taat   > mentaati
  12. plagiat   > memplagiat
  13. veto   > memveto

Kebiasaannya jika sesetengah kata bahasa Melayu asli yang menerima imbuhan awalan tertentu, maka akan berlaku pengguguran huruf depan tertentu, misalnya huruf ‘t’. Lihat contoh di bawah:-

  1. tolak   > menolak bukannya mentolak
  2. tembak   > menembak bukannya mentembak
  3. tanda   > menanda bukannya mentanda
  4. tumpu   > menumpukan bukannya mentumpukan

Begitu juga dengan huruf ‘s’ dalam contoh di bawah:-

  1. sama   > menyamakan bukannya mensamakan
  2. suai   > menyesuaikan bukannya mensuaikan
  3. sasar   > menyasarkan bukannya mensasarkan
  4. suluh   > menyuluh bukannya mensuluh
Advertisements