Archive for Disember 16, 2009


Kata hampir sama…?

Terdapat banyak kata dalam bahasa Melayu yang hampir sama dari segi ejaan dan sebutannya walaupun dari segi maknanya amat berbeza sekali. Jika tidak diberikan perhatian yang betul-betul, sudah pasti akan berlaku kesilapan apabila menggunakannya.

Dalam peperiksaan SPM, biasanya calon-calon diminta membina ayat-ayat menggunakan perkataan-perkataan jenis ini. Misalnya perkataan:-

  • seluruh dengan seloroh
  • tembuk dengan tembok
  • lulus dengan lolos
  • tunggak dengan tonggak
  • kerap dengan kerak
  • agung dengan agong
  • rasmi dengan resmi dan lain-lain lagi.

Kita bincang satu-persatu…

  • seluruh dengan seloroh
  1. seluruh maksudnya semua/segala > Seluruh penduduk kampung berkumpul di depan balai raya.
  2. seloroh pula bermaksud gurauan/olok-olok/lucu/lawak > Mereka ketawa besar apabila mendengar seloroh itu.
  • tembuk dengan tembok
  1. tembuk maksudnya berlubang/tembus > Giginya tembuk dimakan ulat.
  2. tembok pula bermaksud dinding konkrit > Tembok batu itu runtuh akibat gempa bumi yang kuat.
  • lulus dengan lolos
  1. lulus maksudnya berjaya/tidak gagal/berhasil > Dia lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM itu.
  2. lolos pula bermaksud lepas lari/terlepas dari kurungan > Tembok penjara itu akan cuba saya lolos pada malam ini.
  • tunggak dengan tonggak
  1. tunggak maksudnya kerja yang belum beres (bayaran, hutang, ansuran)  > Hutang jangan dibiar tunggak hingga hujung bulan ini.
  2. tonggak pula bermaksud pokok/asas/tulang belakang/penting  > Ayah menjadi tonggak keluarga kami.
  • kerap dengan kerak
  1. kerap maksudnya acap kali/sering/biasa/berulang  > Dia kerap balik lambat.
  2. kerak pula bermaksud lapisan yang keras/lapisan nasi yang keras  > Emak mengambil kerak nasi lalu diberikannya kepada ayam.
  • agung dengan agong
  1. agung maksudnya besar/utama/paling/tinggi/terkenal  > Seniman agung itu kini hidup mewah.
  2. agong pula bermaksud jawatan tertinggi/gelaran ketua negara  > Yang di-Pertuan Agong berangkat mencemar duli ke majlis itu.
  • rasmi dengan resmi
  1. rasmi maksudnya bersifat rasmi/disahkan/diisytiharkan  > Pakaian rasmi sekolah ialah baju kurung berwarna putih.
  2. resmi pula bermaksud kebiasaan/resam/semula jadi/sifat khas  > Jangan ikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.

Keputusan sama ada berjaya atau tidak ditawarkan ke tingkatan satu sekolah berasrama penuh pada sesi 2010 akan diketahui pada 25 Disember 2009 akan datang. Pemohon atau ibu bapa/penjaga boleh mengetahuinya dengan melayari laman web http://www.moe.gov.my dengan memasukkan angka giliran calon berkenaan.

Makluman sahaja…?