Penantian hampir 20 tahun telah berakhir. Pasukan Malaysia berjaya keluar sebagai juara di temasya sukan SEA XXV Laos 2009 dan telah mengulangi kejayaan pada tahun 1989. Malaysia mengalahkan Vietnam dengan jaringan 1 – 0, hasil jaringan di separuh masa kedua.

Pasukan Malaysia telah bermain secara taktikal dan berjaya mengekang gerakan pemain Vietnam di separuh masa pertama dan bertindak menukar corak menyerang pada separuh masa kedua. Muslihat ini walaupun telah mencacatkan corak permainan sehingga menjadikan perlawanan hambar dan lembab, itulah percaturan namanya. Strategi untuk menang lebih mengatasi niat untuk menghiburkan penonton dan peminat.

Kita lihat pemain-pemain Vietnam yang rata-rata mempunyai kemahiran menggelecek dan larian pantas akhirnya menjadi tidak karuan kerana sentiasa dikawal ketat di semua sudut. Mereka lebih hilang punca dan kudrat pada separuh masa kedua sehingga gerakan mereka mudah dipatahkan oleh barisan tengah dan pertahanan Malaysia. Akhirnya mereka terpaksa membuat cubaan jarak jauh yang meliar.

Tahniah pasukan Malaysia terutamanya jurulatih yang membuat percaturan yang tepat. Pada pengkritik, akuilah sebenarnya, Malaysia boleh….?

Advertisements