Dunia semakin canggih dan kecanggihan yang ada bukan hanya terletak pada perkembangan teknologi dan kecanggihan penciptaan alat-alat moden sahaja tetapi perangai dan kelakuan manusia itu sendiri. Sekiranya kecanggihan yang dihasilkan itu sesuatu yang bermanfaat menurut syarak, bolehlah dibanggakan tetapi sekiranya boleh merobek budaya bangsa dan nilai ketimuran serta pegangan agama, maka hal ini sesuatu yang amat memilukan.

Hari ini, fenomena wanita Melayu Islam yang bertudung kepala berpelukan bersama-sama teman lelakinya di taman bunga, pusat rekreasi atau di atas motor yang dipecut laju, atau di tempat hiburan seperti di konsert yang melalaikan adalah sesuatu yang amat biasa.

Sesetengah lelaki Islam kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi anting-anting yang berjuntaian, atau leher yang dililiti rantai besi, tali ataupun emas; kononnya mengikut peredaran zaman. Itulah antara fenomena ‘canggih’ yang wujud dalam masyarakat moden hari ini.

Renungan:

Menurut Saidina Ali Abu Talib R.A : “Rasulullah SAW mengambil sutera, lalu meletakkan di sebelah kanannya dan mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas Baginda bersabda: Kedua-dua ini haram buat orang lelaki dari umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Lelaki yang memakai gelang tangan dan rantai leher termasuk dalam golongan yang meniru kaum wanita walaupun perhiasan tersebut bukan daripada emas adalah jelas HARAM.

Ubah suai daripada tulisan Mohd Sukki Othman, Milenia Muslim: Disember 2009.

Advertisements