Kata pemeri ialah sejenis kata tugas yang berfungsi sebagai penghubung subjek dengan frasa lain dalam ayat.

Kata pemeri sebenarnya tidak wajib hadir dalam sesuatu ayat. Kata pemeri hanyalah berfungsi sebagai pelengkap dan penyempurna sesuatu ayat sahaja.

Kata pemeri terbahagi kepada 2, iaitu:-

  1. ialah + kata nama / frasa nama ( digunakan di depan kata / frasa nama )
  2. adalah + kata adjektif / kata sendi  ( digunakan di depan kata adjektif dan kata sendi )

Contoh penggunaan dalam ayat:-

  • Nama sekolah saya ialah SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra.  √
  • Nama sekolah saya adalah SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra.  X

Komen > SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra ialah frasa nama.

  • Tindakan itu ialah untuk membantu pelajar-pelajar miskin.  X
  • Tindakan itu adalah untuk membantu pelajar-pelajar miskin.  √

Komen > untuk ialah kata sendi dan kata pemeri yang sepatut digunakan ialah adalah.

  • Harga barang itu ialah sangat mahal.  X
  • Harga barang itu adalah sangat mahal.  √

Komen > sangat mahal ialah frasa adjektif, maka kata pemeri yang patut digunakan ialah adalah.

Kesilapan yang kerap dilakukan ketika menggunakan kata pemeri:-

  • kata pemeri di depan kata kerja
  1. Jawapan ini adalah berdasarkan buku teks.  X (berdasarkan > kata kerja)
  2. Panas melampau adalah merupakan ….. .  X (merupakan > kata kerja)

SEPATUTNYA:-

  1. Jawapan ini berdasarkan buku teks.
  2. Panas melampau merupakan …. .
  • Kata pemeri di permulaan ayat
  1. Adalah dimaklumkan bahawa ….. . X (Kata pemeri tidak boleh menjadi kata permulaan ayat.

SEPATUTNYA:-

  1. Dengan ini dimaklumkan bahawa ….. .  √
Advertisements