Ubah suai daripada petikan asal:-

KEMAHIRAN MUDAHKAN DAPAT KERJA
Metro (4 Februari 2010)

Mempunyai kelayakan tinggi tetapi terpaksa memilih pekerjaan tidak setimpal dengan kelulusan? Itu adalah antara dilema sebilangan graduan institusi pengajian tinggi tempatan apabila gagal memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan. Biarpun mempunyai ijazah sarjana muda mahupun diploma, kerjaya yang dipilih tidak menjanjikan gaji lumayan malah ada yang ‘terpaksa’ menggunakan kelayakn Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon jawatan.

Bukan memilih, tetapi persaingan dunia kerjaya yang semakin hebat ‘memaksa’ graduan tidak terlalu berkira selain tidak mahu terus menyandang gelaran ‘penggangur terhormat’. Apakah faktor penyebab ramai graduan tidak memperoleh pekerjaan berdasarkan kelayakan? Adakah kursus tidak menepati kehendak pasaran kerjaya ataupun majikan bersikap pilih kasih? Mungkin juga graduan tidak mempunyai kemahiran tambahan berbentuk teknikal seperti mampu berkomunikasi dengan baik terutama dalam Bahasa Inggeris (BI) menyebabkan mereka gagal menambat hati majikan.

Masalah graduan terutama wanita sukar memperoleh pekerjaan setimpal disebabkan kesilapan memilih kursus pengajian. Kebanyakannya lebih gemar memilih bidang pengajian berbentuk akademik semata-mata sedangkan kehendak pasaran kerjaya masa kini lebih kepada teknikal. Walaupun gender bukan isu utama, kebanyakan majikan lebih gemar mengambil graduan lelaki kerana lebih berkeupayaan dalam kemahiran teknikal meskipun keputusan akademiknya sederhana.

Kita tidak boleh menyalahkan majikan semata-mata kerana pasaran kerjaya masa kini memang begitu. Oleh hal itu, pelajar dinasihatkan supaya bijak memilih bidang pengajian, jangan memilih bidang yang mudah tetapi kurang pasaran kerjaya. Memang ada graduan terpaksa bekerja dan menerima gaji yang lebih rendah daripada kelayakan. Ada juga yang memperoleh pekerjaan baik biarpun kelulusannya tidak setimpal, Hal ini  terpulang kepada rezeki dan usaha. Selain salah membuat pilihan bidang pengajian, faktor pengalaman juga dikatakan sebagai satu penyumbang utama graduan berpuas hati dengan tawaran kerja.

Kerana tiada pilihan, mereka melupakan seketika impian untuk bergelar ‘pegawai’ dan menerima apa jua tawaran kerja asalkan mempunyai gaji dan boleh meneruskan hidup. Bagi graduan wanita, kurangnya kemahiran serta keupayaan jaringan pergaulan sosial menyumbang faktor kesukaran memperoleh pekerjaan. Ada majikan suka mengambil pekerja tanpa pengalaman, jadi tidak timbul rungutan hanya mahukan yang berpengalaman. Paling penting graduan perlu melengkapkan diri dengan keperluan industri. Graduan wanita perlu mengikis tanggapan sukarnya bersaing dengan lelaki sebaliknya tunjukkan mereka juga boleh melakukannya.Jangan ada tanggapan, tidak boleh dalam diri.

Ini alaf baru, semua ada kelebihan dan keupayaan.”Memang sukar tapi kena mula langkah. Pandang secara positif di samping merangka strategi untuk masa depan. Ada graduan wanita bekerja di butik sebagai pembantu jualan biarpun memiliki segulung ijazah sarjana muda komunikasi dari sebuah universiti kerana selepas puluhan temu duga, tidak lagi sanggup menunggu pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan. Malah ada graduan yang sanggup menerima pekerjaan berkelulusan lebih rendah, termasuk SPM kerana yang penting, bekerja dan mempunyai pendapatan.

Advertisements