Archive for April, 2010


SINOPSIS:

Hafizi seorang pelajar cacat kelas 4 Sains 1 berkawan baik dengan Raja. Hafizi dibenci oleh Kamil dan kumpulannya. Kamil selalu mengejek Hafizi. Sikap Kamil yang buruk itu tidak disenangi oleh Raja yang mahu bertindak ke atas Kamil. Namun Hafizi menghalang. Mei Ling yang menegur sikap Kamil menyebabkan Kamil marah dan berlakulah pertengkaran tetapi terhenti apabila Cikgu Lee masuk ke kelas.

Ketika aktiviti perkelahan anjuran kelas 4 Sains 1, Kamil hampir lemas namun sempat diselamatkan oleh Hafizi. Peristiwa tersebut menyebabkan Kamil insaf dan memohon maaf kepada Hafizi.

TEMA:

  • Sikap manusia yang suka memandang hina kepada orang yang cacat.

PERSOALAN:

  • Sabar walaupun dihina rakan.
  • Sikap suka berdendam tiada kebaikannya.
  • Menasihati kawan agar mengawal kemarahan.
  • Membantu orang yang kesusahan.

NILAI:

  • Sabar
  • Pemaaf
  • Bertanggungjawab
  • Keberanian
  • Tolong-menolong
  • Baik hati

Penulisan : Vandalisme dalam Kalangan Remaja

Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme

i. Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya  lebih mudah meniru dan terpengaruh oleh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

ii. Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak  menghiraukan papan tanda  had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak  dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

iii. Pengaruh Media Massa

Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari Barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme juga boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.

iv. Sikap Apati ( tidak peduli), Individualistik dan Materialistik

Remaja ialah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah anggota masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar  sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Langkah-langkah

i. Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan  kepada rakan-rakan.

ii. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

iii. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah.

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan  memberikan perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya  beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.

iv. Peranan Media Massa

Selain berfungsi  sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang  terdapat dalam media massa.

Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan  dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.

Ubah suai daripada http://www.tutor.com.my

Tips/tip …?

Saya mahu memberikan satu tips kepada kamu. Baiknya hati awak kerana mahu membantu saya. Masalahnya kata ‘tips’ itu betulkah ejaannya? Atau bagaimana?

Kata tips ini banyak sekali kita temukan dalam penulisan. Makna kata ini ialah panduan, petua atau teknik terbaik tentang sesuatu. Maksud lain bagi kata tersebut ialah wang upah (sedikit) tambahan yang diberikan kepada seseorang, misalnya pelayan hotel kerana mengangkut beg kita. Kata itu juga boleh membawa makna maklumat dalaman yang sangat berguna misalnya berhubung pasaran saham, judi dan sebagainya.

Penulis telah merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 bertujuan mencari makna lain bagi kata tips tersebut. Apa yang menjadi kepelikannya, tidak adapun kata tips dan yang ada hanyalah ‘tip’ (Rujuk muka surat 1696).

  • Moral yang hendak disampaikan penulis ialah betapa banyak antara kita yang menggunakan perkataan yang tidak tepat atau salah sama sekali tanpa kita sedari.
  • Tips  X
  • Tip  √

Pada 23 April 2010 (Jumaat), penulis telah diundang sebagai penceramah subjek Bahasa Melayu dalam Program Kecemerlangan Pelajar (PKP) sesi 1/2010 anjuran KEMAS negeri Kelantan bertempat di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.

Program yang akan berlangsung pada 22 – 24 April 2010 akan melibatkan para peserta seramai 80 orang  daripada pelajar tingkatan 1 dan 2.

Penulis akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan 2 slot ceramah iaitu pada petang Jumaat ( 2.30 – 4.30 petang) dan pada sebelah malamnya bermula jam 9.00 – 11.00 malam.

Selamat berkursus diucapkan semoga mendapat keberkatan.

Penulis.

PENDAHULUAN:-

  • AR: Insan-insan yang bergelar ibu dan bapa merupakan permulaan hidup kita di dunia yang fana ini.
  • AH: Dengan jasa dan pengorbanan merekalah maka kita anak-anak berpeluang menghirup nikmat kehidupan yang tiada tolok bandingnya.
  • AH: Tanpa mereka, tiadalah kita. Tanpa jasa dan pengorbanan mereka, semestinya kita tidak akan berada di tempat seperti yang kita ada sekarang.
  • UBI: Kasihnya ibu membawa ke syurga, begitulah kalimat suci dan keramat yang sewajarnya menjadi pegangan setiap insan yang bergelar anak.
  • AH: Namun, apa yang menggoreskan perasaan dan hati kecil kita, kedapatan insan yang berhati mulia ini disisih serta dibuang oleh anak-anak umpama kain buruk,  setelah mereka di penghujung usia.
  • AA: Sebenarnya, pelbagai cara yang dapat kita laksanakan demi membalas jasa dan pengorbanan kedua-dua orang ibu bapa kita sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Antara cara seseorang anak membalas jasa kedua-dua orang ibu bapa ialah:-

  • Seseorang anak mestilah sentiasa meletakkan keutamaan terhadap ibu bapa lebih daripada yang lain.
  • Seseorang anak mestilah sentiasa hormat, taat akan suruhan, menunjukkan kemesraan, ringan tulang dan mestilah menjaga maruah dan nama baik keluarga.
  • Sebagai seorang anak yang masih di bangku persekolahan, kita mestilah berusaha, tekun dalam menuntut ilmu agar menjadi anak yang cemerlang dalam pelajaran. (Hadiahkan mereka dengan segulung ijazah… )
  • Sebagai seorang anak, kita mestilah berusaha untuk menjadi insan yang sempurna dari segi sahsiah, minda, emosi dan fizikal.
  • Setelah dewasa dan berjaya dalam kehidupan, seseorang anak mestilah berusaha membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa seperti membantu dari segi kewangan, perubatan, tempat tinggal, kenderaan dan lain-lain mengikut kemampuan diri.
  • Apabila berada berjauhan daripada ibu bapa, seseorang anak mestilah kerap melawat, menghubungi serta bertanya khabar walaupun sesibuk mana kita.
  • Apabila wujud pertelingkahan atau pertentangan pendapat, seseorang anak mestilah bijak menuturkan kata agar mereka tidak berkecil hati. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Jauhi sifat suka meninggi diri dengan mereka.
  • Jika ibu bapa kita dulunya merupakan ‘orang miskin’ dan terpaksa mencurah keringat demi sesuap nasi untuk membesarkan kita, maka sepatutnya kita membalas jasa mereka dengan memberikan kesenangan hidup, menghantarkan mereka ke Mekah, membawa mereka melancong dan sebagainya.
  • Paling utama dan penting, cara membalas jasa kedua-dua orang ibu bapa kita adalah dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Jadilah anak yang soleh dan solehah yang boleh dibanggakan oleh mereka, agama dan juga bangsa.


Kerjaya dalam ketenteraan…?

Tidak banyak yang menyedari bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan ruang dan peluang kerjaya yang menarik kepada para belia sama ada di peringkat pegawai mahupun bukan pegawai. Boleh dikatakan semua jenis kerjaya di luar sana terdapat dalam organisasi ATM misalnya doktor perubatan, jurutera, perakaunan, perundangan, pentadbiran, sanis dan teknologi, komputer, pembinaan dan lain-lain.

Kerjaya yang ditawarkan oleh ATM benar-benar mencabar dan boleh menjadi platform terbaik bagi seseorang untuk memperkembang bakat dan kepakaran masing-masing di samping peluang meningkatkan kenaikan pangkat yang menarik.

Bagi Tentera Darat (TD), terdapat beberapa pasukan (kor) yang memikul tanggungjawab dan peranan tersendiri, antaranya:-

  • Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
  • Rejimen Renjer Diraja (RRD)
  • Kor Armor Diraja (KAD)
  • Rejimen Semboyan Diraja (RSD)
  • Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)
  • Rejimen Artileri Diraja (RAD)
  • Rejimen Gerak Khas (RGK)
  • Kor Perkhidmatan Am (KPA)
  • Kor Kesihatan Diraja (KKD)
  • Kor Polis Tentera Diraja (KPTD)
  • Kor Risik Diraja (KRD)
  • Kor Perkhidmatan Diraja (KPD)
  • Kor Ordnans Diraja (KOD)
  • Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD)
  • Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)
  • Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)

HIERARKI PANGKAT PEGAWAI ANGKATAN TENTERA

  • Jeneral
  • Leftenan Jeneral
  • Mejar Jeneral
  • Brigadier Jeneral
  • Kolonel
  • Leftenan Kolonel
  • Mejar
  • Kapten
  • Leftenan


Fakta penting:-

  • Kraf tangan bermaksud segala kerja halus / seni yang memerlukan daya cipta dan kemahiran tangan.
  • Kini penghasilan barangan kraf tangan telah mengalami perubahan yang drastik : telah wujud industri kraf tangan yang berskala besar yang mampu mengeksport hasilnya ke luar negara.

Antara sumbangan kraf tangan kepada perkembangan industri pelancongan:-

  1. menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pelancongan.
  2. menjadi produk yang mempunyai kelainan dan keistimewaan yang mampu menarik minat para pelancong.
  3. mampu memperkenalkan negara melalui produk kraf tangan di peringkat global.
  4. meningkatkan jumlah pendapatan industri pelancongan melalui penjualan produk kraf tangan.
  5. menyediakan pakej lawatan istimewa kepada para pelancong.
  6. pihak bertanggungjawab boleh mengekploitasikan keistimewaan kraf tangan sebagai daya penarik.
  7. menyediakan peluang kerja  dan seterusnya dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan seterusnya dapat meningkatkan kemakmuran negara.

Contoh soalan:-

1. Adalah dimaklumkan bahawa program lawatan terpaksa ditangguhkan.

2. Sungai yang terbesar di Malaysia adalah Sungai Pahang.

3. Projek kitar semula ini adalah bertujuan untuk menjaga alam sekitar.

4. Jawapan ini adalah berdasarkan buku teks.

5. Bantuan ini ialah untuk pelajar-pelajar miskin.

6. Aktiviti yang paling diminatinya ialah menari.

JAWAPAN/PEMBETULAN:-

  • 1. Dengan ini (kata pemeri tidak boleh menjadi kepala ayat)
  • 2. ialah ( ialah digunakan di depan kata nama: ialah + KN)
  • 3. adalah ditiadakan: Kata pemeri tidak boleh digunakan di depan kata kerja.
  • 4. adalah ditiadakan ( seperti jawapan ayat 3 )
  • 5. adalah
  • 6. ialah tarian ( ialah digunakan di depan kata nama: menari > kata kerja )

Contoh soalan:-

1. Hanya seorang dari peserta ekspedisi yang mengalami kecederaan.

2. Oleh kerana lapar, kanak-kanak itu menangis tanpa henti-henti.

3. Dia belum mengetahui akan keputusan yang diambil oleh ayahnya.

4. Minat sukan di kalangan pelajar semakin meningkat.

5. Antara sukan hoki dan bola sepak, saya lebih minat akan sukan hoki.

6. Buku cerita itu masih ada dengan adiknya.

7. Selain daripada membaca buku, pelajar juga ada yang menyiapkan kerja rumah.

8. Ayah begitu mengambil berat terhadap kebajikan anaknya.

9. Dia hidup di dalam kemiskinan setelah kematian bapanya.

JAWAPAN/PEMBETULAN:-

  • 1. daripada
  • 2. Oleh sebab / Kerana
  • 3. Kata sendi ‘akan’ ditiadakan.
  • 4. dalam
  • 5. dengan
  • 6. pada
  • 7. Selain
  • 8. tentang
  • 9. dalam

TEMA:-

  • Penyelesaian masalah bersandarkan nasib baik semata-mata.

PERSOALAN:-

  • Pertaruhan atau perjudian nasib boleh merugikan diri.
  • Sikap mementing diri sendiri.
  • Pemimpin yang mengambil kesempatan atas kelemahan rakyat.
  • Sikap pembohong seorang yang dipercayai.

WATAK & PERWATAKAN:-

  • Pak Belalang ~ seorang ahli nujum, suka berpura-pura bijak.
  • Raja Indera Maya ~ mudah terpedaya akan tipu helah, baik hati, sanggup menerima cabaran.

NILAI:-

  • Kasih sayang.
  • bertangggungjawab.
  • kejujuran.
  • kebijaksanaan.

PENGAJARAN:-

  • Kita hendaklah berhati-hati dalam apa juga tindakan.
  • Kita mestilah menepati janji.
  • Manusia mestilah menjauhi sikap suka menipu.