Malaysia belasah India 5-2

IPOH, 12 Mei- Skuad hoki negara mencipta kejutan terbesar pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah selepas membenam cabaran juara bertahan, India 5-2.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua  dalam kumpulan dan membuka kembali laluan ke perlawanan akhir.

Gol pertama Malaysia dicipta oleh pakar pukulan sudut penalti negara, Mohd. Amin Rahim pada minit ke-27 sebelum Tengku Ahmad Tajuddin menambah gol kedua pada minit ke-39 melalui pukulan kencang dari penjuru kiri pintu gol India.

Kedudukan Malaysia semakin kukuh apabila Muhammad Razie Abd Rahim berjaya menyempurnakan pukulan sudut pendek untuk gol ketiga pada minit ke-41.

Walaupun ketinggalan tiga gol, juara bertahan itu tetap berusaha merapatkan jurang gol dan berjaya mendapatkan gol melalui Danish Mujtaba pada minit ke-44.

Tiga minit kemudian, Muhammad Rahim menjaringkan gol keempat Malaysia melalui pukulan sudut pendek pada minit ke-47.

Malaysia semakin garang apabila berjaya menambah gol kelima melalui tolakan kencang oleh Azreen Rizal Nasir pada minit ke-60.

India mendapat gol kedua melalui tolakan deras yang dilakukan oleh Pal Ravi pada minit ke-68.

– Suntingan daripada Utusan.

Advertisements