Agak lama juga penulis tidak mengemaskinikan berita dan maklumat di blog ini kerana berada di Peladang Setiu Agro Resort, Setiu, Terengganu kerana menganjurkan KEM HOKI FARIS 2010 di sana. Selama 3 hari 2 malam penulis dan seramai 34 orang pemain hoki bawah 15 tahun mengikuti program tersebut iaitu bermula 14 – 16 Mei 2010.

Menyentuh sambutan hari guru 2010, penulis banyak sekali menerima ucapan selamat hari guru daripada bekas-bekas pelajar SMS. Tengku Muhammad Faris Petra, rakan-rakan setugas dan pengunjung-pengunjung setia blog cikgu. Sekalung terima kasih kerana sudi mengirimkan ucapan buat penulis dan kalian tetap dalam ingatan….

KETIKA penulis sedang asyik meneliti akhbar Mingguan Malaysia hari ini, rasa kagum, gembira dan bangga apabila penulis terlihat sekeping kad hari guru yang unik ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan beberapa orang menteri kabinet yang lain. Terima kasih penulis kepada para pemimpin negara yang prihatin dan sentiasa menghargai sumbangan guru.

YANG TIDAK SEDAPNYA ialah apabila penulis tersedar bahawa terdapat kesilapan bahasa mudah yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi kad ucapan sempena hari guru itu membabitkan pemimpin tertinggi negara.

“SELAMAT HARI GURU CIKGU….

DARI ANAK-ANAK DIDIKMU”

BETULKAH penggunaan kata sendi ‘DARI’ itu? Setahu penulis yang setiap hari mengajarkan Bahasa Melayu di kelas, penggunaan kata sendi dari hanyalah untuk ‘ATM’ iaitu arah, tempat dan masa. Jika manusia (anak-anak) seperti dalam ungkapan di atas, SEPATUTNYA kita gunakan ‘DARIPADA’

JADI…. orang atau pihak-pihak tertentu itu perlulah lebih teliti ketika menggunakan bahasa Melayu yang mudah ini. Bersama-samalah kita mendaulatkan bahasa Melayu.

Advertisements