Archive for Mei 23, 2010


Wacana, wahana…?

Dua patah kata di atas sering kita jumpa dalam penulisan. Maknanya pun sudah kita kuasai. Namun kadang-kadang, berlaku juga berlaku kesilapan kerana faktor kecuaian. Cuba lihat maksud kata tersebut dan penggunaannya dalam ayat:-

  • Wacana (discourse) bermaksud keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur ataupun penulis dan merupakan unit bahasa melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, bab, buku dan sebagainya yang melihat kesatuan berkaitan sesuatu pemikiran. Wacana juga merupakan perbincangan atau pertukaran idea secara lisan.
Contoh ayat:-
(1) Setiap pelajar seharusnya menguasai bidang ilmu yang diperturunkan serta menyelami wacana pemikiran gurunya.
(2) Mereka mengadakan wacana ilmu sebagai persiapan untuk menyertai Bengkel Keilmuan Siswa Muda.
  • Wahana pula bermaksud saluran atau perantaraan dan alat yang memungkinkan sesuatu dapat dilakukan, disampaikan atau dicapai.
Contoh ayat:-
(1) Kini internet menjadi wahana paling dominan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan perkembangan teknologi terkini.
(2) Lukisan kartun kadang-kadang dijadikan sebagai wahana propaganda.

Jika kita sering berkunjung ke gerai-gerai di pasar tani ataupun di pasar-pasar malam, kita biasanya akan terserempak dengan pelbagai kesalahan ejaan pada tanda harga mahupun pada kain rentang promosi dan seumpamanya. Kesalahan-kesalahan ini tidak begitu diberikan perhatian, mungkin kerana sudah terlalu biasa. Kata orang, alah bisa, tegal biasa.

Frasa nama seperti ‘mee goreng’, ‘roti canai telor’,  ‘satey daging’, ‘kueh-tiaw’, ‘bihun sup’ dan lain-lain sering kita temukan. DAN untuk pengetahuan semua, frasa-frasa yang dinyatakan itu sebenarnya SALAH dari segi penggunaan ejaannya. Lihat pembetulan di bawah:-

  • mee goreng  > mi goreng
  • roti canai telor  > roti canai telur
  • satey daging  > sate daging
  • kueh-tiaw   > kuih tiaw
  • bihun sup  > mihun sup
  • kelepek ubi  > kerepek ubi
  • keset nasyid  > kaset nasyid
  • kain batek  > kain batik
  • roti murtabak  > roti martabak
  • goreng pisang  > pisang goreng
  • buah nenas / lanas > buah nanas
  • ayer kelapa muda > air kelapa muda

PENGKALAN CHEPA, 22 Mei- Majlis Anugerah Cemerlang kali ke-35 dan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-34 SM. Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah berlangsung dengan jayanya.

Majlis yang berlangsung pada pukul 3.30 petang itu diteruskan walaupun ketibaan Tetamu Kehormat YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed terlewat hampir satu jam. Acara penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang telah disempurnakan oleh beberapa orang tetamu undangan yang lain.

Seramai 280 orang pelajar telah menerima anugerah dalam majlis tersebut. YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tiba lebih kurang pukul 4.30 petang dan majlis sambutan dimulai dengan mengarak Tetamu Kehormat dengan perarakan masuk ke Dewan Gemilang oleh kumpulan pembawa bunga manggar dan pasukan kompang. Selepas itu lagu Negaraku dipersembahkan oleh pasukan pancaragam, acara dewan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua, Tuan YDP PIBG dan seterusnya ucapan perasmian oleh YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed.