4,138 calon lulus STAM 2010

PUTRAJAYA 31 Jan. – Seramai 4,138 orang atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2010 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, jumlah tersebut meningkat 1,000 orang calon berbanding hanya 3,138 orang calon memperoleh sijil pada 2009.

“Bagaimanapun jumlah mereka yang lulus Mumtaz (cemerlang) menurun iaitu seramai 413 orang berbanding 422 orang, manakala jumlah calon yang gagal pula meningkat kepada 2,399 orang bagi tahun lalu berbanding 1,556 orang pada 2009.

“Bagaimanapun, terdapat peningkatan mendadak yang ditunjukkan bagi calon mendapat pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) iaitu 804 orang tahun lalu berbanding 608 orang pada 2009,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online, 2/2/2011

 

Advertisements