Archive for Mei 18, 2011


Setiap ayat di bawah mengandungi kesalahan dalam tatabahasa. Cuba betulkan kesalahan tersebut.

1.  Andaikata kau menjadi bulan, biar aku menjadi pungguknya.

2.  Perabot itu diperbuat dari kayu jati.

3.  Saya mengunjungi sepupu saya di Johor Bharu.

4.  Tolong emelkan senarai harga barang itu dengan segera.

5.  Finas telah menghantar sepuluh orang deligasi ke Festival Filem Cannes.

6.  Banyak premis-premis perniagaan mengadakan jualan murah sempena musim perayaan.

7.  Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada para panel hakim kerana sudi berkongsi pandangan pada petang ini.

8.  Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-XII telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas.

9.  Kempen anti-dadah di seluruh negara telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

JAWAPAN:

1. Andaikata > Andai kata, kau menjadi > kaumenjadi

2. dari > daripada

3. Johor Bharu > Johor Bahru

4. emelkan > e-melkan

5. deligasi > delegasi

6. Banyak premis-premis > Banyak premis

7. Berbanyak > Berbanyak-banyak

8. ke-XII > ke XII

9. anti-dadah > antidadah

Kebaikan pertanian secara tradisional:-

  • tidak memerlukan kos dan modal yang besar;
  • tidak memerlukan jentera dan teknologi canggih;
  • hasil pertanian yang bebas daripada pencemaran bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan manusia;
  • mesra alam dan tidak mendatangkan pencemaran terhadap alam sekitar;
  • mewujudkan ikatan yang erat dalam kalangan keluarga.

Keburukan pertanian secara tradisional:-

  • tidak menghasilkan pendapatan yang banyak kepada petani;
  • hasil pertanian yang kurang bermutu;
  • mudah terdedah kepada serangan penyakit dan serangan makhluk perosak;
  • memerlukan jangka masa yang lama kerana menggunakan tenaga manusia dan binatang;
  • menjadikan golongan petani hidup dalam kemiskinan;
  • merosakkan alam sekitar ( pertanian pindah );
  • pergantungan yang besar kepada keadaan cuaca dan persekitaran.

Berikut ialah peribahasa yang membawa maksud melakukan dua pekerjaan dalam sesatu masa. 

  • Sambil berdiang nasi masak.
  • Belayar sambil memapan.
  • Berkayuh sambil bertimba.
  • Sambil menyelam minum air.


9. Air bah (A) yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan (B) yang besar kepada harta benda penduduk-penduduk (C) di sini. Tiada kesalahan (D).

Perkataan bergaris yang manakah yang salah? Atau tiada kesalahan?

Untuk soalan no. 9 ini cikgu dapati ramai atau banyak pelajar yang memilih C sebagai jawapannya. Alasan mereka ialah kata penduduk itu sudak membawa maksud banyak dan tidak perlu digandakan lagi.

Pada pendapat cikgu, jawapan bagi soalan 9 di atas itu ialah D, iaitu Tiada kesalahan kerana kata penduduk sebenarnya tidak membawa maksud ramai atau banyak. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, di muka surat 367; 

  • Penduduk bermaksud orang yang menduduki sesuatu kawasan, daerah, tempat, negeri dan lain-lain.
  • Contoh ayat:
  1. Tidak ada seorang penduduk kampung itu yang berani keluar melihat pembunuhan itu.
  2. Penduduk-penduduk di kawasan pedalaman diminta berwaspada apabila keluar ke hutan untuk menoreh.