Archive for Jun, 2011


Pada pagi 25 Jun 2011 (Sabtu), cikgu akan bersama-sama pelajar SMK Alor Pasir, Tanah Merah dalam program ilmu ‘Teknik Menjawab Kertas Bahasa Melayu PMR 2011 bertempat di Perdana Resort, PCB, Kota Bharu. Seramai 80 orang pelajar terpilih terlibat dalam program ini.

Program ini dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi dan dijangka tamat pada pukul 10.30 pagi. Sebenarnya hari ini merupakan hari jadi cikgu yang ke-?…. secara rasmi telah ‘bergelar warga emas’. Semoga program pada pagi ini memberikan manfaat yang banyak kepada para pelajar kerana program ini jatuh pada hari yang amat bererti buat cikgu.

LETIH DAN MELETIHKAN…?

ALAHAI SIBUKNYA JADUAL…!

Kelmarin merupakan hari yang agak meletihkan..! Pada pagi itu cikgu terpaksa mengiringi peserta pidato ke pertandingan pidato QIT Kubang Kerian di SMK Pengkalan Chepa 2. Sungguhpun dekat, cikgu terpaksa berulang-alik ke Faris Petra kerana pada masa yang sama cikgu terpaksa membuat rakaman tentang lawatan pengetua dan guru besar dari Narathiwat, Thailand seramai 71 orang. Mereka mengadakan lawatan penanda aras ke Faris Petra.

Pada pukul 3 petang pula cikgu ada ceramah dengan seramai 175 orang pelajar PMR Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban yang diadakan di Redwan Beach Resort, Malawi. Jaraknya lebih kurang 40 km dari rumah cikgu. Program ceramah itu berjalan lancar walaupun cikgu agak semput-semput.   Lebih kurang pukul 6 petang, cikgu bertolak balik dan pada sebelas malam iaitu lebih kurang pukul 9, cikgu dan keluarga ke Faris Petra pula untuk melihat persiapan khemah rumah sukan untuk KOT pada hari ini, 23/6/2011.

Pada pagi Sabtu 25/6/2011, satu lagi ceramah yang melibatkan cikgu. Kali ini oleh SMK. Alor Pasir yang diadakan di Perdana Resort. Yang ini ok sikit, kerana program ini berlangsung berhampiran dengan rumah cikgu.

Alhamdulillah..

LUAHAN IKHLAS ANAK MURIDMU…?

LUAHAN HATI ANAK MURIDMU

Jangan pekikkan ke telingaku lagi!
Kata-kata nista itu
Ia buat hatiku terusik
Ia membuat jasadku menjadi lemah
Aku tahu kejahilanku
Akalku lemah untuk menerima
Walau telah sedaya upaya aku mencuba
Namun kecundang di penghujungnya
Lalu
Masih bersalahkah aku
Masih layakkah aku dicemuh sebegitu
Di hadapan rakan-rakanku
Tolong cikgu!
Kata-kata itu tidak layak untuk aku
Untuk aku yang serba kekurangan ini
Untuk aku yang bergelar anak muridmu
Aku juga ingin sepintar mereka
Yang pantas mengira apabila diminta
Yang hebat dalam membina ayat
Yang kuat ingatan dalam menghafal
Aku tidak setanding mereka semua
Tapi cikgu
Aku kenal huruf A
Aku kenal alif, ba dan ta
Aku boleh membaca dua suku kata
Aku anak muridmu cikgu
Yang mungkin terpinggir dalam perjalanan
Yang tersadung kaki semasa berlari
Yang tergelincir ketika cuba mendaki
Aku masih berpeluang untuk bangun
Berlari seperti mereka
Mendaki seperti mereka
Dan suatu masa
Aku ingin menjadi insan berguna
Nukilan: Sahibul Anuar Asrani, Debak, Sarawak.

Cuti pertengahan tahun baru-baru ini begitu sibuk buat cikgu. Di samping menghadapi tugas biasa seorang guru, menanda kertas peperiksaan pelajar, cikgu juga terpaksa menerima beberapa undangan ceramah BM PMR di beberapa buah sekolah, ada juga yang terpaksa ditolak atau diminta tangguh kerana kesuntukan masa dan pertindihan jadual. Pada 31 Mei – 3 Jun 2011 yang lepas, cikgu telah menghadiri Persidangan Guru Cemerlang Sekolah Berasrama penuh di Putrajaya. Sekembalinya sahaja cikgu ke Kelantan, 3 undangan ceramah terpaksa dijayakan, antaranya:-

  • 4 Jun 2011 : Ceramah anjuran KESEDAR di PCB Resort, Kota Bharu.
  • 5 Jun 2011 : Ceramah di SMK Kadok, Kota Bharu.
  • 7 Jun 2011 : Ceramah di SM. Sains Pasir Puteh, Pasir Puteh.
  • 8 Jun 2011 : Ceramah untuk pelajar SMS Tengku Muhammad Faris Petra.

Kini yang sedang menanti ialah:-

  • 22 Jun 2011 : Ceramah undangan SMK Kubang Bemban, bertempat di Melawi, Bachok.
  • 25 Jun 2011 : Ceramah undangan SMK Alor Pasir, Tanah Merah, bertempat di PCB Resort.

Sibuk, tetapi terpaksa ditempuh demi …. perkongsian ilmu..!