LUAHAN HATI ANAK MURIDMU

Jangan pekikkan ke telingaku lagi!
Kata-kata nista itu
Ia buat hatiku terusik
Ia membuat jasadku menjadi lemah
Aku tahu kejahilanku
Akalku lemah untuk menerima
Walau telah sedaya upaya aku mencuba
Namun kecundang di penghujungnya
Lalu
Masih bersalahkah aku
Masih layakkah aku dicemuh sebegitu
Di hadapan rakan-rakanku
Tolong cikgu!
Kata-kata itu tidak layak untuk aku
Untuk aku yang serba kekurangan ini
Untuk aku yang bergelar anak muridmu
Aku juga ingin sepintar mereka
Yang pantas mengira apabila diminta
Yang hebat dalam membina ayat
Yang kuat ingatan dalam menghafal
Aku tidak setanding mereka semua
Tapi cikgu
Aku kenal huruf A
Aku kenal alif, ba dan ta
Aku boleh membaca dua suku kata
Aku anak muridmu cikgu
Yang mungkin terpinggir dalam perjalanan
Yang tersadung kaki semasa berlari
Yang tergelincir ketika cuba mendaki
Aku masih berpeluang untuk bangun
Berlari seperti mereka
Mendaki seperti mereka
Dan suatu masa
Aku ingin menjadi insan berguna
Nukilan: Sahibul Anuar Asrani, Debak, Sarawak.