Perkataan suci dan cuci sering digunakan orang secara hentam kromo sahaja. Mereka menganggap dua patah perkataan tersebut sama atau hampir sama dari segi makna. Betulkah begitu? Cuba kita rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, adakah pendapat kita selama ini betul?

Cuci bermaksud bersih, basuh dan habis. Mencuci bermaksud membersih > membersih/mencuci  pakaian; membasuh pakaian, mencuci mata > melihat benda yang menyeronokkan. 

Perkataan cuci apabila menerima imbuhan awalan me-N > mencuci bukannya menyuci…

Manakala perkataan suci membawa maksud bersih dari segi agama / tidak berdosa / tiada noda / kudus dan nirmala.

Apabila menerima awalan me-N, kata suci > menyuci bukannya mencuci…

Contoh ayat:-

  • cuci / mencuci
  1. Emak sedang mencuci pakaian di tepi telaga.
  2. Untuk mencuci segala kekotoran yang degil itu, kamu terpaksa menggunakan peluntur yang kuat.
  3. Tolong cuci seluar kamu itu.
  4. Semua harta habis cuci dirampasnya.
  • suci / menyuci
  1. Kitab suci al-Quran perlu dibaca pada setiap masa.
  2. Sebelum solat kamu perlu suci daripada sebarang najis dan kekotoran.
  3. Orang beriman sentiasa menyucikan hatinya dengan memberikan sedekah.
  4. Menyucikan bermaksud membersihkan diri dari segi hati, perasaan, fikiran dan fahaman.

Berwuduk menyucikan diri…!