Archive for Februari, 2012


Biasakah awak temukan frasa seperti di atas? Apakah komen awak tentang frasa seperti di atas? Betul atau salah? …. saya tidak pasti…!

Cuba lihat frasa-frasa yang hampir sama seperti frasa di atas. Antaranya:-

  • Gas-gas yang terhasil daripada tindak balas kimia itu adalah seperti gas oksigen, gas hidrogen dan gas karbon dioksida.
  • Angin-angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa amat menyamankan.
  • Sukar untuk kita menghirup udara-udara bersih di kawasan ibu kota.
  • Air-air yang digunakan oleh penduduk kampung dikatakan kurang bersih.
  • Pasir-pasir yang dijual itu biasanya disedut dari dasar sungai.

5 baris ayat contoh di atas merupakan ayat yang tidak gramatis kerana penggunaan frasa yang dicondongkan tulisannya. Kenapa?

SEBENARNYA frasa-frasa tersebut tidak gramatis kerana setiap kata yang telah membawa maksud/makna banyak/jamak tidak boleh digandakan lagi. Tujuan kita menggandakan setiap patah kata pun, tujuannya adalah untuk menunjukkan banyak. Jika kata tersebut telah membawa makna banyak, maka tidak payah lagi kita menggandakannya. SEPATUTNYA:-

  • Gas yang terhasil….
  • Angin yang bertiup…..
  • … menghirup udara bersih…
  • Air yang digunakan…
  • Pasir yang dijual…..
  • Asap hitam….

Penggunaan kata ganti tanya dengan kata ganti umum sering disalahgunakan dek kerana kurang cakna tentang sesuatu hukum bahasa. Maka akan wujudlah ayat-ayat yang tidak betul/gramatis seperti di bawah:-

  1. Kamu boleh ambil apa sahaja yang kamu mahu.
  2. Jangan melakukan apa yang kamu tidak sukai.
  3. Apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Ayat 1 – 3 SALAH dari segi tatabahasanya adalah kerana penggunaan ‘kata tanya apa’ yang sepatutnya ayat-ayat itu berakhir dengan tanda soal (?) – kerana telah menjadi ayat tanya.

SEBENARNYA kata tanya apa itu sepatut digandakan untuk menjadi kata ganti nama umum ‘apa-apa’ yang membawa maksud ‘apa saja’ atau apa-apa sahaja. Contoh:-

    1. Kamu boleh ambil apa-apa sahaja yang kamu mahu.
    2. Jangan melakukan apa-apa yang kamu tidak sukai.
    3. Apa-apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Kata ganti nama umum yang lain ialah mana-mana, siapa-siapa, bila-bila. Lihat bentuk ayat SALAH-BETUL di bawah:-

  • Kamu boleh tidur di mana sahaja. X 
  • Kamu boleh tidur di mana-mana sahaja. /
  • Siapa yang berminat sila angkat tangan. X
  • Siapa-siapa /sesiapa yang berminat sila angkat tangan. /
  • Awak boleh menelefon saya pada bila masa. X
  • Awak boleh menelefon saya pada bila-bila masa, /

Baharu / Baru…?

  • Kereta baru ayah telah dicuri orang.  X (SALAH)
  • Dia baru tiba dari Kota Bharu. / (BETUL)
  • Rumah baharu ayah telah dimasuki pencuri. / (BETUL)
  • Baharu petang tadi dia meninggal dunia. X (SALAH)
  • Baharu-baharu ini cikgu terpilih sebagai salah seorang pembentang kertas kerja. X (SALAH)
  • Baharu-baharunya buku kepunyaan cikgu. / (BETUL)

Rasa-rasa cikgu, apabila menilai ayat-ayat di atas, pelajar-pelajar semakin dapat membezakan makna dan penggunaan kata ‘baharu’ dan ‘baru’ dalam bahasa Melayu.

SEBENARNYA kata ‘baharu’ bermaksud benda/perkara yang belum digunakan, masih suci/bersih atau lebih jelas kata antonimnya ialah buruk/lama iaitu golongan kata adjektif.

MANAKALA kata ‘baru’ sesuai dirujuk sebagai jangka masa atau menunjukkan masa ‘yang terdekat’.

Rancangan Pengajaran Komsas 1

Sila klik di “Rancangan Pengajaran Komsas 1” untuk mendapatkan bahan taklimat saya di Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan pada 26 dan 27 Februari 2012.

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudia jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                Maka lalu Sultan Abdullah pun tukar dan ubah pakaian, lalu pergilah tanyakan Tuk Ca itu. 

Lalu Tuk Ca pun beroyatlah kepada Sultan Abdullah itu, “Tiada apa-apa yang lain yang raja aku suruh mari

ini sekali dengan raja-raja, menteri, hulubalang, pahlawan, rakyat sekalian, hendak mari ambil Tuan Puteri

Sa’dung, isteri kamu, itulah sahaja, kerana raja aku sangatlah berahi kepadanya. Maka jikalau kamu beri

Tuan Puteri Sa’dung, isteri kamu itu, nescaya senanglah kamu menjadi raja di negeri ini kerana raja aku

tiada berkehendak akan negeri, hanya berkehendak kepada Tuan Puteri Sa’dung, isteri kamu itu sahaja. Jika

kamu hendak senang, hantarlah isteri kamu itu turun.”

(Dipetik daripada prosa tradisional Hikayat Seri Kelantan, Antologi Harga Sebuah Lukisan, Tg. 3 DBP)

 1.          Apakah maksud baris beroyatlah kepada Sultan Abdullah di atas?

               A            Menyembah sultan

               B            Memberitahu sultan

               C            Memerintahkan sultan

               D            Memohon perkenan sultan

2.          Apakah yang dimahukan Tuk Ca daripada Sultan Abdullah?

               A            Tuk Ca mahukan Sultan Abdullah menyerahkan isterinya kepadanya.

               B            Tuk Ca mengugut mahu menyerang Kelantan.

               C            Tuk Ca mahu mengambil isteri Sultan Abdullah untuk rajanya.

               d             Tuk Ca mahu menjalinkan hubungan dengan negeri Kelantan.

3.          “Maka jikalau kamu beri Tuan Puteri Sa’dung, isteri kamu itu, nescaya senanglah kamu menjadi raja di negeri .

              Apakah maksud kata-kata itu?                                   

              A            Sultan Abdullah boleh memerintah  tanpa gangguan  jika menyerahkan isterinya.

              B            Raja Siam ingin menjalinkan hubungan kekeluargaan dengan Sultan Abdullah.

              C            Tuk Ca cuba membuat ugutan terhadap Raja Siam.

              D            Bukti bahawa Tuan Puteri Sa’dung seorang yang bijak.

4.          Berikut merupakan bahasa istana kecuali..

               A            hulubalang

               B            sultan

               C            berahi

               D            rakyat

5.          Berdasarkan petikan di atas, apakah latar tempat berlakunya peristiwa itu?

               A            istana RajaSiam

               B            istana Sultan Abdullah

               C            bilik Tuan Puteri Sa’dung

               D            negeri Siam

Kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli. 5 negara terkaya di dunia semasa ialah:-

  1. Qatar
  2. Luxembourg
  3. Singapura
  4. Norway
  5. Brunei

Sumber: Mingguan Malaysia 26/2/2012

SINOPSIS:-

Mengisahkan Puan Ainun yang hidup berjiran dengan Puan Salbiah, Puan Cheng dan Cik Punita. Pada suatu hari, Puan Ainun memberikan setiap jirannya semangkuk daging masak Minang. Semua jirannya memuji keenakan masakannya kecuali Cik Punita yang mengembalikan pemberiannya. Akibat semangkuk daging, Puan Ainun tidak berpuas hati dan berdendam dengan Cik Punita sehingga sanggup menyuruh anaknya mengembalikan buah limau bali pemberian Cik Punita. Akhirnya, mereka berbaik semula apabila suami Puan Ainun memaklumkan bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu kerana lembu ialah binatang suci bagi penganut agama Hindu.

Kata ganda kebiasaannya menunjukkan maksud banyak atau bilangan yang lebih daripada satu. Misalnya:-

  • bola-bola
  • kasut-kasut
  • lagu-lagu
  • pendapat-pendapat
  • gunung-ganang
  • kuih-muih
  • lauk-pauk
  • pelancong-pelancong

Jadi adalah SALAH jika kita menggunakan perkataan yang juga membawa atau tersedia maksud terkumpul atau banyak, contohnya:-

  • semua lauk-pauk
  • banyak gunung-ganang
  • setiap kuih-muih
  • sesetengah daripada kasut-kasut
  • setimbun bola-bola
  • beberapa orang pelancong-pelancong

Walau bagaimanapun, ada juga kata ganda yang hanya membawa maksud satu, atau tunggal. Jadi kata yang bermaksud banyak di depannya boleh digunakan. Contohnya :-

  • banyak kura-kura
  • sesetengah rama-rama
  • semua kupu-kupu
  • setiap labi-labi

Pengguna bahasa Melayu cenderung menggunakan kata pemeri ‘adalah’ di depan kata kerja, contohnya:-

  • adalah berasaskan (kk)
  • adalah merujuk (kk)
  • adalah dibuat/diperbuat (kk)
  • adalah digalakkan (kk)
  • adalah melambangkan (kk)
  • adalah menjadi (kk)
  • adalah merupakan (kk)
  • adalah tertakluk (kk)
  • adalah dinasihati (kk)
  • adalah berdasarkan (kk)

Semua bentuk frasa di atas adalah salah dan tidak gramatis. Sebenarnya kata pemeri ‘adalah’ hanya digunakan di depan kata adjektif dan di depan kata sendi nama, contohnya:-

  • adalah cantik
  • adalah sangat murah
  • adalah untuk
  • adalah kerana
  • adalah dari
  • adalah daripada

Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat luas. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati tetapi tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat tersebut. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksasa di tasik itu namun Inderaputera tidak gentar. Tidak lama kemudian keluarlah raksasa daripada tasik itu. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksasa ingin menindih Inderaputera, dia bingkas bangun dan mencengkam rambut raksasa. Raksasa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi setiap permintaan Inderaputera. raksasa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksasa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksasa itu. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksasa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang mandi. Raksasa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasa tuan puteri sedang mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksasa. Tuan Puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta Tuan Puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta Tuan Puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan Puteri berjanji akan memberikan gemala hikmat itu dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor garuda dan seekor raksasa yang sangat hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Sumber: Blog Cikgu Azaman