Archive for Februari 29, 2012


Biasakah awak temukan frasa seperti di atas? Apakah komen awak tentang frasa seperti di atas? Betul atau salah? …. saya tidak pasti…!

Cuba lihat frasa-frasa yang hampir sama seperti frasa di atas. Antaranya:-

  • Gas-gas yang terhasil daripada tindak balas kimia itu adalah seperti gas oksigen, gas hidrogen dan gas karbon dioksida.
  • Angin-angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa amat menyamankan.
  • Sukar untuk kita menghirup udara-udara bersih di kawasan ibu kota.
  • Air-air yang digunakan oleh penduduk kampung dikatakan kurang bersih.
  • Pasir-pasir yang dijual itu biasanya disedut dari dasar sungai.

5 baris ayat contoh di atas merupakan ayat yang tidak gramatis kerana penggunaan frasa yang dicondongkan tulisannya. Kenapa?

SEBENARNYA frasa-frasa tersebut tidak gramatis kerana setiap kata yang telah membawa maksud/makna banyak/jamak tidak boleh digandakan lagi. Tujuan kita menggandakan setiap patah kata pun, tujuannya adalah untuk menunjukkan banyak. Jika kata tersebut telah membawa makna banyak, maka tidak payah lagi kita menggandakannya. SEPATUTNYA:-

  • Gas yang terhasil….
  • Angin yang bertiup…..
  • … menghirup udara bersih…
  • Air yang digunakan…
  • Pasir yang dijual…..
  • Asap hitam….

Penggunaan kata ganti tanya dengan kata ganti umum sering disalahgunakan dek kerana kurang cakna tentang sesuatu hukum bahasa. Maka akan wujudlah ayat-ayat yang tidak betul/gramatis seperti di bawah:-

  1. Kamu boleh ambil apa sahaja yang kamu mahu.
  2. Jangan melakukan apa yang kamu tidak sukai.
  3. Apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Ayat 1 – 3 SALAH dari segi tatabahasanya adalah kerana penggunaan ‘kata tanya apa’ yang sepatutnya ayat-ayat itu berakhir dengan tanda soal (?) – kerana telah menjadi ayat tanya.

SEBENARNYA kata tanya apa itu sepatut digandakan untuk menjadi kata ganti nama umum ‘apa-apa’ yang membawa maksud ‘apa saja’ atau apa-apa sahaja. Contoh:-

    1. Kamu boleh ambil apa-apa sahaja yang kamu mahu.
    2. Jangan melakukan apa-apa yang kamu tidak sukai.
    3. Apa-apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Kata ganti nama umum yang lain ialah mana-mana, siapa-siapa, bila-bila. Lihat bentuk ayat SALAH-BETUL di bawah:-

  • Kamu boleh tidur di mana sahaja. X 
  • Kamu boleh tidur di mana-mana sahaja. /
  • Siapa yang berminat sila angkat tangan. X
  • Siapa-siapa /sesiapa yang berminat sila angkat tangan. /
  • Awak boleh menelefon saya pada bila masa. X
  • Awak boleh menelefon saya pada bila-bila masa, /