Penggunaan kata ganti tanya dengan kata ganti umum sering disalahgunakan dek kerana kurang cakna tentang sesuatu hukum bahasa. Maka akan wujudlah ayat-ayat yang tidak betul/gramatis seperti di bawah:-

  1. Kamu boleh ambil apa sahaja yang kamu mahu.
  2. Jangan melakukan apa yang kamu tidak sukai.
  3. Apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Ayat 1 – 3 SALAH dari segi tatabahasanya adalah kerana penggunaan ‘kata tanya apa’ yang sepatutnya ayat-ayat itu berakhir dengan tanda soal (?) – kerana telah menjadi ayat tanya.

SEBENARNYA kata tanya apa itu sepatut digandakan untuk menjadi kata ganti nama umum ‘apa-apa’ yang membawa maksud ‘apa saja’ atau apa-apa sahaja. Contoh:-

    1. Kamu boleh ambil apa-apa sahaja yang kamu mahu.
    2. Jangan melakukan apa-apa yang kamu tidak sukai.
    3. Apa-apa yang ada di sana, semuanya kepunyaan kamu.

Kata ganti nama umum yang lain ialah mana-mana, siapa-siapa, bila-bila. Lihat bentuk ayat SALAH-BETUL di bawah:-

  • Kamu boleh tidur di mana sahaja. X 
  • Kamu boleh tidur di mana-mana sahaja. /
  • Siapa yang berminat sila angkat tangan. X
  • Siapa-siapa /sesiapa yang berminat sila angkat tangan. /
  • Awak boleh menelefon saya pada bila masa. X
  • Awak boleh menelefon saya pada bila-bila masa, /