Archive for Mac, 2012


Esei lemah…?

Basi…?

Pilih pasangan ayat yang betul.

17.

  • I    Dia menghabiskan makanan itu tanpa meninggalkan basi.
  • II   Pelajar-pelajar itu keracunan makanan kerana termakan nasi basi.
  • III  Berita tentang perkahwinan Siti dengan Datuk K sudah basi.
  • IV  Doa orang yang tidak beriman biasanya basi.

A  I dan II          B  III dan IV         C  I, II dan IV          D  II, III dan IV

(Soalan Penggal I SMS Tengku Muhammad Faris Petra)

JAWAPAN:

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 muka surat 133, kata basi membawa maksud:

  1. sudah busuk dan tidak boleh dimakan lagi (makanan)
  2. tidak baharu / sudah lama (berita / khabar)
  3. tidak mustajab / tidak mujarab
  4. lebihan (baki) khusus untuk wang

Berdasarkan soalan 17 di atas, ayat I, SALAH kerana kata basi sepatutnya digantikan dengan baki. Walaupun maksud basi yang ke-4 ialah lebihan, namun hanya khusus untuk wang sahaja. Sementara ayat II – IV, penggunaan kata basi dalam ayat tersebut adalah BETUL berdasarkan makna dan penggunaannya.

JAWAPAN yang paling sesuai untuk soalan 17 di atas ialah  D iaitu II, III dan IV

Sabarlah Cikgu…?

Perkataan yang bermula dengan huruf depan ‘w’ apabila menerima imbuhan awalan meN-, huruf ‘w’ itu akan dikekalkan. Hal ini demikian akan melahirkan perkataan-perkataan seperti:-

  • wujud  > mewujudkan
  • wajar  > mewajarkan
  • wara-wara  > mewara-warakan
  • wali  > mewalikan
  • wajib  > mewajibkan

NAK JADI CIKGU…?

Kepada calon SPM 2011 yang akan mendapat keputusan pada hari Rabu ini, dimaklumkan bahawa tawaran mengikuti Program Perguruan khusus untuk anda yang berminat telah dikeluarkan. Rujuk Mingguan Malaysia bertarikh 18 Mac 2012. Sila bertindak segera.

Metafora / hiperbola…?

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, metafora bermaksud pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan.

Mengikut istilah sastera pula, metafora merupakan gaya bahasa perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna sebenar kata atau frasa tersebut. Gaya bahasa perbandingan lain adalah seperti hiperbola.

Kebiasaannya metafora terdiri daripada 2 patah kata seperti:-

  • lembah duka
  • lautan api
  • kota kesengsaraan
  • cahaya kepintaran
  • tunas harapan
  • padang hidup
  • madu susah
  • cuka kesangsian
  • piala remajamu

Manakala hiperbola pula merupakan gaya bahasa perbandingan yang membuat perbandingan yang melampau atau berlebih-lebihan bagi menggambarkan sesuatu keadaan, contohnya:-

  • tajam pisau membelah bulan
  • semut menari bergoncang bumi
  • sekali gus menggelapkan lagi warna merah di jiwa Mikraj
  • dia tidak pernah menghampakan harapan orang
  • sawah habis kering
  • terlalu elok parasnya gilang-gemilang cahayanya kilau-kilauan
  • tubuhku tercalar duri pidana

Pendahuluan:-

  • Ibu bapa ialah individu yang paling rapat dengan anak-anak. Mereka menjadi arkitek membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak. Anak ibarat kain putih, tangan-tangan ibu bapalah yang akan mencorakkkan warna mengikut kecenderungan mereka. Begitu juga dengan semangat patriotik yang wajib ditanamkan dalam diri anak-anak demi kepentingan bangsa dan negara. Pelbagai peranan yang mampu dimainkan oleh ibu bapa, antaranya:-
  1. Menggunakan segenap masa bersama-sama dengan anak dengan sentiasa menyemaikan semangat patriotik
  2. Ibu bapa memiliki kuasa mutlak terhadap anak-anak. Ibu bapa boleh menentukan bentuk pendidikan yang mahu diterapkan kepada anak-anak.
  3. Ibu bapa sewajarnya menjadi contoh teladan. Peribahasa ada menyebut ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi’
  4. Semangat patriotik boleh diterapkan secara tidak langsung melalui aktiviti keluarga
  5. Ibu bapa sering menceritakan kisah-kisah sejarah berkenaan dengan pejuang-pejuang negara
  6. Ibu bapa menggalakkan anak-anak menonton rancangan televisyen yang berkaitan sejarah negara
  7. Ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat tempat-tempat bersejarah, muzium dan lain-lain
  8. Ibu bapa menggalakkan anak-anak mengikuti program seperti kursus-kursus motivasi, kem-kem jati diri
  9. Ibu bapa memberikan galakan kepada anak-anak agar bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti pasukan pengakap, kadet
  10. Ibu bapa sentiasa membawa anak-anak ke tempat-tempat sambutan seperti Sambutan Kemerdekaan
  11. Ibu bapa seharusnya sentiasa mengingatkan anak-anak tentang pengorbanan dan susah payah generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan

Penutup:-

  • Semangat patriotik perlu diterapkan ke dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Semangat inilah yang akan memastikan negara kita akan terus aman dan makmur. Ibu bapa sewajarnya menjadi tonggak utama dalam usaha menerapkan semangat tersebut.

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2011 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 27 Mac 2012.

Sekian, terima kasih.

Tugasan Dalam Cuti F3…?

Assalamualaikum,

Kepada semua pelajar 3 Alpha dan 3 Lambda,

Anda dikehendaki membuat kajian dan ulasan tentang sajak ‘Keusangan Budaya’, Antologi Harga Sebuah Lukisan merangkumi perkara seperti berikut:-

  • Tema
  • Persoalan
  • Nilai dan Pengajaran
  • Maksud setiap rangkap sajak
  • Gaya bahasa

Semua tugasan hendaklah dibuat di atas kertas kajang (A4) dan dihantarkan pada atau sebelum 20 Mac 2012.