SEMENJAK Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di wujudkan, masyarakat antarabangsa telah menyaksikan sendiri penyelidikan dan eksperimen saintifik dijalankan di stesen tersebut.

Terbaru, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) diberi peluang oleh Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA) untuk menawarkan program khas kepada orang ramai yang berminat mencadangkan pelbagai jenis eksperimen untuk dilaksanakan di ISS.

Dinamakan sebagai program Try Zero G 2 ia merupakan sebuah program pendidikan di ISS yang dilaksanakan oleh JAXA bertujuan menunjukkan perbezaan antara fenomena sains antara sifar graviti (0G) dan graviti (1G) di bumi.

Menurut Pegawai Sains Angkasa, Jong Tze Kian, program tersebut telah mula diadakan sejak tahun lepas. Namun agak kurang sambutan berikutan tempoh yang diberikan oleh JAXA untuk memilih serta menghantar cadangan eksperimen tersebut agak terhad.

“Tahun ini merupakan kali kedua ia diadakan. Justeru kami mengharapkan lebih banyak idea berkenaan eksperimen dapat ditonjolkan oleh rakyat Malaysia sekali gus berjaya dipilih untuk dilaksanakan di sana (ISS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, program tersebut bermula dari idea yang dikemukakan oleh peserta kepada pihak Angkasa yang kemudiannya akan ditapis dan yang terbaik akan dipilih.

“Kita akan pilih antara lima hingga lapan idea terbaik daripada seluruh idea yang diterima. Idea tersebut akan dihantar ke JAXA sebelum ia dilaksanakan di ISS,” ujarnya.

Tambah beliau, tahun lepas sebanyak dua idea eksperimen telah diterima oleh JAXA untuk dilaksanakan di ISS.

“Ia merupakan satu kebanggaan buat kita kerana bukan mudah untuk menentukan eksperimen yang boleh dilakukan di ISS.

Sumber: Utusan Malaysia Online, Arkib 13/2/2012