Archive for April 9, 2012


Lagi Hukum DM…?

KESALAHAN > PEMBETULAN

  • lain-lain perkara  >  perkara-perkara lain
  • contoh karangan  >  karangan contoh
  • goreng pisang  >  pisang goreng
  • ayam kari  >  kari ayam
  • percik ayam  >  ayam percik
  • Ali Hassan Restoran  > Restoran Ali Hassan
  • tiga segi  >  segi tiga

 

Pelajar-pelajar gemar menggunakan perkataan yang belum pasti makna dan penggunaan semasa menulis karangan sehingga menimbulkan kesalahan yang tidak sepatutnya. Pelajar berkenaan beranggapan dengan menggunakan perkataan tersebut, akan mendapat markah yang lebih tinggi. TAPI ingat, jangan jadi seperti peribahasa, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Contohnya penggunaan kata ‘marcapada’ yang kononnya sama fungsi dengan mutakhir ini, pada masa ini, kini dan lain-lain.

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, kata ‘marcapada’ merupakan kata klasik ‘sastera lama’ yang membawa maksud ‘dunia sekarang ini’. 

JADI kata marcapada agak tidak sesuai untuk menggantikan kata mutakhir ini, pada masa ini, kini, kebelakangan ini, belakangan ini, sejak akhir-akhir ini dan lain-lain. Cuba lihat perbandingan di bawah:-

  • Marcapada ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  X
  • [ Dunia sekarang ini ] ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah. X ( Pelik bunyinya)
  • Mutakhir ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Belakangan ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Kebelakangan ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Marcapada lebih banyak menghadapi masalah pencemaran.  √
  • [ Dunia sekarang ini ] lebih banyak menghadapi masalah pencemaran.  √

Penggunaan kata ribuan dan jutaan terima kasih sering kita temukan ketika mendengar ucapan atau syarahan dan juga ketika kita membaca petikan surat kiriman. Yang manakah yang betul? Ribuan terima kasih atau jutaan terima kasih? Adakah penggunaan kata ribuan dan jutaan pada perkataan terima kasih betul atau gramatis? Adakah terima kasih yang ucapkan atau dilafazkan itu boleh dikira ataupun sudah membawa maksud jamak atau banyak?

SEBENARNYA, ketika kita menggunakan bahasa Melayu sama ada ketika menulis atau berkomunikasi, kita kerap juga menggunakan perkataan yang kreatif, bombastik dan berbunga-bunga. Inilah namanya keindahan bahasa.

JADI penggunaan sama ada ribuan atau jutaan terima kasih adalah gramatis ataupun BETUL dan boleh digunakan seperti biasa.