Archive for Ogos, 2012


Pendahuluan:-

Sungai merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Di samping membekalkan sumber air untuk kehidupan makhluk di bumi, sungai juga merupakan habitat bagi sesetengah makhluk, menjadi alat perhubungan serta bertindak sebagai sumber bekalan makanan yang penting kepada kehidupan.

Sungai sewajarnya dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Amatlah tidak wajar anugerah yang sebesar ini dimusnahkan oleh tangan-tangan manusia yang kononnya menjadi khalifah di muka bumi ini. Namun apa yang realitinya, kebanyakan sungai di negara kita kini diancam oleh pencemaran yang maha hebat, sehinggakan ada sesetengah daripadanya tidak dapat lagi berfungsi seperti biasa…

Pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak demi mencegah berlakunya pencemaran sungai, antaranya:-

Isi-isi:-

  1. Menjalankan kempen kesedaran secara berterusan betapa pentingnya sungai kepada kehidupan;
  2. Memperkenalkan mata pelajaran ‘Penjagaan Alam Sekitar’ kepada murid-murid seawal peringkat sekolah rendah lagi;
  3. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan ketat;
  4. Menggubal undang-undang penjagaan sungai yang lebih sesuai;
  5. Membanteras aktiviti pembalakan haram;
  6. Mewujudkan kawasan perindustrian yang berjauhan dari sungai;
  7. Memperbanyak dan mempertingkatkan persekitaran sungai sebagai taman-taman rekreasi dan pusat pelancongan yang menarik;
  8. Mempertingkatkan sistem pelupusan sampah ke arah yang lebih moden;
  9. Membaik pulih sungai-sungai yang telah tercemar;
  10. Kerap mengadakan aktiviti gotong-royong kebersihan dengan penduduk yang tinggal berdekatan sungai;
  11. Menggalakkan projek penternakan ikan/udang air tawar di sungai-sungai;
  12. Membina perangkap sampah di sungai-sungai yang teruk menghadapi masalah pencemaran;
  13. Merawat sungai yang tercemar;
  14. Menubuhkan unit atau pasukan sukarelawan yang menjaga kebersihan sungai;
  15. Mengelakkan pembinaan kawasan petempatan berhampiran dengan sungai;
  16. Semua agensi kerajaan dan swasta perlu mengambil bahagian dalam usaha menjaga kebersihan sungai.

SONGSANG…!

Ayat songsang ialah ayat yang dimulakan dengan predikat,kemudian diikuti dengan subjek.

  • AYAT SONGSANG = PREDIKAT + SUBJEK
  • CONTOH:-
  1. Kerana lapar + adik menangis.
  2. Yang berkereta besar itu + kakak saya.
  3. Kerjanya doktor +anak saya.
  4. Siapa + nama awak?
  • AYAT BIASA = SUBJEK + PREDIKAT
  • CONTOH:-
  1. Adik menangis + kerana lapar.
  2. Kakak saya + yang berkereta besar itu.
  3. Anak saya + kerjanya doktor.
  4. Nama awak + siapa?

Assalamualaikum dan selamat berpuasa,

Kelmarin cikgu ada menerima beberapa soalan daripada pengunjung dan tumpuan soalannya berkisar tentang istilah sastera seperti ‘sinis’, ‘melankolik’, ‘patriotik’, ‘metafora’ dan banyak lagi. Pada kesempatan kali ini cikgu akan cuba menjelaskan istilah-istilah seperti di atas secara ringkas. Untuk mendapatkan penerangan lanjut, anda kenalah membuat rujukan dengan meneliti buku kamus sastera.

  • Sinis ialah bentuk sajak yang mengetengahkan sindiran-sindiran secara halus bertujuan menimbulkan keinsafan, kesedaran kepada yang berkenaan.
  • Melankolik juga bentuk sajak. Sajak yang mengetengahkan gaya penyampaian yang bernada lembut, romantis dan mendayu-dayu. Biasanya untuk menggambarkan perasaan sedih, harapan, kasih sayang dan sebagainya.
  • Patriotik pula merupakan bentuk sajak yang mengetengahkan unsur semangat cinta akan tanah air, penentangan terhadap penjajah dan seumpamanya. Sajak ini disampaikan secara penuh bersemangat.
  • Metafora pula ialah gaya bahasa perbandingan. Perbandingan yang dimaksudkan ialah perbandingan yang tiada kaitan antara perkataan pertama dengan perkataan kedua. Biasanya ‘metafora’ terdiri daripada dua patah kata sahaja; contohnya-
  1. sungai derhaka
  2. kota duka
  3. mahligai rindu
  4. lautan darah

– perkataan sungai dengan derhaka tiada kaitan; biasanya kita gunakan kata sungai dengan kata kotor, sungai cetek, sungai sempit dan lain-lain.

SOALAN 1 – 7 (Mengisikan tempat kosong dengan jawapan yang paling sesuai)

1. Abang terpaksa ………………………. basikal kerana tayar basikalnya bocor.

  • A menonton
  • B menolak
  • C menuntun
  • D mengheret

2. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil berat ……………………….. anak-anak mereka baik dari segi tingkah laku ┬ámahupun pergaulan.

  • A tentang
  • B kepada
  • C terhadap
  • D pada

3. Ubi yang direbus oleh Najwa masih belum ……………….. kerana apinya terlalu perlahan.

  • A rangup
  • B empuk
  • C rapuh
  • D lembik

4. Habis pakaian adik ……………………. akibat digugit oleh anjing yang garang itu.

  • A compang-camping
  • B comot-momot
  • C koyak-rabak
  • D serbah-serbih

5. Ibnu Sina merupakan ……………………….. Islam yang banyak menyumbangkan idea dalam bidang perubatan.

  • A ilmuwan
  • B karyawan
  • C budayawan
  • D hartawan

6. Kerana sering kali ………………… dirinya sebagai anak orang berada, dia kini dipulau rakan sekelasnya.

  • A membesar
  • B memperbesarkan
  • C memperbesar
  • D membesar-besarkan

7. Penglihatan Pak Ali semakin ………………. sejak dia disahkan menghidap diabetes.

  • A berkunang-kunang
  • B bersuram-suram
  • C berbalam-balam
  • D berkabur-kabur

JAWAPAN

  1. A (menuntun)
  2. C (terhadap) > terhadap digunakan kepada benda konkrit; tentang > benda abstrak.
  3. B (empuk)
  4. C (koyak-rabak)
  5. A (ilmuwan)
  6. D (membesar-besarkan)
  7. D (berkabur-kabur)