Archive for September, 2012


Memperkasakan / memperkasa…?

Penggunaan imbuhan awalan berangkap memper- dan diper- pada kata adjektif mungkin sudah difahami pelajar. Ramai pelajar sudah maklum bahawa tiada lagi imbuhan akhiran bagi kata adjektif yang telah menerima imbuhan awalan berangkap, contohnya di bawah:-

  • memper + indah > memperindah BUKANNYA memperindahkan / memperindahi
  • memper + lebar > memperlebar BUKANNYA memperlebarkan / memperlebari
  • memper + hebat > memperhebat BUKANNYA memperhebatkan / memperhebati
  • diper + luas > diperluas BUKANNYA diperluaskan / diperluasi
  • diper + dalam > diperdalam BUKANNYA diperdalamkan / diperdalami
  • diper + kuat > diperkuat BUKANNYA diperkuatkan / diperkuati

Bagaimanakah pula dengan keadaan perkataan di bawah:-

  • memperjuangkan > betul / salah ?
  • memperkatakan > betul / salah ?
  • mempersenjatai > betul / salah ?
  • diperhebahkan > betul / salah ?
  • diperbualkan > betul / salah ?
  • dipersoalkan > betul / salah ?

Bagi contoh perkataan di atas penggunaan imbuhan awalan berangkap berserta imbuhan akhiran DIBENARKAN / BETUL. Hal ini kerana imbuhan awalan berangkap tersebut bukannya digunakan pada kata adjektif. Kata di bawah terdiri daripada golongan:-

  • juang > kata kerja
  • kata > kata kerja
  • senjata > kata nama 
  • hebah > kata kerja
  • bual > kata kerja
  • soal > kata kerja

Bagi menjawab soalan sama ada memperkasakan / memperkasa yang betul, kita hendaklah menganalisis kata memperkasakan / memperkasa secara teliti.

  • memperkasakan ( imbuhan awalan mem + perkasa + akhiran kan )
  • memperkasa ( imbuhan awalan mem + perkasa )
  • perkasa ( kata adjektif yang bermaksud kuat, hebat )

> memperkasakan – dari segi tatabahasanya BETUL kerana kata adjektif  berkenaan ‘perkasa’ tidak menggunakan imbuhan awalan berangkap, kerana ‘per’ bagi kata ‘perkasa’ itu bukannya imbuhan awalan per-, sebaliknya kata dasarnya ialah perkasa. JADI tidak timbul perkara seperti yang saya perkatakan di atas; iaitu semua kata adjektif yang menerima awalan berangkap memper- dan diper- tidak perlu diikuti dengan akhiran -kan ataupun -i. 

RINGKASNYA:-

  • memperkasakan √
  • memperkasa  X

  • GOLONGAN KARYAWAN
  1. Mereka perlu turun padang menjalankan kempen kepada golongan masyarakat seperti mengadakan ceramah, pameran, diskusi, jualan murah karya sastera.
  2. Mereka perlu mendekati golongan pembaca untuk mengetahui cita rasa dan kecenderungan serta minat agar karya yang dihasilkan itu menepati kehendak masyarakat.
  3. Mereka perlu meningkatkan kualiti karya yang dihasilkan sesuai dengan perkembangan semasa.
  4. Mewujudkan persatuan karyawan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka.
  • PIHAK KERAJAAN
  1. Menguatkuasakan undang-undang hak cipta dengan lebih berkesan agar masalah cetak rompak serta kualiti karya sentiasa terjamin.
  2. Mengecualikan cukai terhadap hasil karya agar harga sesebuah karya lebih murah dan lebih kompetetif.
  3. Mengurangkan harga kertas dan bahan-bahan percetakan.
  4. Melancarkan kempen membaca dalam kalangan masyarakat.
  5. Memperbanyak penubuhan perpustakaan awam terutamanya di luar bandar.
  6. Menyediakan insentif menarik kepada golongan karyawan yang aktif menulis karya sastera.
  7. Mewujudkan kedai buku 1Malaysia yang menjual buku sastera dengan lebih murah.
  8. Menubuhkan outlet karya sastera di semua pejabat kerajaan.
  9. Menggalakkkan kakitangan awam membaca dan membeli karya sastera.
  10. Memperkenalkan skim potongan harga kepada golongan pekerja awam.
  • GOLONGAN PELAJAR
  1. Menggiatkan lagi Program Nilam dalam kalangan pelajar.
  2. Mewajibkan subjek sastera kepada golongan pelajar tertentu.
  3. Kempen kesedaran perlu dilaksanakan di peringkat sekolah.
  4. Memperbanyak karya sastera di perpustakaan sekolah.
  5. Menjadikan karya sastera sebagai bahan kajian kepada pelajar.
  6. Menjadikan sesetengah karya sastera yang sesuai sebagai buku teks sekolah.
  • GOLONGAN MASYARAKAT
  1. Menjadikan hobi membaca karya sastera dalam kehidupan seharian.
  2. Menjadi contoh teladan kepada golongan muda.
  3. Menyediakan peruntukan khusus setiap bulan untuk membeli karya sastera.
  4. Memberikan galakan kepada anak-anak supaya membaca karya sastera yang sesuai di samping minat lain.
  5. Menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup.

UNDANGAN CERAMAH BERTERUSAN…?

Esok petang (Isnin: 24/9/2012) cikgu ada undangan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu PMR di SMS Pasir Puteh, jam 3.00 hingga 5.00 petang. Pada minggu-minggu terakhir persiapan PMR ini, bukan bakal calon PMR sahaja yang sibuk dan kelam-kabut….. cikgu dan ibu bapa pelajar pun tumpang sekaki. Cikgu berharap bengkel yang dirancang itu berjalan lancar.

Pada 17/9/2012, juga petang Isnin cikgu bersama-sama pelajar SMA Maahad Istiqamah, Badang kerana program yang sama. Bengkel teknik menjawab di sekolah tersebut melibatkan sejumlah 120 orang pelajar berjalan lancar walaupun pada penghujungnya terdapat sedikit gangguan hujan lebat dan angin ribut.

Terima kasih.

ANALISIS SOALAN NOVEL 2005 – 2011

TAHUN

ASPEK YANG DITANYA

2005

Latar masa, latar tempat dan latar masyarakat

2006

Perbandingan antara watak utama dengan watak sampingan

2007

Contoh daripada pengajaran sikap saling membantu

2008

Latar tempat

2009

Contoh peristiwa daripada persoalan yang diberi

2010

Contoh peristiwa daripada nilai yang diberi

2011

Contoh peristiwa perwatakan watak utama

2012

??????????

ANALISIS SOALAN BAHAGIAN B (BM2)

TAHUN

ISU/TOPIK

2005

Kitar Semula

2006

Kebaikan Bergotong-royong

2007

Aktiviti Sempena Pesta Flora

2008

Kesan-kesan Banjir

2009

Cara Mengatasi Kesesakan Jalan Raya

2010

Kesan-kesan Kegiatan Pembalakan Haram

2011

Faedah Memajukan Industri Pelancongan

2012

??????????

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pelajar dan pembaca yang dihormati sekalian….

Belakangan ini pertanyaan yang sering diajukan pembaca sama ada pelajar, guru mahupun ibu bapa adalah tentang soalan-soalan  yang mungkin keluar dalam PMR nanti. Ada sesetengah pertanyaan itu pula diiringi dengan pujuk rayu dan sesetengahnya pula siap dengan harapan yang menggunung tinggi. Alahai, …. sakit kepala Cikgu dibuatnya.

SEBENARNYA, walaupun Cikgu mempunyai pengalaman yang luas dalam hal-ehwal Bahasa Melayu PMR ini, namun kerja-kerja nujum-menujum ini bukanlah baik malah kadang-kadang merugikan. Bayangkan jika soalan atau tajuk yang dijangka keluar, tak muncul tiba, siapa yang mahu dipersalahkan?
Berkenaan dengan tajuk atau soalan yang keluar nanti, pelajar-pelajar bakal calon PMR sekalian janganlah terlalu takut atau risau, kerana semua skop topiknya telah diajarkan guru masing-masing.
CUMA nasihat Cikgu, untuk soalan-soalan karangan, pelajar mestilah menguasai tajuk-tajuk yang berkisar tentang diri pelajar sendiri, seperti tajuk yang berkaitan dengan persekolahan (asrama, kokurikulum, teknik belajar, peranan ibu bapa, disiplin, kantin, sukan dan kesihatan). Tajuk-tajuk yang berkaitan ibu bapa dan pihak sekolah juga seharusnya diberikan perhatian oleh pelajar-pelajar. Contoh soalan atau tajuk karangan yang PATUT dikuasai pelajar ialah:-
  • Bagaimanakah cara mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar?
  • Peranan ibu bapa/guru/pelajar dalam menangai masalah disiplin pelajar.
  • Faedah menabung kepada pelajar.
  • Kebersihan.
  • Kebaikan koperasi sekolah.
Bagi soalan novel pula, soalan yang keluar pada tahun lepas adalah tentang perwatakan, 2010 – nilai, 2009 – persoalan, 2008 – latar tempat, 2007 – pengajaran, 2006 – watak dan 2005 – latar tempat, masa dan masyarakat.
Pada tahun ini, pelajar-pelajar seharusnya memberikan lebih tumpuan kepada tema serta latar di samping tajuk-tajuk lain. 

ASAP-ASAP…?

Tidak semua perkataan boleh digandakan bagi menyatakan maksud banyak atau lebih daripada satu. Bagi perkataan-perkataan (kata nama) yang sudah menunjukkan jumlah yang banyak atau tidak dapat dikira jumlahnya, tidak wajar menerima bentuk gandaan. Sila lihat contoh kesalahan kata nama yang digandakan di bawah:-
  •  air-air
  • wang-wang
  • serbuk-serbuk > serbuk-serbuk tepung
  • lumpur-lumpur
  • api-api
  • asap-asap
  • gas-gas
  • udara-udara
  • angin-angin
  • hujan-hujan
  • padi-padi
  • beras-beras
  • awan-awan

Contoh kesalahan penggunaan kata ganda dalam ayat:-

  • Pihak urus setia telah menyediakan air-air minuman untuk para peserta larian 1Malaysia.
  • Asap-asap kilang boleh mencemarkan alam sekitar.
  • Lumpur-lumpur yang terkena baju saya sukar untuk dibersihkan.
  • Wang-wang simpanan saya telah dicuri orang.

IMBUHAN ‘ter- dan MAKSUD PALING…?

Sesetengah pengguna bahasa terkeliru oleh penggunaan kata penguat dengan sesetengah kata yang berimbuhan ter- yang membawa maksud paling. Mereka tidak pasti sama ada kata tersebut memang berimbuhan ter- atau sebaliknya. Silat lihat contoh di bawah:-

  • terbesar = paling besar > sangat terbesar   X
  • tercantik = paling cantik > amat tercantik  X
  • tertinggi = paling tinggi > paling tertinggi  X
  • termoden = paling moden > begitu termoden  X
  • terputih = paling putih > sungguh terputih  X

Namun begitu, tidak semua imbuhan ter- membawa maksud paling. Contohnya apabila imbuhan ter- digunakan pada kata kerja. Jika imbuhan ter- ini tidak membawa maksud paling, maka penggunaan kata penguat tidak menjadi kesalahan. Lihat contoh-contoh di bawah:-

  • terkenal = tidak membawa maksud paling ‘kenal’  > sangat terkenal /
  • tertarik = tidak membawa maksud paling ‘tarik’  > amat tertarik  /
  • tergoda = tidak membawa maksud paling ‘goda’  > sungguh tergoda  /
  • terpesona = tidak membawa maksud paling ‘pesona’  > agak terpesona  /

Kesimpulannya, hanya imbuhan ter- yang digunakan pada kata adjektif sahaja yang membawa maksud paling. Imbuhan ter- sedemikian tidak lagi boleh digunakan bersama dengan kata penguat yang juga membawa maksud paling.

Contoh ayat:-

  1. Tokoh pendidikan yang amat terkenal itu telah meninggal dunia. BETUL
  2. Para pelancong begitu tertarik oleh keindahan alam semula jadi. BETUL
  3. Dia sangat terpesona oleh kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. BETUL

PENDAHULUAN:-

  • Ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak.
  • Segala peranan yang dimainkan oleh ibu bapa memberikan impak yang besar terhadap masa depan anak-anak.
  • Ibu bapa yang semestinya mahu melihat kejayaan anak-anak suatu masa nanti sewajarnya memainkan peranan penting membantu mereka menghadapi peperiksaan besar seperti peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan lain-lain.

ISI-ISI: ( Peranan ibu bapa )

A. Sebelum Peperiksaan

  • Menyediakan segala prasarana seperti bahan bacaan untuk rujukan, alat tulis, komputer dll.
  • Mempersiapkan diri anak-anak dari segi mental – tuisyen, bimbingan di rumah, mengambil berat tentang pelajaran.
  • Sering berhubung dengan guru dan pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak.
  • Memantau segala aktiviti anak-anak agar tidak mengganggu proses persiapan menghadapi peperiksaan.
  • Mempersiapkan diri anak-anak dari segi fizikal – pemakanan makanan seimbang, ubat dan vitamin, sumber halal dll.
  • Mempersiapkan diri anak-anak dari segi rohani – mendekatkan diri dengan Allah, solat, bacaan al-Quran dll.

B. Semasa Peperiksaan

  • Sentiasa memastikan anak-anak tenang, yakin dan bersedia sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan.
  • Memberikan semangat dan dorongan kepada anak-anak – mengambil cuti untuk bersama dengan anak.
  • Menjadi tempat rujukan anak.
  • Memastikan kesihatan anak dalam keadaan yang baik.
  • Membantu anak-anak ketika membuat ulang kaji.
  • Memastikan emosi anak-anak tidak terganggu.

C. Selepas Peperiksaan

  • Menggalakkan anak memperbanyak berdoa dan sembahyang hajat.
  • Sentiasa memberikan dorongan yang positif.
  • Mengurangkan bebanan anak-anak – melancong, makan angin dll.
  • Menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti yang berfaedah semasa menunggu keputusan peperiksaan.

SEMAK TATABAHASA…?

SM. SAINS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

16100 KOTA BHARU, KELANTAN.

 ITEM PENGUKUHAN-PENGAYAAN BAHASA MELAYU PMR 2012

  1. Puan Aida mengirimkan anaknya wang pada setiap hujung bulan bagi menampung belanja persekolahan anaknya itu.
  2. Pembacaan yang luas dapat mempertajamkan minda para pelajar.
  3. Ramai kanak-kanak orang Asli buta huruf dan ketinggalan daripada pelbagai segi.
  4. Oleh kerana sessi persekolahan baru sahaja tamat, banyak pelajar mengambil kesempatan untuk bergambar sesama mereka.
  5. Mangkuk kristal kesayangan ibu telah remuk setelah terhempas ke lantai.
  6. Majlis perlantikan barisan pemimpin-pemimpin baharu pengawas akan dilangsungkan pada minggu depan.
  7. Jalan cerita drama yang melirik-lirik itu menimbulkan rasa bosan di kalangan penonton.
  8. Saya diminta oleh Cikgu Ali untuk menulis kata-kata aluan bagi buku majalah tersebut.
  9. Milah telah kehilangan kedua orang tuanya ketika dia berumur lima setengah tahun.
  10. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang telah cikgu terima pada tahun 1993.
  11. Setiap manusia akan mengimpikan sebuah kehidupan yang mengembirakan.
  12. Temuduga terbuka pegawai kedet tentera itu mendapat sambutan hangat daripada para belia-belia.
  13. Ayah berkerja sebagai juru mesin di kilang papan itu.
  14. Persie berjaya menjaringkan gol untuk MU di minit yang ke 65.
  15. Lukisan-lukisan yang dipamirkan di kedai itu cantik-cantik.
  16. Sebelum datuk meninggalkan dunia, dia sempat berpesan agar saya tidak mengabaikan solat.
  17. Jangan mengambil barang kepunyaan orang tanpa kebenaran.
  18. Jebatkah yang bersalah, atau akukah?
  19. Beberapa kereta terlibat di dalam kemalangan ngeri itu.
  20. Penyanyi yang sangat terkenal itu sedang membuat persembahan di pentas.
  21. Langkah dominan menggalakkan amalan membaca ialah mengadakan kempen kesedaran.
  22. Periuk-belanga kepunyaan Tuan Puteri Saadung masih tersimpan di gua Bukit Marak.
  23. Ramai penonton mengakui akan kehebatan penyerang muda itu.
  24. Kempen anti-merokok kurang berjaya kerana tidak mendapat kerja sama yang baik dari orang awan.
  25. Bapa baru sahaja balik kampung kerana ada kematian keluarganya di sana.
  26. Dengan berpandukan kepada peta lakaran itu, kami mula meredah hutan yang tebal itu.
  27. Pilhanraya Umum ke-13 akan diadakan pada akhir tahun ini.
  28. Udara-udara yang tercemar oleh asap-asap kilang boleh membahayakan kesihatan penduduk sekitar.
  29. Mayat-mayat yang bergelimpangan itu adalah mangsa pembunuhan kejam rejim tentera Syria.
  30. Pemain badminton itu menyertai banyak kejohanan, namun masih gagal menjadi juara.

** Kesan kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam ayat-ayat di atas kemudian cadangkan cara pembetulannya.

> Jawapan selepas ini.