Sesetengah pengguna bahasa terkeliru oleh penggunaan kata penguat dengan sesetengah kata yang berimbuhan ter- yang membawa maksud paling. Mereka tidak pasti sama ada kata tersebut memang berimbuhan ter- atau sebaliknya. Silat lihat contoh di bawah:-

  • terbesar = paling besar > sangat terbesar   X
  • tercantik = paling cantik > amat tercantik  X
  • tertinggi = paling tinggi > paling tertinggi  X
  • termoden = paling moden > begitu termoden  X
  • terputih = paling putih > sungguh terputih  X

Namun begitu, tidak semua imbuhan ter- membawa maksud paling. Contohnya apabila imbuhan ter- digunakan pada kata kerja. Jika imbuhan ter- ini tidak membawa maksud paling, maka penggunaan kata penguat tidak menjadi kesalahan. Lihat contoh-contoh di bawah:-

  • terkenal = tidak membawa maksud paling ‘kenal’  > sangat terkenal /
  • tertarik = tidak membawa maksud paling ‘tarik’  > amat tertarik  /
  • tergoda = tidak membawa maksud paling ‘goda’  > sungguh tergoda  /
  • terpesona = tidak membawa maksud paling ‘pesona’  > agak terpesona  /

Kesimpulannya, hanya imbuhan ter- yang digunakan pada kata adjektif sahaja yang membawa maksud paling. Imbuhan ter- sedemikian tidak lagi boleh digunakan bersama dengan kata penguat yang juga membawa maksud paling.

Contoh ayat:-

  1. Tokoh pendidikan yang amat terkenal itu telah meninggal dunia. BETUL
  2. Para pelancong begitu tertarik oleh keindahan alam semula jadi. BETUL
  3. Dia sangat terpesona oleh kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. BETUL