Pengalaman cikgu sebagai guru yang menanda kertas esei pelajar ini memang banyak. Tidak cukup laman blog jika mahu dikhabarkan kesemuanya. Daripada kaedah penulisan, pemilihan kosa kata yang entah dari mana, penggunaan penanda wacana yang pelik… sehingga kepada teknik penulisan permulaan ayat esei …. hairan bin ajaib; daripada mana sumber yang diperoleh pelajar? Kesempatan kali ini cikgu akan berkongsi dengan pembaca tentang teknik penulisan permulaan esei (mungkin yang diperturunkan oleh cikgu) yang pada pandangan cikgu amat tidak sesuai dan jika diamati betul-betul, buruk pula jadinya. Cuba lihat contoh penulisan pelajar untuk permulaan esei mereka>-

  • Dalam arus permodenan ini, …….. meniti dari bibir ke bibir setiap umat manusia di segenap empat penjuru Malaysia….
  • Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia…

…. Cukup sekadar dua contoh, cuba baca beberapa kali contoh gaya penulisan permulaan ayat perenggan pendahuluan di atas. Bagaimana? Hebat? Sedap? atau sesuaikah apabila digunakan pada pelbagai perenggan permulaan tanpa mengira bentuk tajuk atau soalan esei yang ingin ditulis.

Pada pandangan cikgu, kita tidak perlu menulis ayat-ayat pendahuluan sebegitu sehingga menjadikan setiap hasil penulisan kita kaku, luar biasa dan tidak selaras dengan idea-idea yang akan diketengahkan.