Baru-baru ini ketika cikgu sedang menanda kertas karangan Bahasa Melayu, cikgu ditemukan dengan sepatah perkataan yang sebelum ini jarang-jarang diguna pakai. Bunyinya pelik ‘usai’, cikgu ingat mungkin kata dialek ataupun bahasa slanga anak-anak muda hari ini. Contoh kegunaan biasa dalam penulisan mereka ialah:-

  • Usai sahaja majlis itu…..
  • Seusai makan malam, kami pun turun ke anjung rumah, ……..

Pada mulanya, yang terlintas dalam fikiran cikgu ialah, tandakan ….. untuk menunjukkan kesalahan ejaan ataupun kesalahan bahasa iaitu penggunaan sebutan dialek. Disebabkan terlalu ramai pelajar yang menggunakan perkataan tersebut, membuatkan cikgu tertanya-tanya, akhirnya Kamus Dewan Edisi Keempat jadi bahan rujukan.

Pada muka surat 1782, cikgu menemukan perkataan ‘usai’ yang mempunyai pelbagai maksud, antaranya:-

  • usai 1 bermaksud sudah selesai…(perayaan)
  • usai 2 bermaksud tidak tersusun rapi, contoh rambut –
  • usai 3 bermaksud sudah selesai dikerjakan, beres…
  • usai 4 bermaksud sudah lampau, lama, sudah berlalu….
  • mengusai 1 membawa maksud bersurai, menjadi usai…
  • mengusaikan membawa maksud menjadi bercerai, membongkar atau menguraikan (rambut)

Jadi selepas merujuk kamus, cikgu mula yakin bahawa ‘usai’ sebenarnya tercatat sebagai salah satu kata yang terkandung di dalam khazanah kosa kata kita.