Category: BANK PERIBAHASA


SPM 2009: Soalan Peribahasa…?

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

(e) Baca dialog di bawah kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai.

Ayah: Syafik, jagalah diri baik-baik ketika di rantau orang. Di sana nanti sesuaikan diri dengan budaya dan adat resam mereka. Ikutlah nasihat orang-orang tua, iaitu:………………..(i)……………………….. .

Jawapannya:

  • Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. / Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Syafik: Terima kasih ayah. Saya akan sematkan nasihat ayah itu.

Ayah: Di luar negara nanti ayah harap Syafik belajarlah rajin-rajin. Setelah berjaya kelak, berkhidmatlah kepada negara ini kerana kerajaan memerlukan tenaga muda untuk membangunkan negara, bak kata peribahasa:

…………………….(ii)…………………………

Jawapannya:

  • Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Syafik: Saya tidak lupa akan nasihat ayah itu.

Ayah: Satu lagi, jika ada peluang, jelajahilah negara orang dan timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya kerana ………………(iii)……………………..

Jawapannya:

  • Jauh berjalan luas pemandangan

Peribahasa: Bina ayat…?

(a)  Seperti lembu ditarik hidung

  • Lelaki itu menurut saja perintah isteri mudanya seperti lembu ditarik hidung.

(b) Bumi mana yang tidak ditimpa hujan

  • Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan kerana bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Oleh hal itu, kita harus sedia memaafkan kesalahan orang lain.

(c) Seperti kera mendapat bunga

  • Segala prasarana yang dibangunkan itu rosak oleh tindakan para ahli sukan yang sedang menjalani latihan pusat. Sikap mereka ini seperti kera mendapat bunga iaitu tidak tahu menghargai pemberian orang.

Peribahasa…?

  • belakang parang jika diasah nescaya tajam= seseorang yang lemah akan jadi pandai juga jika diajar dengan betul
  • seperti ular kena palu= keadaan yang bengkang-bengkok
  • seperti rumput di tepi jalan= orang yang hina dan dipandang rendah
  • jikalau ular menyusur akar tiada akan hilang bisanya= seseorang yang berkedudukan tinggi tidak akan jatuh darjatnya jika bergaul dengan orang biasa
  • seperti kera mendapat bunga = orang yang tidak menghargai pemberian / pertolongan orang
  • si kudung mendapat cincin = beroleh untung tapi tidak dapat merasai nikmatnya
  • orang buta diberi bersuluh = perbuatan yang sia-sia
  • orang mengantuk disorongkan bantal = mendapatkan sesuatu yang dihajati mestilah gembira
  • bagai dakwat dengan kertas = tidak pernah berpisah, pasangan yang cocok
  • seperti embun di hujung rumput = kasih sayang yang tidak kekal
  • seperti ikan di dalam belat = keadaan yang sesak
  • seperti ikan pulang ke lubuk = orang yang balik ke tempat asal dan tidak mahu ke mana-mana lagi
  • besar periuk besar keraknya = besar pendapatan, besar perbelanjaannya
  • hujung lurus, pangkal berkait = orang yang zahirnya nampak baik tapi hatinya tidak
  • jauhari yang mengenal manikam = hanya orang yang bijaksana saja tahu kelebihan sesuatu ilmu
  • jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya = hendaklah berusaha untuk mendapat apa yang dihajati
  • rumah sudah siap, pahat berbunyi = mula bercakap-cakap (tidak puas hati) selepas sesuatu kerja telah siap
  • ukur baju di badan sendiri = membuat sesuatu biarlah sepadan dengan kemampuan diri
  • baik berjagung-jagung sementara padi belum masak = membuat kerja sambilan sebelum mendapat kerja sebenar
  • belum duduk sudah berlunjur = belum mendapat apa yang dihajati sudah mula berasa gembira / puas
  • biar putih tulang, jangan putih mata = sanggup mati daripada menyerah kalah
  • segan berkayuh, perahu hanyut = malas berusaha pasti tidak akan berjaya
  • bagai anjing buruk kepala = orang yang dikatahui kejahatan akan dibenci orang
  • bagai bulan jatuh ke riba = mendapat untung besar
  • bagai hujan jatuh ke pasir = perbuatan yang sia-sia
  • bagai kucing dibawakan lidi = orang yang ketakutan
  • gajah mati, tulang bertimbun = orang kaya mati pasti banyak meninggalkan harta
  • diam penggali berkarat = ilmu yang disimpan saja, lama-lama akan hilang
  • patah kemudi perahu hanyut = apabila hilang pemimpin maka akan jadi kacau-bilau rakyat jelata
  • seperti hujan jatuh ke pasir = nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu kerja yang sia-sia
  • seperti air di dalam kolam = orang yang tenang sikap dan tingkah lakunya
  • ada sampan hendak berenang = sengaja menyusahkan diri
  • burung terbang dipipiskan lada = sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh
  • darah setampuk pinang = orang yang belum berpengalaman
  • nasi sudah menjadi bubur = sudah terlanjur, tidak dapat diubah lagi
  • menarik rambut di dalam tepung = bersikap bijaksana dan berhati-hati dalam menyelesaikan masalah
  • bagai lebah menghimpun madu = sangat rajin
  • bagai murai tercabut ekor = perempuan yang suka bercakap banyak
  • di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung = hendaklah kita menurut adat dan aturan di tempat yang kita tinggal