Category: ISU BAHASA


Keputusan pemansuhan PPSMI telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri selepas mengambil kira semua aspek. Semua pihak perlu menghormatinya dan usah lagi cuba menimbulkan polemik-polemik yang telah sekian lama bermaharajalela.

Sekarang ialah masa untuk bekerja, berusaha, bertindak, mengambil bahagian dan peranan dalam menjayakan dasar baru kerajaan ini. Usah menurut perasaan ego dan tidak mahu mengalah…

SEBENARNYA pemansuhan PPSMI bukannya bermakna kita menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, sebaliknya kita semakin sedar bahawa kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita sebenarnya wajar ditangani dengan betul.  Subjek Sains dan Matematik tidak harus menjadi kambing hitam dalam hal ini.

  • Analisis permasalahan:-
  1. Kegagalan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris walaupun berbelas-belas tahun mempelajarinya berpunca daripada kelemahan proses pengajaran & pembelajarannya di dalam kelas;
  2. Masalah kekurangan guru yang berkemahiran dan berpengalaman juga menjadi sebab utama;
  3. Sukatan pelajaran bahasa Inggeris di sekolah sepatutnya lebih mengutamakan kemahiran berkomunikasi bukannya tatabahasa semata-mata;
  4. JUmlah masa pembelajaran Bahasa Inggeris seminggu perlu ditambah;
  5. Sistem latihan guru Bahasa Inggeris di institut perguruan dan di universiti perlu digubal semula;
  6. Penghantaran guru-guru berkemahiran dan berpengalaman ke desa dan pedalaman hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh;
  7. Guru Bahasa Inggeris yang selama ini telah diberikan elaun khas perlu ditagih tenaga supaya lebih komited terhadap tugas membantu pelajar;
  8. Pihak berwajib perlu menambah prasarana seperti mengadakan makmal bahasa Inggeris di setiap sekolah;
  9. Komputer laptop PPSMI yang kosnya beratus-ratus ribu itu boleh dimanfaatkan dalam pengajaran & pembelajaran bahasa Inggeris;
  10. Adakan kursus-kursus bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bahasa Inggeris.

KESIMPULANNYA, lakukanlah apa-apa saja usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kerana semua orang tahu, bahasa Inggeris itu amat penting. CUMA jangan kerana bahasa Inggeris subjek lain seperti Bahasa Melayu, Sains dan Matematik pula yang menjadi mangsa.

‘Kalau demam, makanlah ubat demam, jangan pula makan ubat sakit telinga’.

Advertisements

Daulat bahasa Melayu…

Tanggal 8 Julai 2009 merupakan tarikh pemulihan maruah buat bahasa Melayu yang dicintai. Semoga tidak lagi dicabul oleh tangan-tangan yang buta sejarah dan hilang pedoman.

8 Julai 2009, ….. Selamat tinggal PPSMI

Tarikh keramat buat bahasa kita,

Setelah lama diinjak pendusta,

Setelah lama dilontar ke muara duka,

Setelah lama diganyang tangan hitam yang tak tahu apa-apa,

……………. Kini, bahasa kita kembali bersila di persada bangsa,

Menjadi tatangan manusia yang ikhlas lagi wibawa,

Menjadi wahana bicara perdana,

Menjadi wacana menjana maruah kita,

Bahasa kita, … sepatutnya ditatang, dipelihara.

Penulis.

Bersyukur kepada Allah

Bersyukur kepada Allah

Penulis memetik pendapat Prof melalui Berita Harian 28 Jun 2009:

  • Pendekatan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sedia ada sudah lapuk, perlu digantikan dengan kaedah terkini
  1. Masa pengajaran bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut perlu ditambahkan menjadi 3 – 4 jam seminggu;
  2. Penguasaan bahasa Melayu penting untuk tujuan perpaduan;
  3. Penguasaan bahasa Inggeris pula berperanan untuk menambah ilmu dan menembusi dunia global;
  4. Bahasa Melayu merupakan alat yang terbaik bagi mendalami ilmu pengetahuan bermula sekolah rendah hingga ke universiti;
  5. Beribu-ribu orang pelajar kita berjaya dalam semua bidang sains dan teknologi sebelum kita memperkenalkan PPSMI.

Penulis memang sependapat dengan orang bijak pandai ……

Sedang penulis asyik membaca akhbar Berita Harian: Khamis 18 Jun 2009, (m.s. 8) penulis terpanggil untuk menegur kealpaan dan sikap ambil mudah sesetengah wartawan dalam menulis berita di akhbar-akhbar. Hal ini demikian sebenarnya boleh menimbulkan suasana yang kalut terutamanya kepada para pelajar yang rata-rata menjadikan media massa sebagai rujukan sampingan.

Cuba lihat dengan teliti ejaan kata ‘jawatan kuasa’ yang menjadi tajuk besar berita itu, adakah telah dieja dengan betul? Bukankah ‘jawatan kuasa’ SEPATUTNYA dieja rapat menjadi ‘jawatankuasa’?

Penulis ingin memohon jasa baik orang-orang surat khabar agar lebih berhati-hati ketika menulis sesuatu berita. Salah satu cara kita mendaulatkan bahasa Melayu kita adalah dengan menggunakannya dengan BETUL.

Pening penulis …….

Sekadar memetik kata-kata bekas PM kita yang terkandung dalam Utusan Malaysia, muka surat 7, 9 Jun:-

  • “Saya bimbang jika mereka menolaknya (cadangan tersebut), negara ini akan hancur.”
  • Saya kecewa sekiranya kerajaan memutuskan untuk menggunakan semula bahasa Malaysia. (Isu PPSMI)
  • “Jika itulah jadinya, pada masa depan semua orang Melayu dan rakyat Malaysia akan jadi bodoh.”

Fikir, fikirkanlah ……

Hari ini penulis ada terbaca satu berita yang sungguh mengejutkan! TPM dan juga Menteri Pelajaran meminta rakyat memberikan pandangan tentang subjek Bahasa Inggeris yang hendak dijadikan subjek wajib untuk SPM.

Walaupun berupa cadangan, tapi sebenar-benarnya cadangan sebegini sekali lagi akan, sedang dan telah mencabar kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu yang sudah sekian lama dicabar-cabar….

IRONINYA:-

  • Jika bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus SPM, kedudukan bahasa Melayu yang sekian lama menjadi subjek wajib sudah disamatarafkan;
  1. Kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan akan turun pangkat!
  2. Lebih 30% pelajar Melayu yang gagal bahasa Inggeris akan gagal SPM, walaupun mereka cemerlang subjek lain;
  3. Gagal SPM akan turut menjejaskan peluang pekerjaan dan skim gaji yang semakin rendah;
  4. Pelajar yang gagal ini hanya berpeluang bekerja dengan sijil PMR sahaja (kumpulan D sahaja);

RINGKASNYA, penulis berharap semua anggota masyarakat berfikir secara matang tanpa dipengaruhi faktor politik, ekonomi atau sebagainya.

Bahasa Inggeris tidak dinafikan kepentingannya, tapi janganlah kerana memperjuangkan bahasa Inggeris, kedaulatan bahasa kita sanggup dicabul.

Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris oleh pelajar kita sebenarnya ada ramuan yang sangat mudah. Pertingkatkan kemahiran guru yang mengajar dan ubah silibusnya, jangan terlalu berorientasikan peperiksaan…. utamakan aspek komunikasi, tambah jumlah guru Bahasa Inggeris …. bereslah!

Seorang pendeta dan ahli sejarah berbangsa Belanda, Francois Valentyn ketika tiba di Melaka akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18 telah menulis dalam bukunya yang bertajuk Oud en Nieuw Oostindien II Del V tentang bahasa Melayu. Katanya;

Bahasa mereka, iaitu Bahasa Melayu … bukan sahaja digunakan di pantai-pantai Tanah Melayu bahkan di seluruh India dan di negeri-negeri sebelah timur. Barang di mana-mana pun bahasa ini difahami oleh tiap-tiap orang. Bahasa ini adalah sebagai bahasa Perancis atau Latin di Eropah ataupun macam bahasa perantaraan di negeri Itali atau di Levent. Oleh sebab banyaknya bahasa ini digunakan maka seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu akan dapat difahami orang baik pun dalam negeri Parsi ataupun Filipina.”

  • Begitu tinggi dan hebatnya bahasa Melayu sedikit masa dulu;
  • Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca;
  • Bahasa Melayu yang setaraf dengan bahasa Perancis ataupun Latin;
  • Bahasa yang diguna pakai oleh bijak pandai;

TAPI KINI;-

  1. Bahasa Melayu ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’;
  2. Bahasa Melayu dianggap tidak layak menjadi bahasa ilmu;
  3. Bahasa Melayu bukan bahasa ekonomi;
  4. Bahasa Melayu terpinggir di majlis-majlis rasmi;
  5. Bahasa Melayu menjadi pilihan terakhir kepada pemimpin kita;
  6. Bahasa Melayu yang dituturi oleh khalayak kampung sahaja.

Aduhai, nasib….. nasib!


Berjuanglah untuk bahasa kita

Berjuanglah untuk bahasa kita

Bahasa Melayu di China?

Penulis amat teruja apabila melihat PM baru kita berucap dalam bahasa Melayu di Universiti China semasa lawatan beliau ke sana. Penulis juga bangga kerana bahasa Melayu diajar di universiti tersebut dan seramai 60 orang penuntut China sedang mempelajarinya.

Tapi sayang, di negara kita ‘orang besar’ lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Lihat sahaja di kaca tv…. majlis yang majoriti dihadiri orang kampung pun, masih nak berucap dalam bahasa penjajah!

Malang sungguh …….

Lagi ulasan PPSMI …

Penulis ada membaca satu artikel bertajuk ‘Rombak Subjek Sastera’; Berita Harian 28 Mei dan tertarik oleh pandangan dua orang tokoh akademik iaitu Dr. Awang Azman Awang Pawi serta Dr. Anwar Ridwan.

Mereka berdua memberikan pandangan tentang subjek Sastera yang semakin diketepikan. Semasa melemparkan beberapa permasalahan dan kaedah penyelesaian, Dr. Anwar sempat menyentuh tentang PPSMI. Beliau bimbang PPSMI akan menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir dalam arus perdana.

Ringkasnya, penulis amat bersetuju dengan pandangan beliau dan sama-sama bimbang kerana:-

  1. Peratus bahasa Melayu yang digunakan di sekolah semakin hari semakin mengecil;
  2. Jika di universiti, penggunaannya mungkin tak sampai 10%;
  3. Penulisan buku ilmiah Sains dalam bahasa Melayu semakin merosot;
  4. Kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan rakyat semakin rendah;
  5. Penulis-penulis Melayu akan semakin lesu;

Akhirnya:-

  • Bahasa Melayu akan layu di tanah airnya sendiri;
  • Bahasa Melayu dianggapkan sebagai bukan bahasa kemajuan/ilmu;
  • Kedaulatan bahasa Melayu musnah oleh pemiliknya bukannya penjajah;

Cara mengatasi:-

  1. Hapuskan atau kaji balik pelaksanaan PPSMI
  2. Atasi kelemahan bahasa Inggeris dengan cara yang betul bukannya melibatkan subjek lain
  3. Tukar kaedah pengajaran bahasa Inggeris yang terlalu menekankan ‘grammar’ sebaliknya lebih kepada komunikasi
  4. Kenapa pengajaran Bahasa Inggeris bermula dari sekolah rendah sehingga menengah atas pun, murid gagal berkomunikasi?
  5. Kenapakah kursus bahasa Inggeris yang disediakan di UITM untuk pelajar ke luar negara berjaya walaupun dalam jangka masa 3 bulan sahaja? 

Berita PPSMI terbaru …

Daripada apa yang penulis baca melalui akhbar harian bertarikh 27 Mei, keputusan tentang PPSMI akan diketahui lebih kurang dua minggu lagi. Melalui berita itu, rasanya ada berita baik buat pejuang bahasa! Ya… lah, ini hanya berdasarkan gaya pemimpin itu mengulas. Kita tunggulah nanti….