Category: KAMUS KATA


TAKSUN…?

  • takzir = hukuman yang dijatuhkan atas budi bicara hakim kerana tidak terdapat dalam al-Quran/Hadis.
  • takzim = amat hormat, penuh hormat dan sopan.
  • takziah = pernyataan turut bersedih, belasungkawa.
  • takwim = kalendar
  • takyin = penerangan , penjelasan.
  • taksun = tak sesuai (Kelantan)
  • taksir = kira
  • tafsir = terjemahan
  • tabib = ahli dalam ilmu perubatan dan ubat-ubatan.
  • tabik = beri hormat.
  • tabuh = gendang, beduk.

 

Advertisement

USAI…?

Baru-baru ini ketika cikgu sedang menanda kertas karangan Bahasa Melayu, cikgu ditemukan dengan sepatah perkataan yang sebelum ini jarang-jarang diguna pakai. Bunyinya pelik ‘usai’, cikgu ingat mungkin kata dialek ataupun bahasa slanga anak-anak muda hari ini. Contoh kegunaan biasa dalam penulisan mereka ialah:-

  • Usai sahaja majlis itu…..
  • Seusai makan malam, kami pun turun ke anjung rumah, ……..

Pada mulanya, yang terlintas dalam fikiran cikgu ialah, tandakan ….. untuk menunjukkan kesalahan ejaan ataupun kesalahan bahasa iaitu penggunaan sebutan dialek. Disebabkan terlalu ramai pelajar yang menggunakan perkataan tersebut, membuatkan cikgu tertanya-tanya, akhirnya Kamus Dewan Edisi Keempat jadi bahan rujukan.

Pada muka surat 1782, cikgu menemukan perkataan ‘usai’ yang mempunyai pelbagai maksud, antaranya:-

  • usai 1 bermaksud sudah selesai…(perayaan)
  • usai 2 bermaksud tidak tersusun rapi, contoh rambut –
  • usai 3 bermaksud sudah selesai dikerjakan, beres…
  • usai 4 bermaksud sudah lampau, lama, sudah berlalu….
  • mengusai 1 membawa maksud bersurai, menjadi usai…
  • mengusaikan membawa maksud menjadi bercerai, membongkar atau menguraikan (rambut)

Jadi selepas merujuk kamus, cikgu mula yakin bahawa ‘usai’ sebenarnya tercatat sebagai salah satu kata yang terkandung di dalam khazanah kosa kata kita.

Assalamualaikum dan selamat berpuasa,

Kelmarin cikgu ada menerima beberapa soalan daripada pengunjung dan tumpuan soalannya berkisar tentang istilah sastera seperti ‘sinis’, ‘melankolik’, ‘patriotik’, ‘metafora’ dan banyak lagi. Pada kesempatan kali ini cikgu akan cuba menjelaskan istilah-istilah seperti di atas secara ringkas. Untuk mendapatkan penerangan lanjut, anda kenalah membuat rujukan dengan meneliti buku kamus sastera.

  • Sinis ialah bentuk sajak yang mengetengahkan sindiran-sindiran secara halus bertujuan menimbulkan keinsafan, kesedaran kepada yang berkenaan.
  • Melankolik juga bentuk sajak. Sajak yang mengetengahkan gaya penyampaian yang bernada lembut, romantis dan mendayu-dayu. Biasanya untuk menggambarkan perasaan sedih, harapan, kasih sayang dan sebagainya.
  • Patriotik pula merupakan bentuk sajak yang mengetengahkan unsur semangat cinta akan tanah air, penentangan terhadap penjajah dan seumpamanya. Sajak ini disampaikan secara penuh bersemangat.
  • Metafora pula ialah gaya bahasa perbandingan. Perbandingan yang dimaksudkan ialah perbandingan yang tiada kaitan antara perkataan pertama dengan perkataan kedua. Biasanya ‘metafora’ terdiri daripada dua patah kata sahaja; contohnya-
  1. sungai derhaka
  2. kota duka
  3. mahligai rindu
  4. lautan darah

– perkataan sungai dengan derhaka tiada kaitan; biasanya kita gunakan kata sungai dengan kata kotor, sungai cetek, sungai sempit dan lain-lain.

Istilah Sastera…?

  • adegan = bahagian daripada babak / lakonan
  • aksi = perlakuan
  • aliterasi = pengulangan konsonan dalam baris yang sama
  • anafora = pengulangan kata depan dalam pantun, sajak, syair …
  • antagonis = watak jahat
  • antologi = kumpulan karya prosa dan puisi yang dibukukan
  • asonansi = pengulangan vokal dalam baris yang sama
  • babak = bahagian dalam drama
  • bait = bahagian dalam sajak
  • balada = lagu atau puisi yang mengisahkan cerita romantis/sentimental
  • cereka = cerita rekaan
  • cerpen = cerita pendek
  • dialog = percakapan watak dalam drama
  • diksi = pemilihan / penggunaan kata oleh penulis
  • elegi = puisi bernada sedih
  • epifora = pengulangan kata akhir dalam baris yang berlainan
  • epik = prosa/puisi tentang kepahlawanan
  • genre = jenis karya satera
  • hiperbola = perbandingan yang melampau
  • humor = unsur lucu
  • imbas kembali = kisah yang digambarkan melalui penceritaan semula
  • imbas muka = ramalan/jangkaan sesuatu kejadian yang akan berlaku
  • intonasi = turun naik nada suara
  • inversi = keterbalikan kata dalam ayat
  • klimaks = bahagian drama/novel/cerpen yang mencemaskan
  • konflik = pertentangan antara individu (idea/kekuatan)
  • latar = penyataan tentang tempat, masa dan masyarakat dalam karya
  • mesej = pemikiran/idea yang disampaikan oleh penulis
  • metafora = perbandingan yang tiada kaitan
  • nada = bunyi suara dalam mengungkapkan hasil karya
  • peleraian = penyelesaian sebuah cerita/drama
  • persoalan = perkara yang mahu ditonjolkan oleh penulis
  • personafikasi = benda/binatang yang diberikan sifat manusia
  • plot = urutan/jalinan cerita
  • prosa = karya yang menggunakan bahasa biasa
  • protagonis = watak hero/baik dalam sesuatu cerita
  • puisi = karya seperti sajak, syair, pantun…
  • simile = kiasan yang menggunakan kata seperti, bagai, umpama …
  • sinkof = kependekan kata
  • sinopsis = ringkasan cerita
  • tema = idea utama yang menjadi pokok sesuatu cerita
  • watak = pelakon
  • watak hitam = watak jahat
  • watak putih = watak baik
  • watak sampingan = watak pembantu
  • watak utama = hero 

Budaya…?

Menurut Deal dan Peterson (1999), budaya ialah satu entiti keseluruhan yang kompleks dan dirangkumi dengan aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta kebiasaan yang diwarisi dan dipraktis oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

Menurut Ma’rof Redzuan dan rakan-rakan (2001), menghuraikan budaya sebagai fabrik masyarakat yang mengikat ahli-ahli masyarakat dan institusinya melalui satu set matlamat dan nilai yang disediakan oleh budaya masyarakat itu sendiri atau lebih dikenali sebagai “concensual dan holistic”.

Menurut Garratt (1990), budaya ialah cara kita membuat sesuatu perkara dalam persekitaran yang sedia ada.

Basi…?

Pilih pasangan ayat yang betul.

17.

  • I    Dia menghabiskan makanan itu tanpa meninggalkan basi.
  • II   Pelajar-pelajar itu keracunan makanan kerana termakan nasi basi.
  • III  Berita tentang perkahwinan Siti dengan Datuk K sudah basi.
  • IV  Doa orang yang tidak beriman biasanya basi.

A  I dan II          B  III dan IV         C  I, II dan IV          D  II, III dan IV

(Soalan Penggal I SMS Tengku Muhammad Faris Petra)

JAWAPAN:

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 muka surat 133, kata basi membawa maksud:

  1. sudah busuk dan tidak boleh dimakan lagi (makanan)
  2. tidak baharu / sudah lama (berita / khabar)
  3. tidak mustajab / tidak mujarab
  4. lebihan (baki) khusus untuk wang

Berdasarkan soalan 17 di atas, ayat I, SALAH kerana kata basi sepatutnya digantikan dengan baki. Walaupun maksud basi yang ke-4 ialah lebihan, namun hanya khusus untuk wang sahaja. Sementara ayat II – IV, penggunaan kata basi dalam ayat tersebut adalah BETUL berdasarkan makna dan penggunaannya.

JAWAPAN yang paling sesuai untuk soalan 17 di atas ialah  D iaitu II, III dan IV

Metafora / hiperbola…?

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, metafora bermaksud pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan.

Mengikut istilah sastera pula, metafora merupakan gaya bahasa perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna sebenar kata atau frasa tersebut. Gaya bahasa perbandingan lain adalah seperti hiperbola.

Kebiasaannya metafora terdiri daripada 2 patah kata seperti:-

  • lembah duka
  • lautan api
  • kota kesengsaraan
  • cahaya kepintaran
  • tunas harapan
  • padang hidup
  • madu susah
  • cuka kesangsian
  • piala remajamu

Manakala hiperbola pula merupakan gaya bahasa perbandingan yang membuat perbandingan yang melampau atau berlebih-lebihan bagi menggambarkan sesuatu keadaan, contohnya:-

  • tajam pisau membelah bulan
  • semut menari bergoncang bumi
  • sekali gus menggelapkan lagi warna merah di jiwa Mikraj
  • dia tidak pernah menghampakan harapan orang
  • sawah habis kering
  • terlalu elok parasnya gilang-gemilang cahayanya kilau-kilauan
  • tubuhku tercalar duri pidana

muka

  • Muka Ali kelihatan semakin merah apabila ditegur oleh gurunya.

terkemuka

  • Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton yang terkemuka.

bersemuka

  • Kita digalakkan bersemuka dengan  guru untuk menyelesaikan masalah dalam pelajaran.

permukaan

  • Permukaan meja itu kotor selepas diadakan majlis jamuan sempena menyambut hari jadi Ali.

mengemukakan

  • Para pelajar digalakkan rajin mengemukakan masalah pembelajaran kepada guru mata pelajaran.

bermuka-muka

  • Sifat suka bermuka-muka amat ditegah oleh agama Islam.

Inovasi / Inovatif…?

inovasi = sesuatu yang baru diperkenalkan

inovatif = bersifat inovasi

inkues = siasatan rasmi mengenai punca sebenar kematian seseorang

insentif = sesuatu benda atau hadiah sebagai galakan dan dorongan

inspirasi = ilham

insomnia = keadaan atau penyakit sukar tidur

integrasi = penggabungan dua atau lebih unsur atau benda, kaum ..

integriti = kejujuran, keadaan yang sempurna

intensif = giat dan sungguh-sungguh

interim = bersifat sementara

intim = sangat mesra

intiha = akhir, penutup

incut = tempang

 

kerawang = (ukiran, tenunan, sulaman) yang berlubang-lubang

kerawat = tali daripada kulit atau akar, kawat berduri

kerawit = sejenis cacing halus yang terdapat di dalam perut.

keraton = istana raja (bahasa Jawa)

kerawak = tupai besar