Category: MUNSYI BAHASA


PEMANTAPAN TATABAHASA 1…!

PEMANTAPAN TATABAHASA

PMR 2013

TUGASAN:

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian perbetulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam ayat tersebut.

 KATA SENDI/KATA HUBUNG

 Diharapkan mereka mendapat pengajaran dari peristiwa yang berlaku itu.

  1. Anggota pasukan keselamatan berusaha bersungguh-sungguh demi untuk mencapai objektif operasi.
  2. Selain daripada mengulang kaji pelajaran, pelajar juga seharusnya membantu keluarga di masa cuti persekolahan.
  3. Perlawanan bola sepak di antara Malaysia dengan Singapura terpaksa ditangguhkan oleh kerana hujan lebat.
  4. Remaja dewasa ini mudah terpengaruh dengan budaya kuning yang boleh merosakkan jati diri mereka.
  5. Ibu bapa pelajar yang berjaya di dalam peperiksaan PMR 2013 mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan guru-guru.
  6. Guru subjek Bahasa Melayu begitu mengambil berat terhadap kelemahan pelajar dalam bidang tatabahasa.
  7. Dari membuang masa melakukan kerja-kerja tidak berfaedah, baik aku membaca buku.
  8. Perdebatan hangat telah berlaku di antara ahli-ahli jawatankuasa di dalam mesyuarat itu.
  9. Walaubagaimanapun dia tetap terpilih sebagai Ketua Pelajar sekolah itu.
  10. Pelajar perlu cepat sedar akan kelemahan diri agar supaya mereka berjaya di dalam mengejar cita-cita.
  11. Jangankan ibu, ayahpun gagal mengangkat meja yang berat itu.
  12. Dia tidak hadir ke sekolah sebab masalah kesihatan.
  13. Kamu mesti membantu keluarga bila kamu besar nanti.
  14. Sementara dengan menunggu majlis bermula, para undangan dipersembahkan dengan pertunjukan silap mata.
  15. Jika sekiranya beliau tidak hadir, majlis itu terpaksa ditangguhkan dahulu.
  16. Baik guru mahu pun pengetua, semuanya ditegah dari memasuki bilik persiapan itu.
  17. Mereka menjelaskan yang aktiviti itu akan dilaksanakan dengan seberapa segera.
  18. Sambil dengan menjahit pukat, nelayan itu juga membetulkan ikatan pada alat tangkapan itu.
  19. Emak mencuci beras sambil menanak nasi.
  20. Ayah sedang berbincang mengenai tarikh balik kampung sempena cuti sekolah nanti.
  21. Kerana ketinggalan bas saya terpaksa pergi sekolah dengan basikal.
  22. Buku Koleksi soalan BM ada dengan kawan baik saya.
  23. Sejak dari zaman remaja lagi, orang itu terlibat di dalam kes penyalahgunaan dadah.
  24. Antara faktor-faktor menularnya kes ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya, kurang kesedaran dan kurang perhatian dari ibu bapa.
Advertisement

Memperkasakan / memperkasa…?

Penggunaan imbuhan awalan berangkap memper- dan diper- pada kata adjektif mungkin sudah difahami pelajar. Ramai pelajar sudah maklum bahawa tiada lagi imbuhan akhiran bagi kata adjektif yang telah menerima imbuhan awalan berangkap, contohnya di bawah:-

  • memper + indah > memperindah BUKANNYA memperindahkan / memperindahi
  • memper + lebar > memperlebar BUKANNYA memperlebarkan / memperlebari
  • memper + hebat > memperhebat BUKANNYA memperhebatkan / memperhebati
  • diper + luas > diperluas BUKANNYA diperluaskan / diperluasi
  • diper + dalam > diperdalam BUKANNYA diperdalamkan / diperdalami
  • diper + kuat > diperkuat BUKANNYA diperkuatkan / diperkuati

Bagaimanakah pula dengan keadaan perkataan di bawah:-

  • memperjuangkan > betul / salah ?
  • memperkatakan > betul / salah ?
  • mempersenjatai > betul / salah ?
  • diperhebahkan > betul / salah ?
  • diperbualkan > betul / salah ?
  • dipersoalkan > betul / salah ?

Bagi contoh perkataan di atas penggunaan imbuhan awalan berangkap berserta imbuhan akhiran DIBENARKAN / BETUL. Hal ini kerana imbuhan awalan berangkap tersebut bukannya digunakan pada kata adjektif. Kata di bawah terdiri daripada golongan:-

  • juang > kata kerja
  • kata > kata kerja
  • senjata > kata nama 
  • hebah > kata kerja
  • bual > kata kerja
  • soal > kata kerja

Bagi menjawab soalan sama ada memperkasakan / memperkasa yang betul, kita hendaklah menganalisis kata memperkasakan / memperkasa secara teliti.

  • memperkasakan ( imbuhan awalan mem + perkasa + akhiran kan )
  • memperkasa ( imbuhan awalan mem + perkasa )
  • perkasa ( kata adjektif yang bermaksud kuat, hebat )

> memperkasakan – dari segi tatabahasanya BETUL kerana kata adjektif  berkenaan ‘perkasa’ tidak menggunakan imbuhan awalan berangkap, kerana ‘per’ bagi kata ‘perkasa’ itu bukannya imbuhan awalan per-, sebaliknya kata dasarnya ialah perkasa. JADI tidak timbul perkara seperti yang saya perkatakan di atas; iaitu semua kata adjektif yang menerima awalan berangkap memper- dan diper- tidak perlu diikuti dengan akhiran -kan ataupun -i. 

RINGKASNYA:-

  • memperkasakan √
  • memperkasa  X

ASAP-ASAP…?

Tidak semua perkataan boleh digandakan bagi menyatakan maksud banyak atau lebih daripada satu. Bagi perkataan-perkataan (kata nama) yang sudah menunjukkan jumlah yang banyak atau tidak dapat dikira jumlahnya, tidak wajar menerima bentuk gandaan. Sila lihat contoh kesalahan kata nama yang digandakan di bawah:-
  •  air-air
  • wang-wang
  • serbuk-serbuk > serbuk-serbuk tepung
  • lumpur-lumpur
  • api-api
  • asap-asap
  • gas-gas
  • udara-udara
  • angin-angin
  • hujan-hujan
  • padi-padi
  • beras-beras
  • awan-awan

Contoh kesalahan penggunaan kata ganda dalam ayat:-

  • Pihak urus setia telah menyediakan air-air minuman untuk para peserta larian 1Malaysia.
  • Asap-asap kilang boleh mencemarkan alam sekitar.
  • Lumpur-lumpur yang terkena baju saya sukar untuk dibersihkan.
  • Wang-wang simpanan saya telah dicuri orang.

IMBUHAN ‘ter- dan MAKSUD PALING…?

Sesetengah pengguna bahasa terkeliru oleh penggunaan kata penguat dengan sesetengah kata yang berimbuhan ter- yang membawa maksud paling. Mereka tidak pasti sama ada kata tersebut memang berimbuhan ter- atau sebaliknya. Silat lihat contoh di bawah:-

  • terbesar = paling besar > sangat terbesar   X
  • tercantik = paling cantik > amat tercantik  X
  • tertinggi = paling tinggi > paling tertinggi  X
  • termoden = paling moden > begitu termoden  X
  • terputih = paling putih > sungguh terputih  X

Namun begitu, tidak semua imbuhan ter- membawa maksud paling. Contohnya apabila imbuhan ter- digunakan pada kata kerja. Jika imbuhan ter- ini tidak membawa maksud paling, maka penggunaan kata penguat tidak menjadi kesalahan. Lihat contoh-contoh di bawah:-

  • terkenal = tidak membawa maksud paling ‘kenal’  > sangat terkenal /
  • tertarik = tidak membawa maksud paling ‘tarik’  > amat tertarik  /
  • tergoda = tidak membawa maksud paling ‘goda’  > sungguh tergoda  /
  • terpesona = tidak membawa maksud paling ‘pesona’  > agak terpesona  /

Kesimpulannya, hanya imbuhan ter- yang digunakan pada kata adjektif sahaja yang membawa maksud paling. Imbuhan ter- sedemikian tidak lagi boleh digunakan bersama dengan kata penguat yang juga membawa maksud paling.

Contoh ayat:-

  1. Tokoh pendidikan yang amat terkenal itu telah meninggal dunia. BETUL
  2. Para pelancong begitu tertarik oleh keindahan alam semula jadi. BETUL
  3. Dia sangat terpesona oleh kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. BETUL

SONGSANG…!

Ayat songsang ialah ayat yang dimulakan dengan predikat,kemudian diikuti dengan subjek.

  • AYAT SONGSANG = PREDIKAT + SUBJEK
  • CONTOH:-
  1. Kerana lapar + adik menangis.
  2. Yang berkereta besar itu + kakak saya.
  3. Kerjanya doktor +anak saya.
  4. Siapa + nama awak?
  • AYAT BIASA = SUBJEK + PREDIKAT
  • CONTOH:-
  1. Adik menangis + kerana lapar.
  2. Kakak saya + yang berkereta besar itu.
  3. Anak saya + kerjanya doktor.
  4. Nama awak + siapa?

Penjodoh bilangan mestilah digunakan bersama-sama kata bilangan tentu, kata bilangan himpunan dan juga sesetengah kata bilangan tak tentu.

  • Kata Bilangan Tentu [ satu, lima, dua puluh, seribu … ]
  • Kata Bilangan Himpunan [ kedua-dua, beratus-ratus, bertahun-tahun, ribuan, …. ]
  • Kata Bilangan Tak Tentu [ beberapa, semua, para, sesetengah…. ]

Penjodoh Bilangan digunakan bersama-sama Kata Bilangan Tentu

  1. Lima buah kereta musnah terbakar dalam kebakaran itu.  √
  2. Dua puluh ekor ayam telah disembelih pada pagi tadi.  √
  3. Dua pendapat sahaja yang telah diterima oleh pihak urus setia.  √
  • Ayat ke-3 tiada penjodoh bilangan kerana ‘pendapat’ bukan objek / benda konkrit.

Penjodoh Bilangan digunakan bersama-sama Kata Bilangan Himpunan

  1. Kedua-dua orang anak saya menuntut di universiti.  √
  2. Beratus-ratus biji bola dibeli oleh cikgu PJ itu.  √
  3. Pihak tuan rumah telah menerima kunjungan daripada pelawat warga asing.  √
  • Ayat ke-3 tiada penjodoh bilangan kerana ‘kunjungan’ bukan objek / benda konkrit.

Kesalahan kata adjektif….?

Perhatikan ayat-ayat yang menggunakan kata adjektif di bawah. Analisiskan penggunaan kata adjektif tersebut dan jika terdapat kesalahan, silalah betulkan.

  1. Barang-barang yang dijual di kedai itu mahal-mahal harganya. 
  2. Sungai yang terpanjang sekali di dunia ialah Sungai Nil.
  3. Keadaan mangsa kemalangan jalan raya itu amat teruk sekali.
  4. Kita mestilah memiliki semangat cintakan negara yang tidak berbelah bagi.
  5. Pasukan kastam akan memperhebatkan operasi mencegah kemasukan barang-barang terlarang ke negara kita.
  6. Penyanyi itu paling banyak sekali mendapat undian daripada penonton.
  7. Kita akan mendapat sebesar besar pahala daripada Allah jika kita berbuat baik kepada ibu bapa.
  8. Begitu berat sekali untuk aku hadapi dugaan ini.

Serba…?

Serba-serbi adat dan budaya…

Perkataan ‘serba’ membawa maksud semuanya atau seluruhnya ataupun segala-galanya. Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperti berikut:-

  • Pelajar berpakaian serba putih.
  • Serba jenis makanan terhidang di meja itu.

Sedikit kekeliruan berlaku apabila sesetengah pengguna bahasa kurang pasti sama ada kata ‘serba’ berkenaan perlu dieja rapat atau berasingan dengan perkataan lain, misalnya serba serbi, serbaneka dan lain-lain. 

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, kata ‘serba’ hendaklah dieja berasingan dengan perkataan lain kecuali kata serba-serbi (kata ganda) dan serbaneka yang telah digugurkan fonem ‘a’.

  • serba biru
  • serba tahu
  • serba salah
  • serba sedikit
  • serba guna
  • serba satu

HANYA DUA ‘serba’ yang dieja bercantum atau rapat, iaitu:-

  • serbaneka > asalnya serba aneka > tetapi fonem ‘a’ dalam kata aneka telah digugurkan.
  • serba-serbi > kata ganda berirama

Memberitahu tentang….?

Cuba analisis ayat-ayat di bawah. Kenapakah yang satu betul, dan yang satu lagi salah?

  • Dia memberitahunya tentang perkara itu.   √
  • Dia memberitahu tentang perkara itu kepadanya.   X

JAWAPANNYA:

  • ‘memberitahu’ ialah kata kerja transitif (KKT) dan selepas kata kerja (KKT) mestilah diikuti dengan objek ataupun benda.
  • Dalam ayat pertama KKT ‘memberitahu’ diikuti oleh objek /benda iaitu ‘nya’ (ganti nama diri ketiga ‘orang’)
  • Manakala ayat kedua SALAH atau TIDAK GRAMATIS kerana KKT ‘memberitahu’ diikuti oleh kata sendi iaitu ‘tentang’.
  • RUMUS: KKT —————–> OBJEK

Imbuhan apitan luas penggunaannya dalam bahasa Melayu kita. Cuma penggunaannya hendaklah diawasi agar tidak menimbulkan kesalahan pula. Imbuhan apitan seperti di atas boleh digunakan kepada semua jenis kata KECUALI ‘kata adjektif (KA).

memper  + KA + i  >  X

  • memper + cantik + i   > mempercantikki   X
  • memper + indah + i   > memperindahi   X
  • memper + lebar + i   > memperlebari   X
  • memper + luas + i   > memperluasi   X

memper + KA + kan  >   X

  • memper + kemas + kan   >  memperkemaskan   X
  • memper + dalam + kan   > memperdalamkan   X
  • memper + betul + kan   > memperbetulkan   X
  • memper + giat + kan   > mempergiatkan   X

diper + KA + i   >  X

  • diper + hebat + i   > diperhebati   X
  • diper + baharui + i   > diperbaharui   X
  • diper + banyak + i   > diperbanyakki   X
  • diper + besar + i   > diperbesari   X

diper + KA + kan   >   X

  • diper + kuat + kan   > diperkuatkan   X
  • diper + lemah + kan   > diperlemahkan   X
  • diper + laju + kan   > diperlajukan   X
  • diper + lambat + kan   > diperlambatkan   X

PEMBETULANNYA:-

  • mempercantik
  • memperindah
  • memperlebar
  • memperluas
  • memperkemas
  • memperdalam
  • memperbetul
  • mempergiat
  • diperhebat
  • diperbaharu
  • diperbanyak
  • diperbesar
  • diperkuat
  • diperlemah
  • diperlaju
  • diperlambat