Category: MUNSYI BAHASA


Lagi Hukum DM…?

KESALAHAN > PEMBETULAN

  • lain-lain perkara  >  perkara-perkara lain
  • contoh karangan  >  karangan contoh
  • goreng pisang  >  pisang goreng
  • ayam kari  >  kari ayam
  • percik ayam  >  ayam percik
  • Ali Hassan Restoran  > Restoran Ali Hassan
  • tiga segi  >  segi tiga

 

Pelajar-pelajar gemar menggunakan perkataan yang belum pasti makna dan penggunaan semasa menulis karangan sehingga menimbulkan kesalahan yang tidak sepatutnya. Pelajar berkenaan beranggapan dengan menggunakan perkataan tersebut, akan mendapat markah yang lebih tinggi. TAPI ingat, jangan jadi seperti peribahasa, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Contohnya penggunaan kata ‘marcapada’ yang kononnya sama fungsi dengan mutakhir ini, pada masa ini, kini dan lain-lain.

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, kata ‘marcapada’ merupakan kata klasik ‘sastera lama’ yang membawa maksud ‘dunia sekarang ini’. 

JADI kata marcapada agak tidak sesuai untuk menggantikan kata mutakhir ini, pada masa ini, kini, kebelakangan ini, belakangan ini, sejak akhir-akhir ini dan lain-lain. Cuba lihat perbandingan di bawah:-

  • Marcapada ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  X
  • [ Dunia sekarang ini ] ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah. X ( Pelik bunyinya)
  • Mutakhir ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Belakangan ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Kebelakangan ini, remaja banyak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  √
  • Marcapada lebih banyak menghadapi masalah pencemaran.  √
  • [ Dunia sekarang ini ] lebih banyak menghadapi masalah pencemaran.  √

Penggunaan kata ribuan dan jutaan terima kasih sering kita temukan ketika mendengar ucapan atau syarahan dan juga ketika kita membaca petikan surat kiriman. Yang manakah yang betul? Ribuan terima kasih atau jutaan terima kasih? Adakah penggunaan kata ribuan dan jutaan pada perkataan terima kasih betul atau gramatis? Adakah terima kasih yang ucapkan atau dilafazkan itu boleh dikira ataupun sudah membawa maksud jamak atau banyak?

SEBENARNYA, ketika kita menggunakan bahasa Melayu sama ada ketika menulis atau berkomunikasi, kita kerap juga menggunakan perkataan yang kreatif, bombastik dan berbunga-bunga. Inilah namanya keindahan bahasa.

JADI penggunaan sama ada ribuan atau jutaan terima kasih adalah gramatis ataupun BETUL dan boleh digunakan seperti biasa.

Membawa kepada…?

  • Kejadian pada petang kelmarin itu membawa kepada penemuan bukti-bukti penting kes itu.
  • Sepatutnya kita menjauhi perkara yang membawa kepada kemaksiatan.

Kedua-dua baris ayat di atas menggunakan frasa ‘membawa kepada’ yang menjadikan ayat tersebut TIDAK gramatis.

Kata ‘membawa’ ialah kata kerja transitif(KKT) yang wajib diikuti objek(kata nama), sedangkan kata selepas ‘membawa’ dalam ayat-ayat tersebut diikuti kata ‘kepada’ iaitu sejenis kata sendi.

RUMUS = KKT → OBJEK (KN)

SEPATUTNYA:-

  • Kejadian pada petang kelmarin itu membawa(KKT)  penemuan(KN)bukti-bukti penting kes itu.
  • Sepatutnya kita menjauhi perkara yang membawa(KKT) kemaksiatan(KN).

Kering-kontang…?

Hari ini cikgu mahu mengutarakan satu lagi kes yang masih memeningkan kepala sesetengah pelajar mahupun guru sendiri. Kes yang mahu cikgu utarakan ialah ejaan bagi frasa kering-kontang, adakah dieja dengan bersertakan tanda sempang ataupun tidak. Begini ceritanya….

MUDAH sahaja penyelesaiannya:

  • Kering-kontang BUKANNYA kata ganda kerana perkataan kedua iaitu ‘kontang’ mempunyai maksud tersendiri iaitu tiada air, sangat kering.
  • Jika BUKAN kata ganda, maka ejaan kering-kontang SEPATUTNYA ‘kering kontang’.
  • Hanya kata ganda sahaja yang boleh menggunakan tanda sempang, seperti:-
  1. kuih-muih > muih tiada makna
  2. lauk-pauk > pauk tiada makna
  3. gunung-ganang > ganang tiada makna

KESIMPULANNYA:-

  1. Kering-kontang  X
  2. Kering kontang  √

Basi…?

Pilih pasangan ayat yang betul.

17.

  • I    Dia menghabiskan makanan itu tanpa meninggalkan basi.
  • II   Pelajar-pelajar itu keracunan makanan kerana termakan nasi basi.
  • III  Berita tentang perkahwinan Siti dengan Datuk K sudah basi.
  • IV  Doa orang yang tidak beriman biasanya basi.

A  I dan II          B  III dan IV         C  I, II dan IV          D  II, III dan IV

(Soalan Penggal I SMS Tengku Muhammad Faris Petra)

JAWAPAN:

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 muka surat 133, kata basi membawa maksud:

  1. sudah busuk dan tidak boleh dimakan lagi (makanan)
  2. tidak baharu / sudah lama (berita / khabar)
  3. tidak mustajab / tidak mujarab
  4. lebihan (baki) khusus untuk wang

Berdasarkan soalan 17 di atas, ayat I, SALAH kerana kata basi sepatutnya digantikan dengan baki. Walaupun maksud basi yang ke-4 ialah lebihan, namun hanya khusus untuk wang sahaja. Sementara ayat II – IV, penggunaan kata basi dalam ayat tersebut adalah BETUL berdasarkan makna dan penggunaannya.

JAWAPAN yang paling sesuai untuk soalan 17 di atas ialah  D iaitu II, III dan IV

Mewujudkan / mengujudkan…?

Perkataan yang bermula dengan huruf depan ‘w’ apabila menerima imbuhan awalan meN-, huruf ‘w’ itu akan dikekalkan. Hal ini demikian akan melahirkan perkataan-perkataan seperti:-

  • wujud  > mewujudkan
  • wajar  > mewajarkan
  • wara-wara  > mewara-warakan
  • wali  > mewalikan
  • wajib  > mewajibkan

Soalan ditanya oleh seorang pelajar yang menggelarkan diri A’ieman, dari Johor ialah:-

  • Apakah penjodoh bilangan yang patut digunakan kepada golongan hantu seperti pontianak, toyol, hantu raya dan lain-lain ?

JAWAPAN:-

  • Penjodoh bilangan hanya digunakan untuk benda-benda yang konkrit, manakala bagi benda-benda yang abstrak seperti sayang, cita-cita, keputusan, hantu, toyol dan lain-lain tidak boleh digunakan penjodoh bilangan.

CONTOH:-

  • seekor ayam  √
  • sebuah perahu  √
  • dua batang kayu  √
  • sebuah pendapat  X
  • secangkir kasih  X
  • seekor pontianak  X
  • dua ekor toyol  X

Pada malam tadi, saya telah melihat pontianak di atas bumbung rumah.  √

Pagi tadi cikgu ada menerima SMS daripada Norhashimah, katanya dari Sarawak yang bertanyakan masalah penggunaan partikel ‘kah’ dalam ayat tanya.

JAWAPANNYA:-

  • Ayat tanya digunakan untuk menanyakan sama ada tempat, benda, cara, sebab dan sebagainya.
  • Ayat tanya biasanya menggunakan kata ganti tanya seperti:
  1. apa  > menanyakan benda atau binatang
  2. siapa  > menanyakan manusia
  3. mana  > menanyakan tempat
  4. berapa  > menanyakan jumlah
  5. mengapa  > menanyakan sebab
  6. bagaimana  > menanyakan cara

Kebiasaannya ayat tanya disertakan dengan partikel ‘kah’ untuk menjelaskan maksud dan penggunaan partikel ‘kah’ sebenarnya tidaklah WAJIB. Cuma jika disertakan ‘kah’, ayat tanya tersebut menjadi lebih sempurna.

CONTOH AYAT TANYA:-

  • Siapakah nama awak?   √
  • Siapa nama awak?  √
  • Siapa nama awakkah?  X

HARUS diingat partikel ‘kah’ TIDAK boleh diletakkan di akhir atau penghujung ayat.

Apabila kita meneliti penulisan ‘surat kiriman’, sering kita ketemukan perkataan ‘ke hadapan/ ke pangkuan ke ribaan’ dan macam-macam lagi. Dalam hal ini kadang-kadang juga kita ditemukan dengan pelbagai bentuk ejaan yang sebenarnya tidak tepat mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu. Contohnya penggunaan ejaan bagi kata ke hadapan atau kehadapan. Yang mana satu yang betul? Cuba kita baca analisis di bawah.

  • hadapan ialah kata nama tempat dan apabila kita menggunakan kata sendi nama maka kata sendi nama itu hendaklah dijarakkan, contohnya: ke tepi, ke tengah, ke hadapan, ke pasar, ke padang. JADI ke hadapanlah yang betul.
  • belakangan ialah kata nama yang menerangkan masa, bukannya tempat. Jadi ejaan ke belakangan sepatutnya diejakan kebelakangan.

Ringkasnya:-

  • kehadapan X
  • ke hadapan √
  • ke belakangan X
  • kebelakangan √
  • belakangan ini √