Category: ISU BAHASA


1. Perkembangan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu digunakan di Kepulauan Melayu kira-kira abad ke-7 dan dianggap satu daripada 200 bahasa yang dituturkan di kepulauan tersebut. Antara Kerajaan Melayu yang wujud pada masa itu ialah Kalingga, Kendiri, Singgahsari dan Majapahit.

Salah satu faktor meluasnya penggunaan bahasa Melayu disebabkan ciri-ciri keterbukaannya di samping keupayaan bahasa Melayu menerima pengaruh bahasa-bahasa lain.

1.1 Bahasa Melayu pada Zaman Kegemilangan Melaka

Bahasa Melayu berkembang pesat di Kepulauan Melayu pada abad ke-13 apabila Islam bertapak di sini. Faktor yang mempengaruhinya ialah:

  • Peranan pendakwah
  • Melaka sebagai pelabuhan yang terkenal
  • Peranan golongan istana dan pedagang

Bermula dengan kejatuhan Melaka pada tahun 1511, penjajah bersilih ganti bermula dengan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Peranan yang dimainkan oleh Inggeris berjaya mempengaruhi golongan bangsawan. Rakyat kebanyakan dan sebilangan kecil cendekiawan masih memberi sokongan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

Selepas kejatuhan Melaka, pusat kesusasteraan perkembangan Islam beralih ke Riau, Acheh dan Palembang.

2. Bahasa Melayu pada Zaman Pramerdeka

Semangat untuk mengembangkan bahasa Melayu di Nusantara termuat dalam Sumpah Pemuda (1928) yang mahu mendaulatkan bahasa Melayu / bahasa Indonesia sebagai bahasa politik dan perjuangan. Perkembangan politik di Indonesia turut mempengaruhi Tanah Melayu dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Di Tanah Melayu Persatuan Penulis ASAS 50, pelajar-pelajar Sekolah Inggeris, pelajar-pelajar SITC, pelajar Timur Tengah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap British.

Persoalan bahasa terus dibincangkan sehingga kemuncaknya pada tahun 1955-1959 apabila wujudnya Laporan Razak (1956). Antara perkara penting dalam laporan tersebut ialah:

  • Satu sukatan pelajaran yang sama
  • Bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib.
  • Pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 yang berlangsung pada 16-21 September 1956 bertempat di Johor Bahru dan Singapura telah bersetuju menubuhkan Balai Pustaka yang kemudiannya dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Bahasa Melayu Selepas Merdeka

Selepas Merdeka:-

  • Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara.
  • Pelaksanaan Laporan Razak untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
  • Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipindahkan ke Kuala Lumpur.
  • Menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970, istilah bahasa Melayu telah ditukar kepada bahasa Malaysia untuk menimbulkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat. Selepas pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) istilah ini ditukar pula kepada bahasa Melayu.

Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Tetapi malang sekali, semua itu hanya tercatat dalam perlembagaan, tidak di dunia yang nyata. Sebenarnya bahasa Melayu dipinggirkan oleh bangsanya sendiri, sama ada secara sedar ataupun tidak. Hakikat ini amat sukar untuk dinafikan! Antara tanda orang kita tidak sayang akan bahasa sendiri ialah:-

  • Apabila kaum pemimpin lebih bangga berbicara menggunakan bahasa Inggeris.
  • Apabila ahli korporat Melayu kita terasa lebih hebat apabila bercakap dalam bahasa ‘orang putih’ walaupun dia tak berapa putih!
  • Apabila ahli-ahli dan pakar-pakar bahasa lebih cenderung mengguna pakai istilah bahasa Inggeris daripada istilah bahasa sendiri yang telah lama dipakai datuk nenek kita.
  • Apabila nama-nama jalan, taman, bangunan, pusat pentadbiran diberi nama dengan merujuk kata dalam bahasa asing.
  • Apabila masyarakat memandang hina dan rendah kedudukan jika seseorang itu bertutur menggunakan bahasa ibunda.
  • Apabila kerajaan sanggup berbelanja besar untuk kemajuan bahasa Inggeris tetapi tidak untuk bahasa sendiri.
  • Apabila ada segelintir orang Melayu tidak yakin dengan kemampuan dan keupayaan bahasa sendiri.
  • Apabila nama-nama kedai, syarikat, jenama barang keluaran sendiri menggunakan istilah bahasa Inggeris kerana nama Melayu tidak komersial.
  • Apabila perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu dianggap sepi oleh anak bangsa.
  • Apabila orang Melayu mula lupa diri dan asal usul.
  • Apabila orang Melayu mula lupa sejarah.
  • Apabila orang Melayu kaya raya.
  • Apabila orang Melayu jatuh-menjatuh sesama bangsa.
  • Apabila orang Melayu sudah hilang segala!

Keranda 152(keranda bahasa)...?

Keranda 152…?

  • Sasterawan Negara Datuk Usman Awang telah menghasilkan puisi protes Keranda 152 pada 1967 kerana kecewa melihat orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat seperti yang tertulis dalam perlembagaan.
  • Orang politik telah alpa peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
  • Keputusan di parlimen ketika itu meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan.
  • Ketika ini pun, bahasa Melayu hanya pada nama sahaja menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini, tetapi dari segi praktisnya bahasa Melayu berada di tempat yang tercorot.
  • Bahasa Melayu tidak diasuh menjadi bahasa perpaduan ketika orang politik sibuk bercakap tentang perpaduan kaum.

Keranda 152

Anak Melayu

Panas dadamu membakar baju

Kita arak keranda 152

Ke tanah perkuburan Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti

Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba

Tiap pintu dan jendela sudah dijaga

Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu

Namamu telah diseru

Jawablah

Sebelum lidahmu jadi bisu

  • Usman Awang 1967.


Persoalan ini telah semakin kedengaran dan sumbernya bukannya daripada calang-calang orang. Mengikut sumber ini, kerajaan akan mempertimbangkan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2012.

Pertimbangan ini katanya selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar PPSMI.

Jika dasar baru ini diluluskan, untuk memperoleh sijil SPM, calon-calon mestilah lulus Bahasa Inggeris dan jika tidak, mereka dikira gagal terus dalam SPM serta sudah semestinya tidak akan mendapat sijil!

Pada pendapat penulis, sebelum kita membuat sesuatu dasar yang penting, khususnya untuk kesejahteraan generasi akan datang, maka hendaklah kita berfikir, merenung, bermuhasabah, berdialog secara bersungguh-sungguh agar kita tidak akan melatah lagi selepas ini.

Terlalu banyak dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini akhirnya terbengkalai di tengah jalan kerana kedangkalan kita dalam membuat perancangan. Sudah tentu bukan sedikit perbelanjaan yang telah dilabur dan berapa pula jumlah anak bangsa kita yang telah menjadi mangsa uji kaji ini?

Antara beberapa persoalan yang sepatutnya diberikan perhatian sebelum dasar baru ini dilaksanakan ialah:-

  • Apakah matlamat sebenar syarat kelulusan Bahasa Inggeris itu diperlukan?
  • Adakah dasar ini menguntungkan semua pihak?
  • Bagaimanakah nasib anak bangsa Melayu yang serba kekurangan di pedalaman?
  • Apakah jaminan yang dasar ini tidak akan menjejaskan peluang kerja yang lebih baik untuk mereka yang di luar bandar?
  • Sudah cukupkah prasarana yang diperlukan oleh anak-anak kampung yang disediakan sebelum kita menghukum mereka?

Cuba kita renungkan seketika, jika seseorang pemuda yang berkelulusan SPM (sebelum 2012) walaupun tidak lulus Bahasa Inggeris, mereka masih boleh memohon jawatan konstabel polis, anggota pangkat rendah dalam tentera,

TETAPI selepas 2012 nanti, mereka yang gagal Bahasa Inggeris dikira gagal dalam SPM dan terpaksalah bergantung hanya pada sijil PMR . Pekerjaan apakah yang boleh dipohon oleh mereka ini?

Berfikir biarlah panjang, merancang biarlah menyeluruh, membuat keputusan biarlah bijaksana.

Nasib Bahasa Melayu…?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia berlangsung di Johor Bahru baru-baru ini mengeluarkan usul mendesak kerajaan memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Penulis rasa usul seperti ini sudah beberapa kali didendangkan, cuma lagunya sahaja tidak muncul-muncul. Setakat hari ini, belum ada apa-apa tindakan susulan daripada pihak kerajaan.

Selagi DBP belum ada kuasa tersebut, maka sepanjang masalah, kita akan dipersembahkan dengan pencabulan dan penodaan terhadap martabat bahasa Melayu oleh manusia-manusia yang lupa diri dan lupa akan asal usul.

Antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pencinta bahasa Melayu kini ialah:-

  • Gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutamanya pada papan-papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan;
  • Penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di kaca-kaca televisyen dan siaran radio;
  • Syarikat swasta malah syarikat milik kerajaan juga tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam setiap urusan;
  • Sebarang info walaupun berkaitan dengan kepentingan negara semakin kurang menggunakan bahasa Melayu;
  • Pemimpin-peminpin negara, korporat dan ketua-ketua jabatan kerajaan semakin petah dan angkuh menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap dan berkomunikasi;
  • Generasi muda semakin galak menggunakan bahasa rojak dengan istilah-istilah yang langsung tidak melambangkan jati diri bangsa Melayu;

Kepada siapakah yang hendak dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu?

Kepada siapakah hendak ditugaskan untuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin lain yang sewenang-wenangnya mencabul kedaulatan bahasa Melayu?

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu di tanah air sendiri, belum lagi dikira berapa banyak usaha dan pengorbanan yang terpaksa kita lakukan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa dunia.

Penulis pening kepala melihat bangsa kita. Cakap tak serupa bikin!

Begitulah tajuk berita akhbar Utusan Malaysia 30 September 2009, muka surat 7.

Kewujudan Manuskrip Risalah Hukum Kanun membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa dunia yang turut dipelajari oleh golongan bukan Melayu. Ulas Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia, “hakikat itu dibuktikan dalam manuskrip tersebut yang dihasilkan lebih 40 versi hingga kini masih tersimpan di luar negara.

Komen Penulis:

Penulis memang tidak menafikan bahkan menyokong dengan bersungguh-sungguh fakta yang mengatakan bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa dunia yang telah menjadi bahasa lingua franca sedikit masa dulu.

Cuma penulis ingin dan mahu menyoal kenapakah orang-orang kita sendiri yang secara sedar atau tidak sanggup menafikan hak dan martabat bahasa Melayu? Kenapakah bahasa Melayu menjadi seperti melukut di tepi gantang di negara sendiri?

Cuba renung-renungkan gelagat orang kita….

  • Para pemimpin negara lebih berbangga bercakap, berbicara, berpidato menggunakan bahasa Inggeris walaupun dikelilingi masyarakat berkulit sawo matang.
  • Ahli-ahli korporat lebih rancak berbahasa Inggeris walaupun tidak sehebat mana.
  • Pemimpin dan pegawai kerajaan lebih seronok berbahasa Inggeris apabila muncul di skrin-skrin tv.
  • Para artis sering bercakap menggunakan bahasa Inggeris yang bercampur-campur dengan bahasa Melayu.
  • Bahasa Melayu hanyalah kepunyaan orang berstatus rendah, petani, golongan rakyat bawahan.
  • Sudah berjalankah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa di mahkamah?
  • Bagaimana dan bagaimana?

Kesempurnaan bahasa…?

  • Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan, saluran yang menyampaikan buah fikiran dan perasaan. Agar mesej yang ingin disampaikan itu benar-benar difahami, maka bahasa yang digunakan itu hendaklah betul, tepat dan berkesan.
  • Bahasa yang digunakan pula hendaklah juga bersifat sempurna (tatabahasa) dan semantiknya.
  • Daripada kesempurnaan inilah lahirnya nanti istilah keindahan.

Sekadar mengulas kata-kata Prof. Dato’ Dr. Nik Safiah Karim.

Kesempurnaan karya artis...?

Kesempurnaan karya artis...?

Bahasa Melayu bukanlah sahaja suatu alat berkomunikasi dan medium untuk memperoleh ilmu, tetapi juga terkandung dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisi, agama dan budaya Melayu juga jati diri bangsa.

Menurut satu kajian oleh Open University di London, bahasa Melayu diramal akan menjadi bahasa keempat dunia dalam tempoh 30 tahun lagi.

Kajian itu juga mendapati bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama dunia sebaliknya akan dirampas kedudukannya oleh bahasa Mandarin dan Sepanyol.

Sebagai persiapan, semua anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat hendaklah berusaha memupuk bahasa ibunda kita ini agar apabila tiba waktunya, bahasa ini telah benar-benar bersedia menjadi bahasa dunia.

Ubah suai daripada tulisan asal oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Mingguan Malaysia: 28 Disember 2008

Sasterawan Negara

Sasterawan Negara

Pemansuhan PPSMI muktamad…?

Suara-suara yang masih lantang menentang langkah kerajaan memansuhkan PPSMI sebenarnya datang daripada orang-orang yang kecewa dan sengaja tidak mahu memahami keadaan yang sebenar.

Mereka ini berkemungkinan merupakan golongan yang terkena tempias dan terpaksa menanggung kesannya. Mungkin mereka terdiri daripada tuan-tuan punya syarikat penerbitan, percetakan, pemasaran dan seumpamanya yang secara langsung atau tidak langsung terpaksa menanggung sedikit kerugian. Mereka mungkin juga individu-individu yang merupakan penulis buku yang terpaksa melupakan hasrat untuk mengira keuntungan.

Pada mereka, penulis berharap agar tidak terlalu mementingkan diri sendiri. Jika selama ini mereka telah berkesempatan membuat kekayaan, tibalah masanya pula untuk berkorban demi negara tercinta. Ingatlah, dasar PPSMI telah terbukti gagal dan lebih banyak menimbulkan keburukan daripada kebaikan.

Penulis sekadar memanjangkan komen Pencinta Bahasa, Cheras, Selangor yang termuat dalam Berita Harian (Ruangan Surat & E-mel) bertarikh 15 Julai 2009:

Menurut Pencinta Bahasa Cheras, nama-nama seperti Primaya, Avenue 1, Tower Park I & II, Lake Valley langsung tidak menggambarkan sikap dan sifat seseorang anak watan yang ingin mendaulatkan bahasanya.

“Saya meminta Pengurusan UDA Holdings dan UDA Land (Central) untuk merenung kembali perkara ini. Jadilah pemaju yang peka dan prihatin bukan hanya kepada pembangunan fizikal.”

“Dari satu sudut lain pula, apalah nasib bahasa Melayu. Ketika polemik ketuanan Melayu hebat diperkata dan diperdebatkan, di Bandar Tun Hussein Onn pula, bahasa Melayu dipinggir dan terpinggir oleh bangsa dan di tanah air sendiri.”

Penulis bersetuju dengan pendapat Pencinta Bahasa yang berasa hairan dan ajaib dengan sikap sesetengah ‘orang’ kita yang tidak begitu peka dan kurang memiliki sikap patriotik terhadap bahasanya. Agaknya inilah yang dikatakan sebagai kesan ‘penjajahan minda’?

Penulis …..??????