Persoalan merupakan isu-isu atau elemen-elemen yang diketengahkan oleh pengarang untuk membentuk sesebuah karya yang menarik dan berkesan lagi bermatlamat.

Terdapat banyak sekali persoalan yang diutarakan penulis melalui novel ‘Renyah’ ini. Tetapi pada kesempatan kali ini, cikgu hanya akan membicarakan persoalan-persoalan yang negatif sahaja. Antaranya:-

  • Persoalan rasuah dalam kalangan kakitangan awam

Dua perkara pokok yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam ialah tekanan pihak tertentu dan rasa keinginan untuk hidup mewah. Melalui novel ini diceritakan, Hasnol terperangkap dengan kes rasuah kerana telah diugut oleh Tengku Munir dan desakan isterinya Linda untuk hidup mewah. Akhirnya, Hasnol dibawa ke muka pengadilan.

  • Persoalan penyalahgunaan dadah

Penyalahgunaan dadah dan muzik rock tidak boleh dipisahkan. Dani yang merupakan anak bongsu Datuk Dolhi merupakan penyanyi  kumpulan Young Rock Band terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan ditangkap polis. Dia dibicarakan dan akan dihantar ke pusat serenti untuk pemulihan.

  • Persoalan ajaran Islam songsang

Kecenderungan Mukhlis, anak Datuk Dolhi untuk mendalami ilmu agama tidak mendapat perhatian ibu bapanya. Akhirnya dia menyertai kumpulan dakwah yang enggan bekerja atau berniaga kerana bekerja pada zaman ini bersifat sekular. Kegiatan dakwah ini berpusat di Kampung Sungai Bakau. Mereka bekerja di kilang mi dan dibayar gaji sebanyak RM5. sehari. Tuk guru mendapat keistimewaan iaitu boleh berkahwin silih berganti, pergi berdakwah di Eropah dan di Amerika dengan membawa isteri baru, Khalidah dan berkereta mewah. Mukhlis akhirnya merana dan menghidap penyakit mental.